Syarikat khidmat pengangkutan kereta sewa Grab, memperuntukkan $4 juta setahun untuk manfaat perubatan dan kesihatan pemandu dan penunggang penghantarannya.
GrabBenefits 2.0, yang diumumkan pada 3 Oktober, adalah satu peningkatan daripada manfaat yang ditawarkan sebelum ini, seperti insurans dan bantuan pendapatan untuk cuti perubatan yang berpanjangan, lapor The Business Times.
Manfaat baru itu termasuk konsultasi perubatan bersubsidi untuk dua kali setahun dan vaksin selesema tahunan percuma bagi pemandu dan penunggang penghantaran Grab yang telah mencapai dua peringkat tertinggi program loyalti Grab, Sapphire dan Diamond.
Perkhidmatan kesihatan percuma akan ditawarkan melalui Van Kebajikan Rakan Kongsi GrabBenefits , yang akan berulang-alik antara kawasan kejiranan di mana para pemandu dan penunggang penghantaran berkumpul.
Khidmat urut percuma akan disediakan buat pemandu dan penunggang penghantaran sekurang-kurangnya sekali setiap tiga bulan, dan ia terbuka kepada semua peringkat dalam program loyaltinya.
Sebagai sebahagian daripada program manfaat baru itu juga, Grab akan menaja enam bulan keahlian persatuan untuk pendaftaran ahli baru.
Setiausaha Agung NTUC, Encik Ng Chee Meng, berkata: “Adalah menggalakkan melihat Grab mengambil serius maklum balas persatuan dan pekerja kita. Ini menunjukkan bahawa apabila pengendali platform dan persatuan pekerja bekerjasama, kita boleh mencapai kemajuan yang bermakna.”
Para pemandu dan penunggang Grab akan dapat menikmati manfaat baru daripada program GrabBenefits 2.0, mulai 1 Januari 2025.
Program itu bertujuan menjadi pelengkap kepada Rang Undang-Undang Pekerja Platform yang digubal baru-baru ini.
Pekerja platform akan mempunyai kadar pampasan kecederaan semasa bertugas dan caruman Tabung Simpanan Pekerja (CPF) yang sama seperti pekerja biasa, dengan kenaikan beransur-ansur, mulai 1 Januari 2025.
GrabBenefits 2.0 direka berdasarkan maklum balas yang dikumpul daripada pemandu dan penunggang penghantaran Grab.
Antara kebimbangan utama mereka adalah kos ubat yang meningkat, mengurangkan masa tidak bekerja akibat sakit dan menangani penyakit fizikal yang tidak boleh diubati menerusi temu janji dengan doktor biasa.
Jumlah $4 juta yang diperuntukkan untuk GrabBenefits 2.0 itu akan disemak setiap tahun dan diselaraskan untuk kemampanan syarikat.
“Manfaat yang dipertingkatkan, serta perlindungan menerusi pengawalan baru, akan menawarkan pakej penjagaan menyeluruh untuk rakan kongsi kami, yang meliputi kedua-dua keperluan segera dan jangka panjang mereka,” kata pengarah urusan Grab Singapura, Encik Yee Wee Tang.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg