Topik diikuti
Pergi ke BHkuHSBC perkasa operasi global dengan AI Google Cloud
HSBC perkasa operasi global dengan AI Google Cloud
HSBC perkasa operasi global dengan AI Google Cloud
LONDON: HSBC Holdings mengumumkan kerjasama strategik dengan Google Cloud pada 17 Jun untuk melancarkan kecerdasan buatan (AI) merentasi operasi global mereka.
Bank itu menjangkakan setiap projek AI yang dilaksanakan akan menjana nilai lebih AS$100 juta ($128 juta), sama ada melalui peningkatan hasil pendapatan atau kecekapan kos.
Perkongsian jangka panjang itu bakal merealisasikan lebih daripada 200 kes penggunaan AI baharu di seluruh HSBC dalam tempoh dua tahun akan datang.
HSBC adalah antara bank global pertama yang merangka bagaimana ia merancang untuk menggunakan AI bagi menjana pendapatan dan meningkatkan kecekapan.
Pihak bank itu akan memanfaatkan kepakaran kejuruteraan Google Cloud dan Google DeepMind untuk membina alat dan program AI baru, menggunakan keupayaan AI berejen terbaru Google, termasuk model Gemini serta Platform Ejen Perusahaan Gemini yang terkini.
Langkah ini menyusuli laporan pada Mac bahawa bank tersebut mempertimbangkan pengurangan kira-kira 20,000 peranan, atau kira-kira 10 peratus tenaga kerjanya, sebagai kesan daripada automasi AI.
Walau bagaimanapun, Ketua Eksekutif, Encik Georges Elhedery, menegaskan bahawa tenaga kerja manusia akan terus menjadi teras utama operasi bank itu meskipun penggunaan teknologi AI semakin meluas.
Kenyataan ini muncul di tengah-tengah kebimbangan industri global, di mana Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) JPMorgan Chase & Co, Encik Jamie Dimon, secara terbuka berkata bahawa teknologi itu “akan menghapuskan pekerjaan”.
Cik Jane Fraser, CEO Citigroup, pula berpendapat beberapa peranan “tidak lagi diperlukan”, manakala presiden Goldman Sachs Group, Encik John Waldron, pula menyifatkan pekerja sebagai “barisan pemasangan manusia” yang sedia untuk diautomasikan. – Agensi berita.
