Ekonomi
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

HelloRide dibenar tambah basikal jadi 20,000 unit mulai 1 Jul

LTA: Antara pertimbangan luluskan lesen termasuk rancangan syarikat tangani masalah letak basikal sembarangan, didik pengguna
Jul 1, 2025 | 4:00 PM
HelloRide, berbasikal, LTA
Peningkatan dalam jumlah basikal kongsi akan membantu HelloRide kekal berdaya saing. Usaha tersebut juga seiring dengan rancangan pemerintah menggalak lebih ramai rakyat Singapura berjalan kaki, berbasikal dan menggunakan pengangkutan awam. - Foto ST

Syarikat pengendali khidmat kongsi basikal dari China, HelloRide, telah diberi kebenaran menambah jumlah basikalnya di Singapura kepada 20,000 unit – naik daripada 15,000 – bermula 1 Julai.

Syarikat tersebut turut merancang memperkenalkan basikal baru dengan ciri tambahan seperti pemegang telefon, serta pedal dan tempat duduk lebih baik.

Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) telah meluluskan permohonan syarikat itu untuk memperbaharui lesennya bagi mengendalikan sehingga 20,000 basikal bagi tempoh setahun sehingga 30 Jun 2026, kata jurucakap LTA pada 1 Julai.

LTA menyatakan bahawa antara pertimbangan bagi meluluskan lesen baru HelloRide termasuk rancangan syarikat itu untuk menangani masalah meletak basikal sembarangan, dan rekod prestasinya dalam berbuat demikian.

Ia turut mengambil kira usaha syarikat itu dalam mendidik pengguna mengenai amalan meletak basikal di tempat yang betul, lapor The Straits Times (ST).

Di samping itu, LTA turut mengambil kira jumlah basikal kongsi di Singapura, permintaan bagi khidmat kongsi basikal, dan ketersediaan tempat letak basikal dalam menilai permohonan untuk menambah jumlah basikal tersebut, tambahnya.

“Kami akan terus meneliti bekalan dan permintaan bagi basikal yang disediakan, sambil memastikan semua pengendali terus mengurus sebarang masalah yang timbul (daripada penggunaan basikal kongsi),” kata jurucakap LTA.

Pengurus besar HelloRide, Encik Hayden Choo, berkata peningkatan dalam jumlah basikal kongsi akan membantu HelloRide kekal berdaya saing.

Usaha tersebut juga seiring dengan rancangan pemerintah untuk menggalak lebih ramai rakyat Singapura berjalan kaki, berbasikal dan menggunakan pengangkutan awam, katanya.

Ia juga bertepatan dengan pembukaan lebih banyak laluan basikal di sini, tambah beliau.

“Berjalan kaki, berbasikal dan menaiki pengangkutan awam” adalah visi pemerintah bagi pengangkutan mampan di sini, yang menggalak ketiga-tiga kaedah perjalanan tersebut.

Jumlah basikal yang bertambah akan membolehkan HelloRide memberi perkhidmatan kepada lebih ramai pengguna pada waktu sibuk, mengurangkan masa menunggu dan meningkatkan ketersediaan basikal di kawasan yang mempunyai permintaan tinggi, kata HelloRide.

Basikal baru akan disediakan secara berperingkat di pusat bandar utama dan hab pengangkutan awam, tambahnya.

“Sedang kami menambah jumlah basikal, kami tetap memberi tumpuan kepada amalan menunggang secara selamat dan meletakkan basikal di tempat yang betul, serta operasi yang cemerlang,” tambah HelloRide.

Rancangan menambah jumlah basikal itu diambil selepas HelloRide meningkatkan jumlah basikal sewanya kepada 10,000 pada Julai 2023.

Ini berbanding hanya 1,000 basikal yang diuruskan syarikat itu semasa ia mula beroperasi di Singapura pada 2022.

Ia kemudian menambah 5,000 lagi basikal pada Oktober 2024.

HelloRide juga beroperasi di Australia, New Zealand dan baru-baru ini di Hong Kong.

Model baru basikal HelloRide, yang dikenali sebagai OA70, telah diuji di China.

Setiap basikal baru akan mempunyai pemegang telefon di bahagian depan, dan tempat duduk yang mudah dilaras mengikut ketinggian penunggang.

“Inilah dua ciri yang paling banyak diminta oleh pengguna.

“Kami percaya ia akan menjadi faktor pembeza utama berbanding Anywheel,” kata Encik Choo.

Anywheel, syarikat sewa basikal tempatan, merupakan satu lagi pengendali khidmat perkongsian basikal di Singapura.

Encik Choo turut memaklumkan bahawa HelloRide kini dalam proses menggantikan basikal sedia ada dengan basikal model baru tersebut.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg