Ekonomi
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Harga jualan semula flat HDB di estet matang merosot pada Ogos

Jumlah transaksi flat jualan semula jutaan dolar berkurang kepada 104 daripada 120 pada Julai; kesan tempoh reda Bulan Hantu
Sep 4, 2024 | 6:17 PM
Menurut seorang pakar hartanah, jumlah jualan yang jatuh pada Ogos mungkin sebahagiannya disebabkan oleh Bulan Hantu menghalang pembeli. Bulan ketujuh mengikut kalendar kaum Cina ini, yang bermula pada 4 Ogos tahun ini, dianggap tidak menguntungkan untuk pembelian hartanah.
Menurut seorang pakar hartanah, jumlah jualan yang jatuh pada Ogos mungkin sebahagiannya disebabkan oleh Bulan Hantu menghalang pembeli. Bulan ketujuh mengikut kalendar kaum Cina ini, yang bermula pada 4 Ogos tahun ini, dianggap tidak menguntungkan untuk pembelian hartanah. - Foto The Straits Times

Harga jualan semula flat Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) di estet matang pada Ogos merosot 0.2 peratus, manakala jualan flat jutaan dolar berkurangan.

Ia berlaku di tengah-tengah tempoh reda dalam Bulan Hantu mengikut kepercayaan sebahagian kaum Cina.

Harga jualan semula keseluruhan mencatatkan peningkatan 0.5 peratus bulan ke bulan, kerana harga terus meningkat 1.2 peratus dalam estet belum matang, menurut anggaran kilat daripada laman SRX dan 99.co yang dikeluarkan pada 4 September.

Ini menandakan peningkatan 7.5 peratus tahun ke tahun bagi keseluruhan harga jualan semula HDB.

Peningkatan lebih kecil itu mungkin disebabkan lebih banyak flat dijual tanpa wang tunai atas taksiran (COV), kata ketua pegawai eksekutif Huttons Asia, Encik Mark Yip.

Jumlah jualan berkurangan pada Ogos, kerana Bulan Hantu dikatakan menghambat pembeli, lapor The Business Times.

Ia turun 14.6 peratus kepada 2,605 unit pada Ogos, berbanding 3,049 flat pada Julai. Namun, bilangan jualan semula Ogos meningkat 5.3 peratus berbanding pada Ogos 2023.

Bulan ketujuh mengikut kalendar lunar kaum Cina, yang bermula pada 4 Ogos, dianggap tidak menguntungkan untuk pembelian hartanah.

Akibatnya, pembeli rumah mungkin menangguhkan pembelian mereka, kata ketua penyelidik dan ahli strategi OrangeTee Group, Cik Christine Sun.

Bilangan jualan flat jutaan dolar membentuk 4 peratus daripada jumlah jualan semula pada Ogos, dengan 104 unit terjual.

Ini menandakan penurunan daripada 120 flat berharga lebih sejuta dolar yang diurus niaga pada Julai.

Pada Ogos, Bukit Merah merekodkan 12 unit jualan flat bernilai melebihi sejuta dolar.

Ini diikuti Bishan dan Kallang Whampoa, dengan setiap bandar mempunyai 11 transaksi sedemikian. Ang Mo Kio menjual 10 unit sedemikian.

Harga jualan semula merentas jenis bilik bercampur-campur.

Harga flat tiga bilik dan lima bilik masing-masing naik 0.8 peratus pada Ogos, manakala harga flat eksekutif naik 1 peratus.

Sementara itu, harga flat empat bilik merekodkan penurunan 0.2 peratus bulan ke bulan.

Mengikut jenis bilik, flat empat bilik adalah yang paling popular pada Ogos, membentuk 43.4 peratus daripada jumlah keseluruhan jualan.

Sementara itu, permintaan bagi flat jualan semula tiga bilik dan lima bilik hampir sama rata, masing-masing membentuk 24.7 peratus dan 24.4 peratus.

Flat eksekutif membentuk 7.4 peratus daripada jumlah jualan pada Ogos.

Lebih separuh (60.5 peratus) urus niaga flat jualan semula adalah daripada estet belum matang.

Harga flat di estet matang mencatat kenaikan 6.3 peratus tahun ke tahun, manakala estet belum matang naik 8.2 peratus.

Pemerhati pasaran bersetuju bahawa langkah penyejukan baru-baru ini mempunyai kesan terhad ke atas pasaran jualan semula Ogos.

Bagaimanapun, mereka menyatakan bahawa kesan sekatan itu boleh dilihat dengan lebih jelas pada akhir 2024.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg