Hartawan Singapura menyaksikan gabungan nilai harta mereka meningkat lebih 23 peratus kepada AS$239 bilion ($308 bilion) pada 2025, berbanding AS$195 bilion pada 2024.
Senarai Forbes 2025 bagi 50 individu terkaya Singapura menyatakan bahawa peningkatan kekayaan tersebut disebabkan pertumbuhan ekonomi Singapura yang lebih baik daripada jangkaan, iaitu 4.3 peratus pada separuh pertama 2025.
Ia menyusuli tindakan banyak syarikat yang telah membuat pesanan awal bagi barangan eksport untuk mengelak kesan kenaikan kos niaga akibat tarif baru yang dijangka dikenakan.
Pengasas bersama Meta Platform yang dahulunya Facebook, Encik Eduardo Saverin, merupakan individu yang mencatat peningkatan kekayaan tertinggi pada 2025, mengekalkan kedudukan teratas selama tiga tahun berturut-turut dengan nilai harta bersih sebanyak AS$43 bilion.
Kekayaan penduduk tetap Singapura itu meningkat sebanyak AS$14 bilion berbanding 2024, didorong oleh bertambahnya bilangan iklan berasaskan kecerdasan buatan (AI) yang mendorong saham Meta melonjak.
Hartawan hartanah, Encik Kwek Leng Beng, dan keluarganya, naik dua anak tangga ke tempat kedua, dengan harta keluarga meningkat 24 peratus kepada AS$14.3 bilion berdasarkan maklumat terkini mengenai pegangan keluarga tersebut.
Adik beradik, Encik Robert Ng dan Encik Philip Ng, daripada agensi hartanah, Far East Organization, yang menduduki tempat kedua pada 2024, jatuh ke tempat ketiga dengan kekayaan gabungan mereka turun kepada AS$14.1 bilion berbanding AS$14.4 bilion.
Antara lain, penurunan tersebut disebabkan pasaran hartanah yang lebih lembab di Hong Kong, lapor The Straits Times (ST).
Keluarga Goh – pewaris hartawan syarikat cat Nippon Paint Holdings, Encik Goh Cheng Liang, yang meninggal pada Ogos pada usia 98 tahun – muncul buat kali pertama di tempat keempat dengan harta bernilai AS$13.1 bilion.
Saham syarikat tersebut, yang dipengerusikan oleh anaknya, Encik Goh Hup Jin, melonjak hampir 30 peratus berbanding 2024, selepas syarikat itu membeli pengeluar bahan kimia khusus, AOC, di Amerika Syarikat pada 2024.
Menduduki tempat kelima ialah pengerusi syarikat peranti perubatan, Shenzhen Mindray Bio-Medical Electronics, Encik Li Xiting, dengan harta bersih yang turun sedikit kepada AS$13 bilion daripada AS$13.4 bilion pada 2024.
Tiga individu, yang kekayaan mereka terikat dengan syarikat Internet, Sea, yang disenaraikan di New York, memiliki harta yang meningkat secara ketara, apabila syarikat yang diasaskan bersama itu mencatat pendapatan suku kedua yang meningkat 418 peratus kepada AS$414.2 juta, naik daripada AS$79.9 juta bagi tempoh sama pada 2024.
Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Sea, Encik Forrest Li, naik enam anak tangga ke tempat keenam dengan nilai harta AS$11.2 bilion.
Ketua Pegawai Operasi (COO) syarikat itu, Encik Gang Ye, naik ke tempat ke-13 dengan nilai harta AS$6 bilion, manakala ketua pegawai produk bagi wadah e-dagang, Shopee, Encik David Chen, meningkat 22 anak tangga ke kedudukan ke-28 dengan nilai harta AS$2 bilion.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg