Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Caruman CPF pekerja platform akan sama seperti pekerja biasa jelang 2029

Mulai 2025, syarikat platform sumbang 3.5 peratus daripada pendapatan bersih pekerja dan pekerja sumbang tambahan sehingga 2.5 peratus setiap tahun 
Sep 9, 2024 | 9:54 PM
Menteri Negara Kanan (Tenaga Manusia), Dr Koh Poh Koon, berinteraksi dengan pekerja platform untuk mendengar keprihatinan mereka, antaranya termasuk kecukupan untuk perumahan dan persaraan, semasa lawatannya ke ibu pejabat foodpanda di Robinson Road pada 22 Ogos
Menteri Negara Kanan (Tenaga Manusia), Dr Koh Poh Koon, berinteraksi dengan pekerja platform untuk mendengar keprihatinan mereka, antaranya termasuk kecukupan untuk perumahan dan persaraan, semasa lawatannya ke ibu pejabat foodpanda di Robinson Road pada 22 Ogos - Foto ZAOBAO

Pekerja platform akan dapat mencapai tahap simpanan yang mencukupi bagi perumahan dan persaraan yang sama seperti pekerja biasa dengan gaji serupa menjelang 2029, apabila langkah yang memerlukan syarikat dan pekerja platform membuat caruman Tabung Simpanan Pekerja (CPF) dilaksanakan, kata Menteri Negara Kanan (Tenaga Manusia), Dr Koh Poh Koon.

Ini akan dilakukan secara bertahap-tahap mulai 2025, dengan syarikat platform akan menyumbang 3.5 peratus daripada pendapatan bersih pekerja dan pekerja pula menyumbang tambahan sehingga 2.5 peratus setiap tahun sehingga ia mencapai kadar caruman CPF semasa yang disumbang pekerja biasa hari ini menjelang 2029.

Dr Koh berkata demikian dalam bacaan kedua Rang Undang-Undang Pekerja Platform di Parlimen pada 9 September.

Rang tersebut bertujuan memastikan pekerja platform mendapat perlindungan dan perwakilan sewajarnya sebagaimana dinikmati pekerja biasa hari ini, antaranya melalui pelaksanaan caruman CPF supaya mereka mempunyai simpanan yang mencukupi untuk perumahan dan persaraan.

Rang itu diluluskan di Parlimen pada 10 September.

Langkah yang memerlukan syarikat dan pekerja platform membuat caruman CPF itu akan berkuat kuasa mulai 1 Januari 2025.

Langkah caruman CPF itu akan menjadi mandatori bagi kohort pekerja platform yang lahir pada 1995 dan seterusnya, manakala pekerja yang lahir sebelum 1995 boleh memilih untuk menyumbang kepada CPF pada bila-bila masa mulai November, kata Dr Koh.

Bagaimanapun, mereka tidak boleh menarik balik keputusan setelah mengikut serta dalam langkah membuat caruman CPF itu.

“Dalam semua pendekatan kami, kohort lebih muda menunjukkan keperluan dan kemahuan terbesar bagi caruman CPF kerana ia boleh membantu dalam keperluan perumahan mereka,” kata Dr Koh.

“Saya menggalakkan pekerja platform lebih berusia supaya mempertimbangkan pilihan caruman CPF ini untuk meningkatkan simpanan perumahan dan persaraan mereka, serta meraih manfaat daripada sistem CPF kami.”

Pada masa ini, pekerja platform perlu membuat sumbangan 8 hingga 10.5 peratus pendapatan mereka kepada akaun MediSave.

Menurut laporan Tenaga Pekerja di Singapura oleh Kementerian Tenaga Manusia (MOM), terdapat sekitar 70,500 pekerja platform di sini sehingga 2023, yang membentuk sekitar 3 peratus tenaga kerja.

Caruman CPF pekerja platform akan dilakukan berdasarkan pendapatan bersih yang diraih mereka pada setiap platform yang digunakan dan dikira setiap bulan.

Ini bermakna, jika seorang pekerja itu menggunakan aplikasi Grab dan foodpanda, caruman CPF akan dibuat bagi setiap platform itu pada setiap bulan.

Dr Koh menjelaskan bahawa kadar caruman CPF pekerja akan dikira berdasarkan pendapatan bersih mereka, iaitu pendapatan kasar ditolak perbelanjaan kerja yang perlu ditanggung dan tidak dibayar balik seperti kos minyak.

Ini dipanggil Jumlah Potongan Perbelanjaan Tetap (Feda), yang mengambil rujukan daripada Nisbah Potongan Perbelanjaan Tetap yang dibangunkan Penguasa Hasil Mahsul Singapura (Iras) bagi pengiraan pendapatan bersih untuk tujuan cukai.

Tahap FEDA berbeza-beza mengikut cara pengangkutan yang digunakan semasa bekerja – 20 peratus untuk mereka yang berbasikal, berjalan kaki atau menggunakan pengangkutan awam; 35 peratus bagi pengguna motosikal, basikal menggunakan kuasa atau alat pergerakan peribadi (PMD); dan 60 peratus bagi pemandu kereta, van, trak atau lori.

Contohnya, pendapatan bersih yang dikira bagi caruman CPF untuk seorang pekerja platform yang menggunakan motosikal dengan gaji kasar $3,000 sebulan adalah $1,950 setelah menolak Feda sebanyak 35 peratus.

Dr Koh berkata penggunaan Feda untuk mengira caruman CPF menyediakan kemudahan kepada kedua-dua syarikat dan pekerja platform.

“Pekerja platform tidak perlu menyimpan resit untuk memantau dan mengira perbelanjaan sebenar bagi kerja platform mereka.

“Syarikat platform tidak perlu menanggung kos operasi tambahan untuk mengira semula caruman CPF berdasarkan perbelanjaan sebenar,” kata beliau.

Dalam usaha mengurangkan kebimbangan pekerja platform tentang gaji yang dibawa pulang, pemerintah sebelum ini telah mengumumkan mereka akan membiayai sepenuhnya caruman tambahan yang perlu dibuat pekerja platform bergaji rendah dalam tahun pertama apabila langkah caruman CPF itu dilaksanakan pada 2025.

Setelah tahun pertama, sokongan itu akan dikurangkan sepanjang tempoh tiga tahun – 75 peratus kadar kenaikan pada 2026; 50 peratus pada 2027; dan 25 peratus pada 2028.

Selain itu, had pendapatan bulanan yang layak di bawah skim tersebut juga akan dinaikkan daripada $2,500 kepada $3,000 supaya lebih ramai pekerja platform bergaji rendah boleh mendapatkan manfaat daripada skim itu.

Dr Koh berkata pemerintah telah berbincang dengan syarikat dan pekerja platform secara meluas dalam mereka pengiraan dan pengumpulan caruman CPF itu.

“Kami ingin memastikan proses caruman CPF adalah lancar, menjimatkan kos dan melindungi kepentingan pekerja platform.

“Kami telah menyelaraskan secara umumnya dengan model majikan-pekerja sementara memenuhi fleksibiliti untuk mengambil kira keadaan unik kerja platform.

“Parameter pelaksanaan ini akan digunakan untuk semua pekerja platform, termasuk mereka yang tidak ikut serta dan hanya membuat sumbangan MediSave,” kata beliau.

“Terdapat kebimbangan yang mendalam bahawa pekerja-pekerja ini mungkin ditawarkan peluang pekerjaan yang lebih sedikit atau pendapatan yang lebih rendah jika mereka memilih untuk menyertai sistem CPF sepenuhnya. Dengan melaksanakan dasar yang melindungi pekerja platform daripada kemungkinan diskriminasi dan dengan berkomunikasi dengan jelas dengan kedua-dua pekerja dan pengendali, pemerintah dapat mewujudkan persekitaran di mana memilih untuk menyertai skim CPF dilihat sebagai pilihan yang terbaik.”
AP GRC Marine Parade, Encik Mohd Fahmi Aliman.

“Walaupun kami menyediakan perlindungan dan keselamatan yang sangat diperlukan untuk pekerja platform hari ini, kita mesti memastikan bahawa kita tidak berhenti memberi peluang kepada semua pekerja untuk mendapatkan kemahiran baru yang relevan dalam ekonomi yang pesat berubah. Jaminan kerja yang paling utama ialah kebolehkerjaan.”
AP GRC Sembawang, Cik Mariam Jaafar.

“Rang undang-undang ini bukan hanya pro-pekerja, namun juga pro-perniagaan dan pro-pengguna. Ia adalah tentang etos perniagaan yang kita mahukan di Singapura - perniagaan yang berjaya dengan melakukan perkara yang baik dan betul. Ia mengenai pengguna Singapura yang menyokong amalan perdagangan yang adil dan mampan. Ia adalah tentang ekonomi lebih adil, dan masyarakat yang lebih adil dan saksama di Singapura.”
AP GRC Jurong, Encik Xie Yao Quan.
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg