Harga jualan semula kondominium naik sebanyak 1.5 peratus pada April, selepas menunjukkan trend mendatar sejak enam bulan lalu.
Kenaikan harga itu dicatat sedang jumlah jualan semula kondominium mencapai paras tertinggi dalam tempoh 13 bulan.
Data awal daripada portal hartanah SRX dan 99.co yang dikeluarkan pada 27 Mei menunjukkan sebanyak 1,122 unit kondominium bertukar tangan pada April, naik daripada 911 unit yang dijual semula pada Mac.
Jumlah urus niaga kondominium meningkat 25.8 peratus berbanding April 2023, dan 17.6 peratus lebih tinggi berbanding jumlah purata sepanjang lima tahun bagi April, lapor The Business Times (BT).
Penganalisis hartanah daripada agensi hartanah Huttons, PropNex dan Singapore Realtors Inc (SRI) menarik perhatian terhadap bilangan pembeli asing yang meningkat pada April.
Ini menyebabkan transaksi jualan semula kondominium di Kawasan Tengah Utama (CCR) atau daerah utama, meningkat 23.3 peratus pada April berbanding Mac.
Urus niaga jualan semula kondominium di CCR membentuk 22.8 peratus daripada jumlah keseluruhan kondominium yang dijual beli.
Bagaimanapun, jumlah tersebut lebih rendah daripada jumlah kondominium yang dijual semula di Luar Kawasan Tengah (OCR), atau subbandar yang membentuk 45.4 peratus, dan di Baki Kawasan Tengah (RCR) atau pinggir bandar, yang membentuk 31.8 peratus daripada jumlah jualan keseluruhan.
Pegawai Eksekutif Utama (KEO) ERA Singapore, Encik Eugene Lim, berkata pemaju telah mengiklankan penjualan bagi pelbagai unit kondominium di The Residences at W Singapore Sentosa Cove, dan Cuscaden Reserve, yang menarik pembeli yang inginkan rumah jualan semula pada harga lebih rendah daripada nilai pasaran.
Contohnya, beberapa unit The Residences at W Singapore Sentosa Cove dijual pada harga $1,789 setiap kaki persegi secara purata, iaitu hampir 40 peratus lebih rendah daripada harga pelancaran kondominium tersebut.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Huttons Asia, Encik Mark Yip, berkata ramai individu mewah mungkin berpindah ke Singapura disebabkan persekitaran mesra perniagaan dan taraf kehidupan amat baik di sini.
Landskap politik yang mantap mungkin menjadi faktor utama yang membuat golongan kaya tersebut memilih Singapura sebagai tempat tinggal yang selamat.
Sambil memberi data kaveat, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) PropNex, Encik Ismail Gafoor, bagaimanapun berkata bahawa dalam empat bulan pertama 2024, sebanyak 47 kaveat dibuat oleh warga asing bagi transaksi jualan semula kondominium, turun daripada 166 kaveat dalam tempoh yang sama pada 2023.
Daripada 47 kaveat itu, 31 dibuat oleh pembeli dari Amerika Syarikat.
Kaveat, satu dokumen yang diserahkan kepada Penguasa Tanah Singapura (SLA), mengesahkan sesuatu hartanah bagi si pembeli.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg