Mulai November, hampir 50,000 syarikat kecil dan sederhana (SME) akan menerima perkhidmatan keselamatan siber percuma selama setahun untuk menghalang perisian hasad (malware) daripada menembusi rangkaian dan peranti mereka, sebagai sebahagian usaha pendigitalan negara.
Perkhidmatan ini ditawarkan oleh Singtel, dengan kerjasama Penguasa Pembangunan Infokom Media (IMDA) dan Enterprise Singapore (EnterpriseSG).
Singtel merupakan salah satu daripada dua syarikat baru yang menyokong Pelan Induk Perusahaan Digital (DEB).
DEB merupakan sebuah strategi nasional yang dilancarkan pihak berkuasa pada Mei 2024 untuk membantu syarikat tempatan menjalani transformasi digital.
Diumumkan pada 7 Oktober, Program Perlindungan Siber Singtel boleh mengesan pautan dan laman web berniat jahat dalam e-mel serta rangkaian laman web pekerja SME.
Melalui program ini, pekerja akan diberi amaran mengenai pautan berniat jahat dan akses mereka ke laman web yang mengandungi perisian hasad akan disekat, lapor The Straits Times (ST).
Program seperti ini penting kerana ancaman siber semakin canggih dan rumit untuk ditangani, seiring dengan lebih banyak syarikat menjalani proses pendigitalan, kata Ketua Eksekutif Singtel Singapore, Encik Ng Tian Chong.
“Kami tahu SME… lazimnya mempunyai sumber terhad,” kata Encik Ng, sambil menambah syarikat telekomunikasi itu ingin menjadikan keselamatan siber mudah, boleh diakses dan mampu milik.
Langkah Singtel mengekalkan pangkalan data mengenai pautan dan laman web berniat jahat adalah supaya peranti mudah alih perniagaan serta rangkaian pejabat dapat dilindungi daripada ancaman pada peringkat rangkaian.
Ini termasuk ancaman pautan pancing data yang boleh membawa kepada jangkitan perisian tebusan dan perisian hasad.
Program Singtel ini diperkenalkan selepas jumlah sistem tempatan yang dijangkiti perisian hasad meningkat kepada 117,300 pada 2024, berbanding sekitar 70,200 pada 2023, menurut Agensi Keselamatan Siber (CSA) Singapura.
Perlindungan ini ditawarkan secara percuma untuk 12 bulan pertama, dan akan meliputi sehingga lima talian mudah alih perniagaan setiap syarikat bagi 14,000 SME, serta satu rangkaian jalur lebar setiap syarikat bagi 35,000 SME.
Pada tahun kedua, syarikat perlu membayar $2.45 bagi setiap talian mudah alih, dan $8.18 sebulan bagi sambungan jalur lebar mereka.
Menurut data yang diterbitkan oleh Jabatan Perangkaan pada 2024, Singapura mempunyai sekitar 274,000 SME tempatan.
Sebagai sebahagian program ini, Singtel juga akan mengadakan bengkel keselamatan siber dan menghasilkan video pendidikan untuk meningkatkan pemahaman SME mengenai ancaman siber serta strategi untuk menanganinya.
Di bawah DEB, agensi pemerintah bekerjasama dengan penyedia teknologi untuk menyokong usaha pendigitalan SME.
Inisiatif sedia ada termasuk program ST Engineering yang menawarkan imbasan ancaman siber percuma, serta usaha DBS Bank untuk membantu syarikat menggunakan aplikasi kecerdasan buatan (AI) generatif.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg