Ekonomi
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Huraian tangani perubahan iklim tawar peluang pelaburan $11.7 trilion jelang 2050

Laporan GIC dapati nilai pelaburan kekal stabil meski suhu global naik pada kadar berbeza
May 2, 2025 | 4:38 PM
iklim, pelaburan, gic
Organisasi pelbagai negara, termasuk Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan kumpulan kemanusiaan telah menyeru lebih banyak sektor menyertai perancangan penyesuaian bagi menyelamatkan nyawa dan pekerjaan. - Foto ZAOBAO

Kesan perubahan iklim yang semakin ketara dijangka meningkatkan permintaan terhadap strategi penyesuaian seperti sistem perlindungan banjir dan penyejukan, yang menjelang 2050 boleh menjadi peluang pelaburan besar bernilai AS$9 trilion ($11.7 trilion).

Ini merupakan satu peningkatan daripada peluang pelaburan semasa bagi sektor ini, yang dianggar bernilai AS$2 trilion, menurut laporan yang diterbitkan oleh dana pelaburan milik Singapura, GIC, pada 2 Mei.

Laporan itu turut mendapati nilai pelaburan dalam sektor ini kekal stabil meskipun suhu global meningkat pada kadar yang berbeza-beza.

Dalam menangani perubahan iklim, negara sering memberi penekanan kepada usaha mengurangkan pelepasan karbon, namun dengan peningkatan kesan perubahan iklim secara global, usaha penyesuaian turut menerima perhatian.

Permintaan terhadap strategi penyesuaian lazimnya meningkat selepas berlaku bencana berkaitan iklim, lapor The Straits Times (ST).

Sebagai contoh, selepas Pakistan dilanda banjir besar pada 2022, pemerintahnya terdorong untuk membina rumah tahan iklim bagi mangsa banjir.

Namun, laporan yang turut melibatkan penyelidikan daripada firma perunding pengurusan global, Bain & Company, berkata jika negara memberi lebih perhatian kepada risiko fizikal perubahan iklim dan mula bertindak lebih awal, pertumbuhan hasil dan peluang pelaburan dalam sektor ini boleh meningkat sebelum 2050.

Risiko fizikal perubahan iklim merujuk kepada kesan langsung seperti kenaikan paras laut atau kejadian cuaca ekstrem yang boleh menjejas kehidupan dan prasarana.

Laporan itu turut memberi pandangan tentang peranan sektor swasta dalam membiayai pembangunan huraian tangan perubahan iklim.

Pelaburan dalam penyesuaian iklim – iaitu huraian melindungi orang ramai daripada kesan perubahan iklim, seperti membina tembok laut untuk menghalang kenaikan paras air – sering dianggap sebagai tanggungjawab pemerintah.

Namun, laporan itu menyatakan: “Kami percaya syarikat yang menawarkan penyelesaian ini memberi peluang pelaburan yang menjanjikan, membolehkan pelabur menyumbang kepada pembinaan ketahanan ekonomi dan masyarakat.”

Laporan itu mengenal pasti syarikat yang menawarkan ramalan cuaca menggunakan kecerdasan buatan (AI), serta syarikat yang mengeluarkan bahan tahan angin dan banjir, sebagai mempunyai potensi pertumbuhan, terutamanya dengan peningkatan kesan perubahan iklim global.

Organisasi pelbagai negara, termasuk Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan kumpulan kemanusiaan telah menyeru lebih banyak sektor menyertai perancangan penyesuaian bagi menyelamatkan nyawa dan pekerjaan.

Menurut Pertubuhan Meteorologi Sedunia (WMO), cuaca ekstrem serta kejadian berkaitan iklim dan air telah menyebabkan hampir 12,000 bencana dari 1970 hingga 2021, dengan kerugian ekonomi dianggarkan mencecah AS$4.3 trilion dan masih terus meningkat.

Untuk menangani krisis tersebut, pelabur boleh memainkan peranan penting dalam membina daya tahan ekonomi dan masyarakat, jelas laporan GIC dan Bain itu.

Laporan itu mendapati bahawa penyesuaian iklim menawarkan potensi pelaburan yang stabil merentas pelbagai senario pemanasan global. 

Pelbagai kajian turut menunjukkan usaha penyesuaian “tanpa perlu meramalkan secara tepat senario iklim yang bakal berlaku” boleh mengurangkan risiko iklim dengan ketara.

Apabila ditanya bagaimana pelabur boleh mula merebut peluang ini, GIC berkata pelabur perlu memantau beberapa perkara penting – termasuk dasar yang sedang digubal, keberkesanan serta kemampuan huraian menangani perubahan iklim untuk dikembangkan. 

Ini bagi memastikan pelaburan disalurkan ke arah peluang yang berdaya maju dalam jangka panjang, sambil mengambil kira sejauh mana dan secepat mana kesan fizikal perubahan iklim boleh berlaku.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg