Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Grab, Gojek, Tada dan CDG Zig naikkan tambang mulai 2025

Dec 24, 2024 | 3:47 PM
Para pengendali khidmat pengangkutan kereta sewa menyatakan bahawa bayaran platform mereka dinaikkan bertepatan dengan penguatkuasaan Akta Pekerja Platform, yang telah diluluskan oleh Parlimen pada September dan akan berkuat kuasa pada Januari 2025.
Para pengendali khidmat pengangkutan kereta sewa menyatakan bahawa bayaran platform mereka dinaikkan bertepatan dengan penguatkuasaan Akta Pekerja Platform, yang telah diluluskan oleh Parlimen pada September dan akan berkuat kuasa pada Januari 2025. - Foto ST, TADA/FACEBOOK, COMFORTDELGRO TAXI/FACEBOOK

Penumpang yang menggunakan khidmat pengangkutan kereta sewa Grab, Gojek, Tada dan CDG Zig milik ComfortDelGro, perlu membayar tambang lebih bagi setiap perjalanan mulai 2025, susulan langkah pengendali tersebut menaikkan bayaran platform mereka bagi menampung kos berkaitan Akta Pekerja Platform yang akan diperkenalkan.

Grab, pengendali khidmat pengangkutan kereta sewa terbesar di Singapura, akan menaikkan bayaran platformnya sebanyak 20 sen – daripada 70 sen sekarang kepada 90 sen setiap perjalanan mulai 1 Januari 2025.

Dalam pengumuman menerusi e-mel kepada penggunanya pada 24 Disember, Grab berkata kenaikan bayaran platform itu akan digunakan untuk menyumbang kepada akaun Tabung Simpanan Pekerja (CPF) pekerjanya, memberi pampasan kemalangan kerja serta membiayai inisiatif kebajikan lain.

Gojek pula akan menaikkan bayaran platformnya sebanyak 30 sen hingga 50 sen mulai 1 Januari 2025, menjadi antara 90 sen dengan $1.50 bagi setiap perjalanan, berbanding 60 sen dengan $1 sekarang.

ComfortDelGro, pengendali teksi terbesar di Singapura, pula akan menaikkan bayaran platform sebanyak 30 sen hingga 50 sen, daripada kadar tetap semasa iaitu 70 sen, kepada julat $1 hingga $1.20 berdasarkan jarak dan tempoh perjalanan.

Tada juga mengumumkan kepada pelanggannya melalui e-mel pada 24 Disember bahawa bayaran platformnya akan dinaikkan sebanyak 50 sen, sebelum Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST).

Ini bermakna bayaran platformnya akan meningkat daripada julat semasa 55 sen hingga 75 sen, kepada julat baru $1.05 hingga $1.25 mulai 1 Januari 2025, sebelum GST.

Gojek dan Tada juga berkata mereka akan melanjutkan caj “bayaran pemandu” selepas 2024, lapor The Straits Times (ST).

Gojek berkata dalam e-mel kepada pelanggan bahawa caj semasa sebanyak 50 sen untuk perjalanan kurang 10 kilometer dan 80 sen untuk perjalanan lebih 10 kilometer akan kekal sehingga 31 Mac 2025.

Bagi Tada, caj pemandunya antara 50 sen dengan 80 sen akan kekal sehingga 30 Jun 2025, dan akan diberikan sepenuhnya kepada pemandu untuk membantu mereka mengimbangi kos operasi.

Para pengendali itu menyatakan bahawa bayaran platform mereka dinaikkan bertepatan dengan penguatkuasaan Akta Pekerja Platform, yang diluluskan Parlimen pada September dan akan berkuat kuasa pada Januari 2025.

Undang-undang baru itu memastikan pekerja platform mendapat perlindungan dan perwakilan yang lebih baik.

Gojek menyatakan di laman webnya pada 20 Disember bahawa kenaikan itu bertujuan “melindungi pendapatan (pemandu)”, membiayai penambahbaikan perkhidmatan, sambil mengekalkan harga yang berpatutan dan kompetitif buat kededua pelanggan dan pemandu.

Tada turut menekankan bahawa pelarasan itu membantu dalam pembangunan ciri baru dalam aplikasinya, menawarkan perlindungan insurans menyeluruh buat pemandunya dan menyumbang kepada akaun CPF pemandu yang layak.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) ComfortDelGro Taxi, Encik Tommy Tan, menambah bahawa pelarasan bayaran CDG Zig menyokong langkah perlindungan dan kebajikan yang digariskan dalam rang undang-undang baru itu.

ST telah bertanya kepada Ryde jika mereka juga merancang menaikkan bayaran platform mereka.

Akta Pekerja Platform baru itu mewajibkan syarikat platform membuat sumbangan lebih tinggi kepada CPF pekerja muda mereka, bermula dengan 3.5 peratus daripada pendapatan bersih pekerja pada 2025 dan meningkat secara berperingkat untuk menyamai sumbangan majikan syarikat biasa menjelang 2029.

Sumbangan itu wajib bagi pekerja yang lahir pada atau selepas 1 Januari 1995, namun tidak diwajibkan untuk pekerja lebih berusia.

Undang-undang itu juga memerlukan pengendali platform menyediakan insurans pampasan kemalangan kerja yang setara dengan perlindungan bagi pekerja biasa.

Kementerian Tenaga Manusia (MOM) berkata pada 17 Disember bahawa lebih 8,000 pekerja platform memilih menyertai sumbangan CPF yang lebih tinggi di bawah Akta Pekerja Platform sejak 1 November.

Sekilas kenaikan bayaran platform mulai 1 Jan 2025

  1. Grab: Naik 20 sen – daripada 70 sen sekarang kepada 90 sen bagi setiap perjalanan
  2. Gojek: Naik 30 sen hingga 50 sen – daripada 60 sen hingga $1 sekarang kepada 90 sen hingga $1.50 bagi setiap perjalanan
  3. CDG Zig: Naik 30 sen hingga 50 sen – daripada kadar tetap 70 sen sekarang kepada julat $1 hingga $1.20 berdasarkan jarak dan tempoh perjalanan
  4. Tada: Naik 50 sen – daripada julat 55 sen hingga 75 sen sekarang kepada julat baru $1.05 hingga $1.25 (sebelum GST) bagi setiap perjalanan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg