Syarikat kenderaan sewa persendirian Grab akan melabur AS$60 juta ($78.2 juta) secara tunai bagi memperoleh pegangan minoriti dalam syarikat pemula teknologi pemanduan kawalan jauh dari Jerman, Vay Technology.
Grab juga berkemungkinan menambah pelaburan sehingga AS$350 juta serta memperoleh pegangan majoriti pada masa hadapan.
Pelaburan awal itu tertakluk kepada kelulusan pengawal selia dan dijangka dimuktamadkan pada suku keempat 2025.
Demikian menurut pengumuman Grab dalam pemfailan bursa pada 10 November.
Ditubuhkan pada 2018, Vay menyediakan kenderaan elektrik (EV) sewa kepada pelanggan menggunakan pemandu kawalan jauh.
Syarikat itu melancarkan perkhidmatan tersebut di Las Vegas pada 2024 dan telah melaksanakan “puluhan ribu perjalanan”.
Melalui aplikasi mudah alih Vay, pelanggan boleh memohon agar kenderaan elektrik dihantar terus ke lokasi mereka oleh pemandu kawalan jauh.
Apabila EV tiba, pemandu tersebut memutuskan sambungan kawalan dan pengguna boleh memandu seperti biasa.
Selepas perjalanan berakhir, kawalan disambung semula oleh pemandu kawalan jauh.
Model itu membolehkan setiap pemandu kawalan jauh menyokong lebih banyak perjalanan pelanggan setiap jam serta mengurangkan kos perkhidmatan berbanding model tradisional kenderaan sewa persendirian.
Grab merancang memanfaatkan kepakarannya dalam pemasaran, pembangunan produk, pengurusan kenderaan dan strategi pasaran bagi membantu Vay berkembang di Amerika Syarikat.
Ia juga akan meneroka bagaimana model perkhidmatan Vay dapat melengkapi perkhidmatan mobiliti Grab di Asia Tenggara.
Pelaburan itu juga menyokong strategi Grab dalam bidang mobiliti autonomi, kata Grab.
Data pemanduan yang dikumpul oleh Vay melalui armada kenderaannya boleh mempercepat latihan model kecerdasan buatan (AI) bagi meningkatkan keupayaan kenderaan autonomi memahami persekitaran sebenar.
Vay kini menambah fungsi pemanduan autonomi ke dalam sistemnya dan merancang memperluas armada kenderaannya pada 2025.
Antara syarikat pemanduan autonomi lain yang disokong oleh Grab termasuk WeRide dan May Mobility.
Dari segi terma perjanjian susulan pelaburan AS$60 juta itu, Vay akan mengeluarkan saham baru dan waran sifar harga pelaksanaan kepada Grab, iaitu instrumen yang membolehkan Grab membeli sekuriti tanpa kos tambahan.
Waran tersebut hanya boleh digunakan apabila beberapa penanda aras utama dicapai dalam tempoh tiga tahun selepas perjanjian dimuktamadkan.
Pelaburan tambahan sebanyak AS$350 juta yang dirancang dalam tempoh setahun selepas pelaburan AS$60 juta iaitu fasa pertama juga tertakluk kepada prestasi kewangan, operasi dan kelulusan pengawal selia.
Ini termasuk sasaran hasil pengguna, bilangan bandar Amerika yang diliputi, serta piawaian teknologi dan keselamatan.
Sekiranya semua penanda aras itu tercapai, Grab berpotensi memiliki pegangan majoriti dalam Vay dalam tempoh tiga tahun selepas perjanjian awal dimuktamadkan.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg