Ekonomi
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Hutang isi rumah S’pura naik, pertumbuhan aset lebih kukuh

May 28, 2025 | 7:11 PM
Aset isi rumah meningkat 7.8 peratus tahun ke tahun, mencapai jumlah $3.49 trilion.
Aset isi rumah meningkat 7.8 peratus tahun ke tahun, mencapai jumlah $3.49 trilion. - Foto ST

Beban hutang isi rumah Singapura terus meningkat sejak suku keempat 2023, dengan jumlah hutang naik selama enam suku berturut-turut. 

Pada suku pertama 2025, jumlah hutang meningkat 5.2 peratus kepada $384.1 bilion, berbanding tempoh sama pada 2024.

Demikian menurut data Jabatan Perangkaan (SingStat) pada 26 Mei.

Profesor Kewangan dan Hartanah, Sekolah Perniagaan Universiti Nasional Singapura (NUS), Profesor Qian Wenlan, berkata keadaan hutang itu perlu dipantau dengan teliti.

Langkah keluarga mengambil pinjaman untuk membeli rumah atau barangan keperluan besar adalah munasabah supaya wang mereka dapat digunakan untuk perbelanjaan harian, kata Profesor Qian.

Namun, beliau sedang memantau tanda-tanda yang menunjukkan isi rumah menghadapi kesukaran membayar balik pinjaman mereka, seperti peningkatan hutang, kadar tunggakan atau kemuflisan.

Setakat ini, peningkatan beban hutang isi rumah masih belum melebihi pertumbuhan aset, lapor The Straits Times (ST).

Pada suku terkini, aset isi rumah meningkat 7.8 peratus tahun ke tahun, mencapai jumlah $3.49 trilion.

Pakar ekonomi bersekutu di Moody’s Analytics, Encik Eugene Tan, berkata nisbah hutang kepada aset isi rumah turun kepada 11 peratus pada suku pertama 2025, berbanding 11.1 peratus pada suku sebelumnya.

Nisbah itu, yang menunjukkan trend menurun sejak sedekad lalu, merujuk kepada jumlah aset isi rumah yang dibiayai melalui hutang.

Semakin rendah nisbah ini, semakin kurang kebergantungan isi rumah terhadap hutang, untuk memiliki aset.

Satu lagi komponen penting dalam penyata kewangan isi rumah, iaitu jumlah aset cair – seperti tunai dan deposit – kekal jauh melebihi hutang keseluruhan pada suku pertama 2025, kata Pakar Ekonomi Kanan DBS Bank, Encik Chua Han Teng.

Aset cair isi rumah meningkat 7.5 peratus kepada $670.1 bilion berbanding tempoh yang sama pada 2024, lebih tinggi daripada kadar kenaikan hutang sebanyak 5.2 peratus. 

Ini menunjukkan isi rumah masih mempunyai wang tunai dan deposit mencukupi untuk memenuhi komitmen kewangan mereka.

Dengan jumlah aset isi rumah melebihi hutang, nilai bersih isi rumah Singapura kekal positif, meningkat 8.1 peratus kepada $3.1 trilion pada suku pertama 2025 berbanding tempoh yang sama pada 2024.

Namun, kadar pertumbuhan itu sedikit perlahan berbanding pertumbuhan 8.5 peratus yang dicatat pada suku sebelumnya.

Pendapatan boleh guna peribadi – yang menjadi petanda tahap kesejahteraan kewangan individu – turut meningkat 5.2 peratus kepada $93.3 bilion dalam suku pertama 2025, berdasar satu kenyataan berasingan yang dikeluarkan SingStat pada 26 Mei.

Apabila pendapatan boleh guna meningkat, ini bermakna individu mempunyai lebih banyak wang untuk dibelanjakan selepas menolak cukai dan caruman wajib.

Melangkah ke depan, isi rumah di Singapura dijangka mendapat sedikit kelegaan apabila kadar faedah mula berkurang.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg