HONG KONG: Standard Chartered mengumumkan rancangan mahu membuang lebih 15 peratus kakitangan sokongannya menjelang 2030, atau kira-kira 7,800 jawatan.

Langkah itu dilakukan melalui peningkatan penggunaan kecerdasan buatan (AI) bagi memperkemas operasi.

Bank yang berpusat di Asia itu menggajikan sekitar 52,000 orang dalam peranan sedemikian pada akhir 2025, dengan operasi merentasi Singapura, Hong Kong, China, India dan Poland.

“Ini bukan pemotongan kos, ini adalah menggantikan, dalam sebahagian kes, modal insan bernilai rendah, dengan modal kewangan dan modal pelaburan yang sedang kami laburkan,” jelas Ketua Pegawai Eksekutif Standard Chartered, Encik Bill Winters, dalam satu taklimat di Hong Kong pada 19 Mei.

Beliau menambah, kakitangan yang terjejas akan menerima “notis yang baik dan jelas” terlebih dahulu.

“Kami tidak kehilangan pekerjaan, tetapi kami mengurangkan peranan pekerjaan yang digantikan oleh mesin, dan ini akan semakin pesat apabila kami melangkah lebih jauh ke dalam AI,” jelasnya.

Menjawab pertanyaan media, jurucakap Standard Chartered berkata bank itu kekal komited menyokong pertumbuhan perniagaan di Singapura dan Asean.

“Kami akan terus mengambil lebih ramai pengurus hubungan, mempercepatkan inovasi produk, meningkatkan pengalaman digital dan pelanggan kami, serta menaik taraf dan melancarkan pusat pelanggan baru,” jelas jurucakap Standard Chartered menjawab soalan, The Straits Times.

Jurucakap itu enggan mendedahkan sama ada pemotongan jawatan akan menjejas kakitangan di Singapura.

Dengan langkah itu, Standard Chartered menyertai sebilangan bank sejagat yang menggunakan AI untuk mengurangkan bilangan pekerja.

HSBC Holdings sedang menimbangkan pemotongan jawatan secara besar-besaran dalam beberapa tahun akan datang, manakala firma Wall Street turut membuat peralihan serupa.

Presiden yang juga Ketua Pegawai Operasi, Goldman Sachs Group, Encik John Waldron, baru-baru ini pula mengakui cara kerja tradisional syarikatnya masih terlalu bergantung kepada manusia dan sudah tiba masanya untuk diautomasi.

Saham Standard Chartered naik 2.4 peratus dalam dagangan pagi di Hong Kong.

Menurut bank itu, pemotongan jawatan itu dijangka mendorong peningkatan daya penghasilan bagi menambah pendapatan setiap pekerja kira-kira 20 peratus menjelang 2028.

Berdasarkan laman webnya, peranan fungsi korporat adalah peranan sokongan dan merangkumi jawatan seperti pengurusan risiko dan pematuhan peraturan.

Dengan langkah terkini itu, Standard Chartered berusaha memulihkan keadaan dalam tempoh jangka panjang, dalam usaha mencapai pertumbuhan lebih kukuh, walaupun ketidaktentuan geopolitik menghantui prospek bagi sebahagian pasaran utamanya.

Bank itu menyokong sasaran kewangan baru dengan mengekalkan tumpuan kepada perniagaan bermargin tinggi, termasuk pelanggan runcit berpendapatan tinggi dan institusi kewangan dalam bahagian perbankan korporat dan pelaburannya.