Pertumbuhan harga flat jualan semula Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) meningkat pesat pada suku ketiga 2024, naik 2.5 peratus berbanding 2.3 peratus yang dicatatkan pada suku kedua.
Ia juga lebih tinggi daripada 1.3 peratus yang dicatatkan dalam tempoh yang sama pada 2023, menurut anggaran kilat HDB pada 1 Oktober.
Sementara itu, jumlah urus niaga flat jualan semula pada suku ketiga 2024 berjumlah 8,035 unit, meningkat 20 peratus daripada tempoh yang sama pada 2023, lapor The Business Times.
Urus niaga jualan flat sejuta dolar terus menyumbang sebahagian kecil daripada jumlah jualan semula, dan sebahagian besar flat jualan semula diurus niaga pada “harga yang jauh lebih rendah” pada suku ketiga, kata HDB.
Agensi itu mengaitkan kenaikan dalam kedua-dua harga jualan semula dan jumlah penjualan disebabkan oleh “permintaan meluas yang kukuh”, serta kesempitan bekalan dalam pasaran.
Ini ekoran lebih sedikit bilangan flat baru yang memenuhi Tempoh Penginapan Minimum (MOP) pada 2024, berbanding 2023.
HDB menambah bahawa ini juga mencerminkan keadaan pasaran sebelum langkah menurunkan had nisbah pinjaman-nilai (LTV) untuk pinjaman HDB, daripada 80 peratus kepada 75 peratus.
Peraturan ini telah dilancarkan pada 20 Ogos untuk menyejukkan pasaran jualan semula dan menggalakkan pembeli rumah supaya lebih berhemat dari segi kewangan.
“Pemerintah akan terus memantau pasaran hartanah dengan teliti dan menyesuaikan dasar-dasarnya mengikut keperluan untuk menggalakkan pasaran hartanah yang stabil dan mampan.
“Sementara itu, isi rumah dinasihatkan supaya berhemat dalam pembelian hartanah mereka memandangkan pasaran hartanah bergerak dalam kitaran dan mereka yang membeli pada harga tinggi akan lebih terjejas apabila harga akhirnya turun,” tambah HDB.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg