Syarikat insurans Great Eastern (GE) telah menggantung sementara pemberian sijil prakebenaran bagi kemasukan di kededua hospital Mount Elizabeth mulai 17 Jun.
Dalam satu mesej kepada sekumpulan doktor panelnya, syarikat insurans tersebut menjelaskan bahawa keputusan itu diambil ekoran kos rawatan yang tinggi di Hospital Mount Elizabeth dan Hospital Mount Elizabeth Novena, berbanding hospital swasta lain.
“Kami mendapati bahawa secara purata, bayaran rawatan hospital di kededua kemudahan ini secara konsisten lebih tinggi berbanding hospital swasta lain, bagi prosedur dan profil kes yang serupa.
“Ini memberi kesan langsung kepada perbelanjaan yang perlu dibiayai sendiri (‘out-of-pocket’) dan kemampuan (perlindungan) insurans bagi pelanggan kami,” menurut GE.
Sebagai sebahagian daripada komitmennya terhadap kemampanan jangka panjang dan usaha mengurus kos penjagaan kesihatan yang semakin meningkat di sini, GE menyatakan bahawa ia mengutamakan kemudahan hospital yang memberikan penjagaan yang sama, dengan disertai tahap ketelusan lebih tinggi dan kos yang lebih menjimatkan.
Prakebenaran adalah satu perkhidmatan yang membolehkan perlindungan insurans bagi kos perubatan berdasarkan pelan dan manfaat polisi insurans yang dimiliki seseorang diluluskan terlebih dahulu, sebelum individu yang dilindungi insurans itu dimasukkan ke hospital.
“Kami ingin memberi jaminan bahawa keputusan ini tidak memberi gambaran terhadap mutu klinikal anda dan pesakit masih boleh memilih untuk dirawat di hospital-hospital ini,” kata GE dalam mesej tersebut.
Pelanggan syarikat insurans tersebut masih boleh mendapatkan rawatan di Hospital Mount Elizabeth dan Hospital Mount Elizabeth Novena, namun mereka tidak akan menerima sijil prakebenaran.
Bagaimanapun, manfaat insurans mereka tetap sama dan tuntutan insurans mereka akan dinilai oleh syarikat insurans itu seperti biasa, lapor The Business Times (BT).
Penggantungan pemberian sijil prakebenaran itu tidak akan menjejas hospital dan kemudahan lain yang dikendalikan penyedia penjagaan kesihatan swasta, IHH Healthcare, seperti Hospital Gleneagles dan Hospital Parkway East.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg