Syarikat kecil dan sederhana (SME) di Singapura tidak lama lagi boleh mendapatkan nasihat kewangan yang disesuaikan bagi rancangan perkembangan mereka selain mendapat bimbingan mengenai pilihan pembiayaan, melalui sebuah hab penasihat pembiayaan baru.
Pusat Penasihat Pembiayaan Perusahaan (Cefa) itu, yang akan mula beroperasi dalam beberapa bulan mendatang, akan turut menyediakan peluang kepada perusahaan berhubung dengan rangkaian pembiaya dan pelabur.
Mengumumkannya semasa Persidangan Pusat SME Ke-12 yang diadakan di Pusat Konvensyen dan Ekspo Sands pada 30 Julai, Menteri Negara Kanan (Kebudayaan, Masyarakat dan Belia merangkap Perdagangan dan Perusahaan), Cik Low Yen Ling, berkata Cefa akan berkhidmat sebagai hab khusus bagi memperkukuh daya tahan kewangan SME melalui khidmat nasihat, pemudahan dan sokongan bagi membina keupayaan.
“Cefa merupakan satu langkah penting ke hadapan dalam memberi SME sokongan pembiayaan yang diperlukan bagi merebut peluang pertumbuhan dalam landskap ekonomi yang pesat berubah.
“Butiran lanjut akan dikongsi apabila Cefa mula beroperasi dalam beberapa bulan mendatang,” kata beliau.
Cik Low menyaksikan penandatanganan perjanjian kerjasama antara Enterprise Singapore dengan Persekutuan Perniagaan Singapura (SBF) untuk menubuhkan hab tersebut pada acara sampingan persidangan itu.
Dalam pada itu, Pusat SME akan dipertingkat bagi menyediakan khidmat nasihat lebih menyeluruh dan memenuhi keperluan perusahaan.
Sebagai contoh, penasihat perniagaan di bawah Pusat SME akan dilengkapi dengan set peralatan diagnostik yang boleh mengenal pasti jurang keupayaan dan memberi saranan kepada perusahaan.
Sebagai permulaan, set peralatan itu akan meliputi keupayaan penting seperti langkah mengembangkan sayap ke luar negara dan usaha pendigitalan, dengan topik lain seperti kemampanan akan ditambah kemudian.
“Peningkatan ini membantu penasihat perniagaan menilai dan memahami dengan lebih baik saranan nilai unik dan aspirasi pertumbuhan setiap perusahaan,” kata Cik Low.
Terdapat lebih 70 penasihat perniagaan di 10 Pusat SME.
Mereka membantu perusahaan dengan memberikan huraian yang menangani keprihatinan segera perniagaan, serta melakukan semakan perniagaan yang menyeluruh untuk menyokong perkembangan jangka panjang.
Pusat SME tersebut, yang dikendalikan oleh lima persatuan dan dewan perdagangan, dengan kerjasama Enterprise Singapore, membantu sekitar 25,000 SME setiap tahun melalui khidmat seperti nasihat perniagaan dan pembangunan keupayaan.
Bagi perusahaan dengan isu lebih rumit, penasihat perniagaan akan merujukkan mereka kepada rakan pakar yang sesuai untuk mendapatkan bantuan dan bimbingan.
Ini seperti Pejabat Properusahaan SME, yang dilancarkan pada Mac 2024, yang membantu perniagaan dalam soal peraturan rentas agensi dan isu berkaitan sektor baru di mana peraturan mungkin masih berkembang.
Satu lagi rakan ialah Pusat bagi Masa Depan Perdagangan dan Pelaburan (CFOTI) SBF, yang menawarkan sokongan dan nasihat untuk membantu perniagaan mengemudi cabaran perdagangan sejagat.
Peningkatan kepada Pusat SME itu disasarkan dilaksanakan menjelang 2027.
Cik Low berkata dunia perniagaan hari ini sedang berkembang pesat bak sungai yang mengalir deras, namun dengan rakan kongsi yang betul, perniagaan boleh “membina rakit yang kukuh, memanfaatkan kekuatan gabungan mereka untuk bergerak ke hadapan dengan kekuatan dan kejelasan yang lebih besar”.
“Kerjasama kukuh membantu perniagaan membina model perniagaan dan rantaian bekalan lebih berdaya tahan.
“Ia membantu membuka akses kepada sumber, rangkaian dan kepakaran yang mungkin sukar dicapai firma individu.
“Kejayaan yang berkekalan dibina apabila perniagaan bekerjasama dan membentuk asas yang kukuh untuk pertumbuhan masa depan,” kata beliau.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg