Sektor telko Singapura mungkin menghampiri titik perubahan besar berikutan tekanan spektrum yang semakin meningkat ke atas operator keempat, Simba, yang menimbulkan persoalan tentang sama ada persaingan berasaskan harga boleh terus bertahan, kata penganalisis. 

Penggabungan yang gagal dengan M1, siasatan terhadap penggunaan spektrum tanpa kebenaran, serta perintah mahkamah baru-baru ini untuk membayar ganti rugi $700,000 kerana pencerobohan telah menarik perhatian besar kepada telko yang menggegarkan pasaran pada 2020 dengan pelancaran pelan murah itu.

Kini, penganalisis mempersoalkan daya saing telko itu ketika Singapura beralih kepada model 5G mandiri (5G-SA), yang dijangka siap menjelang pertengahan 2026.

Berbeza dengan rangkaian 5G bukan mandiri, yang kini bergantung pada prasarana 4G sedia ada, 5G-SA berjalan di atas prasarana 5G khusus, menawarkan kapasiti, kelajuan dan kelakonan yang lebih tekal.

Namun, peralihan itu mendedahkan kelemahan ketara dalam Simba, yang digambarkan sesetengah penganalisis sebagai salah satu kelemahan struktur terbesarnya.

Penganalisis di DBS Group Research, Encik Sachin Mittal, berkata: “Kesemua kapasiti 5G Simba yang boleh digunakan terletak dalam satu jalur 10 megahertz (MHz) dari 2,100 MHz (spektrum), sedangkan pesaing menjalankan rangkaian 5G-SA mereka guna 100 MHz daripada 3.5 gigahertz (GHz) (spektrum) setiap satu.”

Selain itu, Simba tidak memiliki sebarang spektrum 1,800 MHz dan 3.5 GHz – dua jalur yang membawa majoriti kapasiti dalaman bandar dan kapasiti 5G masing-masing untuk telko lain, tambahnya.

Spektrum 5G Simba yang terhad, ditambah pangkalan pelanggan yang semakin berkembang, bermakna telko itu kini menanggung lebih banyak trafik dengan “ruang lapang yang sangat sedikit,” jelas beliau.

Telko itu mempunyai 1.4 juta pelanggan mudah alih aktif setakat 31 Januari, peningkatan daripada 1.2 juta pada tempoh setahun sebelumnya.

“Potensi ketidakupayaan untuk menawarkan 5G serta perkhidmatan 4G yang tidak konsisten boleh melemahkan Simba dengan ketara, membuka jalan kepada pembaikan purata pendapatan daripada setiap pengguna (ARPU) mudah alih berlaku lebih awal daripada jangkaan asas kami, iaitu pemulihan dalam tempoh 12 bulan,” kata Encik Mittal.

Selain kekangan spektrum, penganalisis juga menyatakan Simba perlu membayar yuran pematuhan keselamatan siber tambahan.

Encik Mittal menganggarkan ia akan mengakibatkan bayaran sekali sahaja, antara $21 juta dengan $28 juta. Tambahan pula, telko itu dikehendaki membayar yuran berulang sebanyak $3 hingga $5 juta.

Ini mungkin menyebabkan aliran tunai bebas Tuas Limited, syarikat pegangan Simba yang tersenarai di Australia, menjadi negatif, tambah beliau.

Walaupun DBS mencatatkan aliran tunai bebas Tuas sebanyak $26 juta bagi tahun kewangan 2025, bayaran tambahan itu boleh menyebabkan perbelanjaan modal meningkat kepada $60.5 juta dalam senario asas, atau lebih tinggi sehingga $77 juta dalam senario yang dipercepatkan.

Penganalisis di Maybank Securities, Encik Hussaini Saifee, menambah Simba juga dikehendaki memperbaharui spektrumnya, yang akan tamat tempoh pada 2033, pada kadar pasaran melalui lelongan.

Tekanan yang semakin meningkat terhadap Simba mungkin membawa kesan meluas kepada industri telko Singapura.

Diperkenalkan pada 2020, Simba, yang ketika itu dikenali sebagai TPG Telecom, telah menjadi penggerak persaingan harga yang agresif, dengan pemain sedia ada menurunkan harga pelan mudah alih untuk bersaing.

Ini telah memberi kesan kepada keuntungan industri. Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, telko tempatan berdepan dengan nilai ARPU yang mendatar.

ARPU Singtel menurun sedikit kepada $23 sebulan setakat 31 Mac, lebih rendah berbanding $24 pada tahun sebelumnya (2025). ARPU StarHub pula mendatar pada $21 setakat 31 Mac.

Encik Hussaini menyatakan ARPU pemain telko Singapura telah “merosot dengan ketara.”

ARPU Singapura berada pada tahap lebih rendah, berbanding rakan sebaya pasaran membangun Asia, “menggariskan keperluan untuk penggabungan dan rasionaliti persaingan,” tambahnya.