Masyarakat
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

S’pura meterai perjanjian dagangan karbon dengan Peru

Apr 1, 2025 | 5:40 PM
Di bawah Perjanjian Paris, sesebuah negara boleh membeli kredit karbon yang dijana dalam bidang kuasa lain bagi memenuhi sasaran iklim domestik.
Di bawah Perjanjian Paris, sesebuah negara boleh membeli kredit karbon yang dijana dalam bidang kuasa lain bagi memenuhi sasaran iklim domestik. - Foto ST

Singapura telah memuktamadkan satu perjanjian perdagangan karbon dengan Peru pada 1 April, membolehkan negara ini memperolehi kredit karbon dari negara yang kaya dengan biodiversiti itu.

Ini merupakan perjanjian keempat seumpamanya yang dimeterai Singapura dan perjanjian pertama dibuat bersama sebuah negara di Amerika Latin.

Sebelum ini, Singapura telah memeterai perjanjian serupa dengan Bhutan, Ghana dan Papua New Guinea.

Di bawah Perjanjian Paris, sesebuah negara boleh membeli kredit karbon yang dijana dalam bidang kuasa lain bagi memenuhi sasaran iklim domestik.

Satu kredit karbon melambangkan satu tan karbon dioksida yang disingkirkan dari atmosfera, seperti melalui projek pemulihan ekosistem, atau dihalang daripada dilepaskan dengan memelihara kawasan hutan daripada gejala pembalakan.

Menurut laporan The Straits Times (ST), sesebuah negara atau syarikat boleh menjadi pembeli kredit karbon.

Singapura telah menjelaskan hasratnya untuk menggunakan kredit karbon bagi mencapai sasaran perubahan iklim, walaupun sebarang pembelian kredit belum dilakukan setakat ini.

Kredit karbon yang digunakan untuk mengimbangi pelepasan karbon negara hanya boleh dibeli dari negara yang mempunyai perjanjian dua hala dengan Singapura.

Pada masa yang sama, syarikat yang tertakluk kepada cukai karbon di Singapura boleh membeli kredit karbon daripada projek di negara rakan kerjasama bagi mengimbangi sehingga 5 peratus daripada cukai yang dikenakan.

Perjanjian antara Singapura dengan Peru itu ditandatangani secara maya oleh Menteri Kemampanan dan Sekitaran, Cik Grace Fu, dan Menteri Sekitaran Peru, Encik Juan Carlos Castro Vargas.

Dalam satu kenyataan, Encik Castro menekankan Peru merupakan antara negara paling kaya dengan biodiversiti di dunia, dengan hutan Amazon dan Andean yang luas memainkan peranan penting dalam memantapkan iklim sejagat.

“Perjanjian pelaksanaan antara Peru dengan Singapura menegaskan iltizam dalam memupuk pasaran karbon dengan daya keutuhan tinggi sebagai alat mencapai sasaran iklim tinggi, melindungi sumber semula jadi, serta menyokong masyarakat setempat,” katanya.

Kementerian Perdagangan dan Perusahaan (MTI), dalam satu kenyataan pada 1 April, berkata di bawah perjanjian itu, projek karbon di Peru akan mendorong pembangunan kelestarian serta membawa manfaat nyata kepada masyarakat tempatan, termasuk mewujudkan peluang pekerjaan, meningkatkan akses kepada air bersih dan keselamatan tenaga, serta mengurangkan pencemaran alam sekitar.

Secara sukarela, Singapura bersetuju menyumbang 5 peratus daripada hasil kredit karbon yang dibeli bagi membantu membiayai Peru dalam usaha mengurangkan kesan perubahan iklim.

Dalam perjanjian dengan Bhutan, misalnya, sumbangan 5 peratus itu digunakan untuk langkah pengurusan haba dan pertanian yang berdaya bingkas pada iklim.

Cik Fu, yang juga Menteri Bertanggungjawab bagi Hubungan Perdagangan, berkata:

“Singapura dan Peru merupakan rakan kerjasama erat yang telah mengusahakan pelbagai inisiatif dua hala dan pelbagai hala.

“Perjanjian pelaksanaan ini akan terus mengukuhkan kerjasama antara kedua-dua negara serta menyokong usaha melanjutkan tindakan iklim, sambil membuka peluang baru dalam pasaran karbon.”

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg