Ekonomi
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Harga jualan semula HDB naik pada Okt

Jumlah urus niaga jatuh; 103 flat dijual dengan harga $1j atau lebih
Nov 6, 2024 | 3:24 PM
Harga hartanah di estet perumahan matang meningkat 0.1 peratus, manakala harga di estet tidak matang meningkat sebanyak 0.5 peratus pada Oktober.
Harga hartanah di estet perumahan matang meningkat 0.1 peratus, manakala harga di estet tidak matang meningkat sebanyak 0.5 peratus pada Oktober. - Foto BT

Harga jualan semula flat Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) mencatatkan peningkatan 0.3 peratus pada Oktober, tetapi jumlah flat HDB yang diurus niaga pada bulan itu berkurang, menurut data awal dari portal hartanah SRX dan agensi hartanah 99.co pada 6 November.

Harga hartanah di estet perumahan matang meningkat 0.1 peratus, manakala harga di estet bukan matang meningkat 0.5 peratus pada Oktober.

Kenaikan harga keseluruhan adalah 9.8 peratus berbanding tempoh yang sama setahun lalu.

Flat eksekutif mencatatkan kenaikan tertinggi sebanyak 1.8 peratus, diikuti flat tiga bilik (0.4 peratus) dan lima bilik (0.2 peratus).

Namun, flat empat bilik mencatatkan penurunan harga sebanyak 0.2 peratus.

Encik Mohan Sandrasegeran, ketua penyelidikan dan analisis data Singapore Realtors Inc, berkata kenaikan harga flat jualan semula HDB pada Oktober disebabkan oleh harga lebih tinggi bagi flat besar seperti flat eksekutif, lapor The Business Times.

Berbanding tempoh yang sama setahun lalu, harga bagi pelbagai jenis flat meningkat - flat tiga bilik (9.8 peratus), empat bilik (10.1 peratus), flat lima bilik (9.2 peratus) dan flat eksekutif (8.3 peratus).

Terdapat 2,158 flat jualan semula HDB yang diurus niagakan pada Oktober, iaitu penurunan 2.7 peratus berbanding bulan sebelumnya.

Encik Luqman Hakim, Ketua Pegawai Data dan Analitik di 99.co, berkata: “Pasaran jualan semula HDB pada Oktober menghadapi persaingan yang meningkat apabila sekitar 8,500 flat ditawarkan semasa pelancaran BTO bulan itu. 

“Flat BTO baru, terutamanya yang mempunyai waktu menunggu lebih singkat, mungkin menarik pembeli yang mencari perumahan segera, sekali gus mengurangkan permintaan untuk flat jualan semula dan melambatkan kenaikan harga.”

Selain itu, pelancaran jualan BTO terbaru telah menarik ramai golongan bujang keluar dari pasaran jualan semula, kerana mereka kini boleh membeli flat dua bilik baru di pasaran BTO, kata Ketua Penyelidik dan Strategi Kumpulan OrangeTee, Cik Christine Sun.

Walaupun urus niaga flat jualan semula menurun pada Oktober, Cik Wong Shanting, dari ERA Singapura, menjangka pemohon BTO pada Oktober yang tidak berjaya akan kembali ke pasaran jualan semula selepas perayaan akhir tahun.

Sekitar 60.9 peratus daripada jumlah jualan semula bagi bulan itu datang daripada estet bukan matang, dengan baki 39.1 peratus daripada estet matang.

Mengikut jenis bilik, 42.7 peratus jumlah jualan Oktober adalah daripada flat empat bilik, diikuti oleh flat tiga bilik (27.1 peratus), lima bilik (23.5 peratus) dan flat eksekutif (6.6 peratus).

Harga transaksi tertinggi bagi flat jualan semula pada Oktober ialah $1.54 juta untuk flat lima bilik di Pinnacle@Duxton, di Cantonment Road. 

Di estet bukan matang, sebuah flat eksekutif seluas 1,900 kaki persegi di Woodlands Street 82 dijual dengan harga $1.16 juta.

Sebanyak 103 flat dijual dengan harga satu juta dolar atau lebih pada Oktober, mewakili 4.8 peratus daripada jumlah keseluruhan transaksi jualan semula bulan itu. 

Encik Mark Yip, ketua pegawai eksekutif Huttons Asia, berkata bilangan flat berjuta-juta dolar mungkin telah stabil pada Oktober.

Huttons Asia menjangkakan jumlah jualan semula flat HDB antara 29,000 dengan 30,000 untuk 2024.

Harga flat jualan semula diramal meningkat antara 8 dengan 10 peratus pada 2024, kata agensi itu.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg