Income Insurance akan memberi perlindungan kepada pelanggan yang layak, khususnya yang telah membeli insurans perjalanannya dengan perlindungan bagi pembatalan pra-perjalanan, sekiranya mereka terjejas akibat penutupan Jetstar Asia.
Dalam kenyataan kepada Berita Harian (BH) pada 12 Jun, Income Insurance berkata ia telah memutuskan menyediakan perlindungan “sebagai sebahagian daripada muhibah” walaupun pemberhentian operasi Jetstar Asia tidak termasuk dalam “acara yang diinsuranskan” sekiranya terdapat pembatalan perjalanan.
Acara yang diinsuranskan termasuk bencana alam, rusuhan, penutupan lapangan terbang akibat keadaan cuaca buruk, kehilangan keluarga, antara lain.
“Berdasarkan pengumuman terbaru oleh Jetstar Asia mengenai pemberhentian operasi mereka, kami menyedari tekanan dan kebimbangan yang dialami pelanggan kami akibat kesan berita mengejut ini.
“Kami mahu menyokong pelanggan dalam meluaskan sokongan yang diperlukan semasa mereka mengharungi situasi ini,” kata Ketua Pegawai Pelanggan Income Insurance, Encik Dhiren Amin.
Income Insurance berkata pelanggan yang layak yang telah membeli Insurans Perjalanan Income dengan perlindungan pembatalan pra-perjalanan dan terpaksa membatalkan atau mengubah perjalanan mereka kerana pemberhentian operasi Jetstar Asia akan dilindungi oleh syarikat insurans itu.
Mereka akan dapat menuntut perbelanjaan yang tidak digunakan dan prabayar seperti penginapan, pakej pelancongan, lawatan tempatan, tiket taman hiburan dan perbelanjaan pengangkutan di luar perbelanjaan tiket penerbangan Jetstar, yang termasuk pemindahan darat, tambahnya.
Income Insurance, dalam kenyataannya, berkata: “Ini khusus kepada pelan insurans perjalanan tunggal dan perjalanan tahunan yang layak yang dibeli sebelum 11 Jun 2025, 8 pagi.
“Bayaran balik penuh, dalam had polisi yang ditetapkan, akan diberikan, jika dan apabila pelanggan yang layak terjejas gagal mendapatkan bayaran balik perbelanjaan daripada penyedia penginapan, pengangkutan atau perkhidmatan mereka, seperti yang ditetapkan dalam terma dan syarat polisi insurans perjalanan.”
BH telah menghubungi penyedia insurans lain seperti Singlife, Great Eastern dan FWD untuk mendapat kepastian sama ada mereka juga akan memberi perlindungan kepada pelanggan mereka yang terjejas.
Namun belum ada jawapan yang diterima sejauh ini.
Pada 11 Jun, Jetstar Asia mengumumkan ia akan menghentikan operasinya mulai 31 Julai susulan cabaran yang dihadapi, mengancam kemampanan perniagaannya.
Pelanggan yang membuat tempahan sebelum 31 Julai mungkin akan melihat beberapa perubahan pada jadual mereka.
Bagi yang terjejas, Jetstar Asia berkata ia akan menghubungi pelanggan jika terdapat sebarang perubahan pada penerbangan mereka.
Pelanggan Jetstar Asia yang mempunyai tempahan yang terjejas oleh pengumuman itu akan dihubungi, dengan pilihan bayaran balik tunai penuh atau penerbangan alternatif jika ada.
Ia turut menyatakan bahawa pelanggan yang tidak lagi ingin terbang dengan syarikat itu menjelang penutupannya akan diberi “fleksibiliti tambahan,” walaupun butiran lanjut tidak didedahkan.
Jetstar Asia juga mengumumkan bahawa ia telah membangunkan laman web khas untuk kegunaan pelanggan yang terjejas, termasuk menerusi laman Travel Alert yang mengemas kini makluman terkini daripada syarikat tersebut.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg