Ekonomi
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Harga rumah privet naik 1% pada suku kedua, sewa naik 0.8%

Jul 25, 2025 | 2:36 PM
Harga rumah privet naik sebanyak 1 peratus pada suku kedua 2025, hampir sama dengan peningkatan harga sebanyak 0.8 peratus pada suku pertama 2025.
Harga rumah privet naik sebanyak 1 peratus pada suku kedua 2025, hampir sama dengan peningkatan harga sebanyak 0.8 peratus pada suku pertama 2025. - Foto ST

Harga rumah privet Singapura meningkat 1 peratus pada suku kedua 2025, menurut data terkini pemerintah yang dikeluarkan pada 25 Julai.

Kenaikan kadar tersebut lebih tinggi berbanding anggaran kenaikan 0.5 peratus yang diumumkan pada awal Julai.

Peningkatan 1 peratus itu hampir sama dengan kenaikan harga rumah privet sebanyak 0.8 peratus yang dicatat pada suku pertama 2025.

Namun, ia lebih rendah daripada kenaikan 2.3 peratus pada suku keempat 2024, menurut Penguasa Pembangunan Semula Bandar (URA).

Harga hartanah berhalaman meningkat pada kadar lebih pantas pada suku kedua 2025 – naik 2.2 peratus berbanding kenaikan 0.4 peratus pada suku pertama 2025.

Dalam pada itu, harga hartanah tidak berhalaman naik 0.7 peratus pada suku kedua, turun sedikit daripada kenaikan 1 peratus pada suku pertama, lapor The Business Times (BT).

Mengikut kawasan, harga rumah privet di Kawasan Tengah Utama (Core Central Region, CCR) mencatat peningkatan terbesar sebanyak 3 peratus.

Ini diikuti hartanah kediaman di kawasan pinggir bandar, atau Luar Kawasan Tengah (OCR), yang mencatat kenaikan harga 1.1 peratus.

Bagaimanapun, harga hartanah di Baki Kawasan Tengah (RCR) susut 1.1 peratus, berbanding kenaikan 1.7 peratus pada suku pertama.

Pemaju hartanah melancarkan sebanyak 1,520 unit rumah privet baru – tidak termasuk kondominium eksekutif (EC) – untuk dijual pada suku kedua, iaitu kurang separuh daripada 3,139 unit rumah yang dilancarkan pada suku pertama.

Akibatnya, jumlah jualan merosot kepada 1,212 unit pada suku kedua, berbanding 3,375 unit yang dijual pada suku pertama.

Walaupun tiada projek EC baru dilancarkan, pemaju berjaya menjual 149 unit EC yang telah dilancarkan lebih awal, pada suku kedua.

Sebagai perbandingan, pemaju hartanah melancarkan 760 unit EC untuk dijual, dan berjaya menjual 830 unit EC pada suku sebelumnya.

Disebabkan jumlah pelancaran baru yang berkurangan, lebih ramai pembeli rumah beralih kepada pasaran jualan semula pada suku kedua, dengan 3,647 urus niaga jualan semula dicatat – naik daripada 3,565 unit yang bertukar tangan pada suku pertama.

Urus niaga tersebut membentuk 71.1 peratus daripada keseluruhan transaksi jual-beli hartanah pada suku kedua, melonjak daripada 49.1 peratus pada suku pertama.

Bagi pasaran sewa hartanah privet, indeks keseluruhan URA meningkat 0.8 peratus pada suku kedua.

Kadar kekosongan, iaitu peratusan unit hartanah yang ditawarkan untuk disewa tetapi masih belum ada penyewa, pula meningkat kepada 7.1 peratus pada akhir suku kedua, berbanding 6.5 peratus pada suku pertama.

Kenaikan sedikit dalam indeks sewa itu berikutan penyiapan 980 unit perumahan privet pada suku pertama, di mana 639 merupakan EC.

Ini menjadikan bilangan unit yang disiapkan pada separuh pertama 2025 kepada sekitar 3,000.

Dalam baki setengah tahun 2025, 3,236 rumah privet, termasuk EC, dijangka siap, berdasarkan tarikh jangkaan penyiapan yang dilaporkan oleh pemaju.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg