Hampir 10,000 pekerja akan dapat meraih kenaikan gaji purata sebanyak 5 peratus melebihi kadar kenaikan tahunan mereka, melalui Geran Jawatankuasa Latihan Syarikat (CTC) kelolaan Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC).
Kumpulan pekerja itu – termasuk karyawan, pengurus dan eksekutif – berpeluang menikmati kenaikan gaji, elaun kemahiran atau laluan kerjaya berstruktur di bawah Pelan Pembangunan Kerjaya (CDP), kata NTUC dalam satu kenyataan pada 15 September.
Mereka adalah pekerja di lebih 500 syarikat yang menerima Geran CTC bagi lebih 700 projek, yang mana lebih 70 projek berteraskan unsur kecerdasan buatan (AI).
Setiausaha Agung NTUC, Encik Ng Chee Meng, berkata: “Kebangkitan AI menjadikannya satu keperluan, bahkan ia memainkan peranan penting, bagi menjana transformasi.
“Kami melihat lebih banyak syarikat memanfaatkan AI dalam rancangan transformasi dan kami komited untuk bekerjasama dengan syarikat-syarikat bagi menggunakan AI secara bertanggungjawab.
“AI bukanlah untuk menggantikan tenaga kerja dan pekerjaan, tetapi untuk membantu pekerja dengan penggunaan alat AI.”
Skim itu diperkenalkan pada 2022 dengan peruntukan $100 juta. Dalam Belanjawan 2025, Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, mengumumkan peruntukan tambahan $200 juta.
Skim tersebut diperkenalkan bagi menyokong syarikat yang sedang menjalani transformasi untuk meningkatkan daya penghasilan, menambah baik prospek kerjaya kakitangan, atau mereka semula pekerjaan, melalui pembiayaan bersama hingga 70 peratus daripada kos berkaitan.
Syarikat pengendali pengangkutan awam, SBS Transit, adalah antara syarikat yang memanfaatkan Geran CTC dengan pelaksanaan Sistem Pengurusan Tayar berautomasi di Depoh Bas Seletar dan Ulu Pandan menjelang akhir 2025.
Encik Ng turun padang selaku tetamu kehormat untuk meninjau konsep sistem tersebut dan berinteraksi dengan kakitangan SBS Transit di Depoh Bas Seletar pada 12 September.
Mengulas perincian lanjut semasa sesi penyampaian, Ketua Kejuruteraan Bas SBS Transit, Encik Chia Hee Chen, berkata sistem itu menyepadukan AI untuk membolehkan diagnostik lebih pantas dan lebih tepat serta penyelenggaraan ramalan.
Ia sekali gus membolehkan SBS Transit meningkatkan kecekapan dan mencapai penjimatan kos dalam kejuruteraan dan penyelenggaraan bas – iaitu sebanyak 3,329 bas berdasarkan Laporan Tahunan SBS Transit 2024.
Ini memandangkan proses pemeriksaan tayar bagi bas, yang setiap satu mempunyai antara enam dengan lapan roda, memakan banyak masa dan tenaga, ujarnya.
Pemeriksaan tayar dijalankan ke atas sekitar 500 bas di setiap enam depoh bas kendalian SBS Transit setiap bulan.
“Buat masa ini, kakitangan kami perlu memeriksa tayar secara manual. Sistem (yang baru ini) dapat mengukur tekanan pada tapak tayar dan kerosakan pada tayar.
“Kapten Bas hanya perlu memandu bas melalui sistem peralatan yang telah ditetapkan setiap hari setelah tamat waktu kerja mereka,” kata Encik Chia.
Langkah itu, menurutnya, dapat menjana penjimatan tahunan sekitar $200,000 apabila ia dilaksanakan sepenuhnya, di samping membebaskan peranan teknisyen supaya mereka dapat memberi tumpuan kepada pekerjaan dengan nilai lebih tinggi.
Encik Ng berkata pelaksanaan sistem baru yang dipacu AI itu menggantikan “kerja kejuruteraan berat” yang dilakukan teknisyen.
“Dalam era AI, kami ingin bekerjasama dengan lebih banyak rakan kongsi dan syarikat, bukan sahaja untuk memperbaiki aspek teknologi secara umumnya, tetapi memacu penambahbaikan pada sempadan AI agar perniagaan dan pekerja kedua-duanya dapat meraih manfaat,” kata beliau.
Acara itu turut dihadiri Timbalan Setiausaha Agung NTUC, yang juga Menteri Negara Kanan (Pejabat Perdana Menteri), Encik Desmond Tan, dan Setiausaha Eksekutif Kesatuan Sekerja Pengangkutan Kebangsaan (NTWU), Cik Yeo Wan Ling.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg