Pekerjaan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

NTUC dorong perubahan perniagaan, latihan pekerja

Langkah akan bantu pekerja rancang matlamat kerjaya dan laluan latihan
May 1, 2025 | 7:06 PM
Setiausaha Agung, Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC), Encik Ng Chee Meng, dalam ucapan beliau sempena Rapat Hari Pekerja pada 1 Mei, berkata kekalahannya dalam Pilihan Raya Umum 2020 (GE2020) memberikan banyak pengajaran yang baik.
Setiausaha Agung, Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC), Encik Ng Chee Meng, dalam ucapan beliau sempena Rapat Hari Pekerja pada 1 Mei, berkata kekalahannya dalam Pilihan Raya Umum 2020 (GE2020) memberikan banyak pengajaran yang baik. - Foto ZAOBAO

Pekerja yang mencari pekerjaan pada masa hadapan boleh mendapatkan bantuan daripada jurulatih kerjaya pergerakan buruh secara dalam talian serta meraih manfaat daripada rangkaian pengambilan pekerja yang lebih kukuh.

Langkah itu akan membantu pekerja merancang matlamat kerjaya serta laluan latihan mereka, menambah baik resume serta membuat persediaan untuk temu duga, kata Setiausaha Agung, Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC), Encik Ng Chee Meng, dalam ucapan beliau sempena Rapat Hari Pekerja pada 1 Mei.

Perkhidmatan yang dipertingkatkan untuk pekerja itu diadakan sedang NTUC berusaha memperbaharui Majlis Jaminan Pekerjaan (JSC).

Satu Direktorat Keselamatan Pekerjaan telah ditubuhkan untuk menyelaras dan menerajui usaha mendorong transformasi perniagaan dan latihan tenaga kerja, lapor The Straits Times.

JSC ditubuhkan semasa pandemik Covid-19 untuk membantu pekerja yang kehilangan pekerjaan dalam sektor penerbangan dan sektor lain, berpindah dengan pantas ke bidang tugas lain, kata Encik Ng.

Lebih 110,000 pekerja, termasuk golongan karyawan, pengurus dan eksekutif (PME), berjaya dibantu dari Februari 2020 hingga November 2024.

Encik Ng turut mengumumkan bahawa NTUC akan memperkukuh Jawatankuasa Latihan Syarikat (CTC) dengan membentuk Kelompok CTC supaya pekerja boleh dilatih di peringkat kelompok perusahaan.

Geran CTC, yang menggalakkan syarikat menjalankan lebih banyak latihan yang diterajui oleh majikan, kini akan memacu perubahan di peringkat perusahaan.

Encik Ng berkata Kelompok CTC pertama ditubuhkan pada awal 2025 bersama ST Engineering Land Systems dan SkillsFuture Singapura, dan kerjasama itu dijangka meningkatkan kemahiran lebih 1,000 pekerja dari 40 syarikat kecil dan sederhana (SME).

Beralih kepada isu ekonomi, Encik Ng berkata: “Tarif dari Amerika Syarikat telah menimbulkan banyak kebimbangan dan ketidaktentuan.

“Peraturan dunia yang berasaskan undang-undang – dalam perdagangan dan keselamatan – semakin goyah.

“Ekonomi kita akan terkesan,” katanya, sambil menambah bahawa ramalan pertumbuhan 2025 telah disemak semula dan kadarnya jatuh kepada antara sifar dengan 2 peratus.

Beliau turut menyatakan bahawa kadar pengangguran telah meningkat sedikit pada suku pertama 2025, dengan jumlah dagangan dijangka menurun.

Memberi amaran, beliau berkata “perniagaan dan pekerjaan kita akan terjejas”.

Menurut Encik Ng, penyertaan beliau sebagai Timbalan Ketua Setiausaha NTUC pada April 2018, dan dipilih sebagai Setiausaha Agung sebulan kemudian, telah mengajarnya untuk tidak berputus asa.

“Pada 2020, saya rasakan bahawa saya telah mengecewakan anda semua.

“Menghadapi kekalahan (Pilihan Raya Umum 2020) itu membuat saya rasa amat rendah diri.

“Tetapi ia juga telah memberi saya banyak pengajaran yang baik.

“Bukan kekalahan kita yang menentukan kita. Yang penting adalah bagaimana kita terus melangkah ke hadapan dan melakukan yang terbaik,” tambah Encik Ng.

Beliau mengetuai pasukan Parti Tindakan Rakyat (PAP) yang tewas kepada Parti Pekerja (WP) di GRC Sengkang pada Pilihan Raya Umum 2020 (GE2020).

Beliau menentang calon baru WP, Encik Andre Low, di SMC Jalan Kayu pada GE2025.

“Pada 2020, saya rasakan bahawa saya telah mengecewakan anda semua. Menghadapi kekalahan (Pilihan Raya Umum 2020) itu membuat saya rasa amat rendah diri. Tetapi ia juga telah memberi saya banyak pengajaran yang baik. Bukan kekalahan kita yang menentukan kita. Yang penting adalah bagaimana kita terus melangkah ke hadapan dan melakukan yang terbaik.”
Encik Ng Chee Meng, Setiausaha Agung, Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC).
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg