Dewan Perniagaan dan Perusahaan Melayu Singapura (DPPMS) telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MOU) baru dengan Maybank Singapura untuk menyokong perniagaan Melayu meraih peluang rentas sempadan dan pembangunan industri halal.
MOU itu ditandatangani di sesi ‘townhall’ atau taklimat umum DPPMS pada 27 Jun yang diadakan di Bedok North Street 1.
Langkah itu merupakan hasil maklum balas yang diberikan oleh peniaga.
Ia akan membolehkan kedua-dua pihak iaitu DPPMS dan Maybank menyediakan khidmat nasihat bersama kepada ahli-ahlinya.
Presiden DPPMS, Encik Abdul Malik Hassan, berkata: “Perkongsian dengan Maybank ini menandakan satu langkah penting dalam memperkukuh peranan DPPMS sebagai penyambung untuk peluang rentas sempadan.
“Melalui khidmat nasihat bersama, rujukan pelanggan, dan acara yang dianjurkan bersama, kami berhasrat menyokong ahli kami dalam memanfaatkan inisiatif seperti kerjasama Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) dan projek-projek berkenaan Malaysia-Singapura (MYSG), terutamanya dalam sektor halal yang berkembang pesat.”
Sesi taklimat umum itu, yang diadakan di Common Ground Civic Centre & Consultancy, merupakan yang pertama dibuka kepada hadirin yang bukan ahli DPPMS.
Seramai 80 hadirin, termasuk ahli DPPMS serta orang awam, menghadiri sesi itu, yang diadakan dua bulan selepas dewan perniagaan tersebut mengumumkan barisan lembaga pengarahnya, termasuk Presiden barunya.
Sesi tersebut berfungsi sebagai wadah untuk mendapatkan maklum balas dan juga sebagai peluang bagi DPPMS membentangkan inisiatif akan datang yang bertujuan membina daya tahan dan pertumbuhan perniagaan.
“Sesi ‘townhall’ ini mencerminkan komitmen berterusan DPPMS untuk mendengar, menyesuaikan diri dan memimpin.
“Kami mengukuhkan jambatan serantau dan melengkapkan ahli kami dengan perkara yang paling mereka perlukan, akses, nasihat dan peluang,” kata Encik Malik.
Antara kebimbangan utama yang dibangkitkan oleh peserta termasuk keinginan bagi kerjasama yang lebih bermakna, akses yang lebih luas kepada pasaran antarabangsa dan perkhidmatan nasihat perniagaan yang disesuaikan.
Untuk memenuhi panggilan bagi kerjasama yang lebih mendalam, DPPMS berkata ia akan mengukuhkan inisiatif seperti Dewan Connect dengan topik khusus industri dan sesi rangkaian terpilih untuk memupuk dialog yang mempunyai tumpuan tertentu.
Semasa acara itu, DPPMS juga mengumumkan rancangannya menubuhkan pejabat serantau di Johor Bahru, Malaysia dan Jakarta, Indonesia untuk menyediakan sokongan bagi peniaga Melayu Singapura.
Ini berikutan minat dalam kalangan ahli yang ingin berkembang ke Malaysia, Indonesia, rantau MENA (Timur Tengah dan Afrika Utara) dan Asia Tengah, kata DPPMS.
“Antara maklum balas yang ketara ialah keinginan kuat untuk mengadakan rangkaian industri yang bermakna dan lebih khusus. Ini menunjukkan bahawa ahli kami bukan sahaja mencari pendedahan, malah perhubungan bermakna, yang boleh meraih peluang yang benar.
“DPPMS komited untuk membina program yang sesuai kepada cabaran dan aspirasi masyarakat kami, dan untuk memastikan ahli dilengkapi dengan baik untuk berkembang dengan yakin, di dalam dan di seluruh rantau ini,” kata Encik Malik.
Untuk menyokong ahli dengan khidmat nasihat perniagaan yang disesuaikan, DPPMS menggesa ahlinya supaya memanfaatkan khidmat Pusat SME@DPPMS yang menyediakan sumber kritikal dan panduan yang disesuaikan dengan bidang seperti perubahan perniagaan, kewangan dan operasi.
Semasa acara itu, ahli turut membangkitkan beberapa cabaran utama yang dihadapi oleh perniagaan mereka, termasuk kekangan tenaga kerja, akses terhad kepada pembiayaan dan peningkatan kos operasi.
Untuk menangani kekurangan tenaga kerja, DPPMS menggalak peniaga-peniaga Melayu Singapura mempertimbangkan strategi tenaga kerja serantau, termasuk meneroka peluang di JS-SEZ.
Mengenai pembiayaan, DPPMS berkata ia sedang membangunkan buku panduan pembiayaan dan menggalak peniaga Melayu terus membina rangkaian secara proaktif dengan bank, pemacu perniagaan dan rangkaian pelabur.
Untuk membantu pemilik perniagaan membina keupayaan dan asas mereka dalam menjalankan perniagaan, DPPMS menggalak peniaga Melayu Singapura mendaftar dengan Akademi DPPMS yang akan terus menyediakan kelas induk praktikal seperti belanjawan, pengurusan kos dan ramalan perniagaan.
Antara isu yang dibangkitkan di “townhall” DPPMS
1. Kerjasama yang lebih bermakna
DPPMS akan mengukuhkan inisiatif seperti Dewan Connect dengan topik khusus industri dan sesi rangkaian terpilih untuk memupuk dialog yang bertujuan.
2. Akses yang lebih besar kepada pasaran antarabangsa
DPPMS akan menubuhkan pejabat serantau di Johor Bahru, Malaysia dan Jakarta, Indonesia untuk menyediakan sokongan di lapangan. Ia juga akan menerajui misi perdagangan bermula dengan Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (Mihas) dan Sarawak.
3. Khidmat nasihat perniagaan yang disesuaikan
DPPMS berkata para peniaga boleh merujuk kepada Pusat SME@DPPMS untuk mendapatkan panduan yang disesuaikan dalam bidang-bidang seperti perubahan perniagaan, kewangan dan operasi.
4. Cabaran kekurangan tenaga kerja
DPPMS menggalak peniaga-peniaga Melayu Singapura mempertimbangkan strategi tenaga kerja serantau, termasuk meneroka peluang di JS-SEZ.
5. Akses terhad kepada pembiayaan, dana
DPPMS berkata ia sedang membangunkan buku panduan pembiayaan dan menggalak peniaga Melayu supaya terus membina rangkaian secara proaktif dengan bank, pemecut perniagaan (‘accelerators’) dan rangkaian pelabur.
6. Cabaran peningkatan kos operasi, bina keupayaan
DPPMS menggalak peniaga Melayu Singapura supaya mendaftar dengan Akademi DPPMS yang akan terus menyediakan kelas induk praktikal seperti belanjawan, pengurusan kos dan ramalan perniagaan.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg