Pemerintah akan terus memastikan perumahan awam di Singapura mampu milik dan boleh diakses oleh semua rakyat Singapura, sedang ia meningkatkan bekalan dan berusaha untuk mengurangkan masa menunggu untuk flat baru, kata Perdana Menteri Encik Lawrence Wong.
Bercakap semasa Rapat Hari Kebangsaan (NDR) sulungnya pada 18 Ogos di Institut Pendidikan Teknikal (ITE) Kolej Central, Encik Wong, yang juga Menteri Kewangan, berkata lebih banyak sokongan juga akan diberikan kepada golongan berpendapatan rendah, warga emas dan mereka yang bujang.
“Ini adalah jaminan saya kepada semua anak muda Singapura. Sebaik sahaja anda mula bekerja dan ingin menetap, kami akan memastikan bahawa terdapat flat HDB yang berada dalam lingkungan bajet anda di setiap daerah.
“Kami akan sentiasa memastikan perumahan awam di Singapura mampu milik untuk anda,” kata Encik Wong.
Semasa ucapannya, Encik Wong berkata beliau memahami kebimbangan ramai rakyat Singapura, terutamanya pasangan muda, yang bimbang tentang masa menunggu flat Bina Ikut Tempahan (BTO) Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) baru dan harga flat yang tinggi.
Tambahnya, masalah semasa bekalan perumahan berpunca daripada pandemik Covid-19, yang menyebabkan gangguan kepada industri pembinaan yang menyaksikan bekalan unit kediaman baru semakin perlahan sehingga menyebabkan harga meningkat.
Bagaimanapun, beliau berkata bahawa pemerintah telah melaksanakan beberapa siri langkah penyejukan untuk membantu menstabilkan pasaran dan kini sedang berusaha untuk meningkatkan bekalan.
Semasa ucapannya, Encik Wong juga berkata bahawa semua projek BTO yang tertangguh akibat Covid-19 dijangka siap pada awal 2025.
“Menjelang awal tahun depan (2025), semua projek BTO yang ditangguhkan oleh Covid-19 akan disiapkan. Penduduk boleh mengambil kunci mereka tidak lama lagi.
“Usaha kami sudah mula menstabilkan pasaran hartanah,” kata Encik Wong.
Encik Wong juga menambah bahawa kesemua 100,000 unit flat yang pemerintah telah komited untuk bina dari 2021 hingga 2025 juga akan siap pada 2025.
“Terdahulu, Kementerian Pembangunan Negara (MND) telah komited untuk melancarkan 100,000 flat baru dari 2021 hingga 2025. Menjelang Disember, ia akan melebihi 80,000 unit.
“Menjelang tahun depan (2025), mereka akan menyediakan kesemua 100,000 unit, seperti yang dijanjikan,” kata Encik Wong.
Semasa ucapannya, Encik Wong juga menekankan bahawa masa menunggu untuk menempah flat telah dikurangkan tetapi pemerintah akan terus membina lebih banyak flat BTO mendahului permintaan untuk mengurangkan masa menunggu bagi pembeli.
Beliau menambah bahawa pemerintah akan terus berusaha menjadikan flat HDB lebih mampu milik dengan meningkatkan bekalan.
“Masa menunggu untuk kebanyakan projek kini sekitar empat tahun. Kami berhasrat untuk memendekkan ini dengan membina lebih awal daripada permintaan.
“Jadi dari masa ke masa, lebih banyak projek BTO akan mempunyai masa menunggu kurang daripada tiga tahun,” kata Encik Wong.
Encik Wong berkata bahawa model klasifikasi HDB baru iaitu Flat Standard, Plus, Prime yang diumumkan pada 2023, bertujuan untuk memastikan rakyat Singapura boleh terus membeli flat HDB di estet matang yang mungkin mempunyai harga lebih tinggi.
Kumpulan pertama flat BTO di bawah sistem klasifikasi baru itu akan dilancarkan pada Oktober, yang akan merangkumi projek BTO di bandar-bandar seperti Sengkang, Bayshore dan Kallang/Whampoa.
Memberi contoh pasangan muda yang mempunyai pendapatan gabungan sebanyak $7,000, yang ingin membeli flat BTO Plus 4 bilik di Bayshore Vista yang berharga $580,000, Encik Wong berkata bahawa mereka akan menikmati Geran Perumahan Tabung Simpanan Pekerja (CPF) Dipertingkat (EHG) sebanyak $25,000.
Mereka juga boleh mengambil pinjaman HDB selama 25 tahun dan boleh membayar gadai janji mereka menerusi simpanan CPF, dengan perbelanjaan wang tunai yang minimum.
“
Ini adalah jaminan saya kepada semua anak muda Singapura. Sebaik sahaja anda mula bekerja dan ingin menetap, kami akan memastikan bahawa terdapat flat HDB yang berada dalam lingkungan bajet anda di setiap daerah. Kami akan sentiasa memastikan perumahan awam di Singapura mampu milik untuk anda.Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg