Sebuah program baru – Sokongan Pekerjaan Pemilik Rumah (HJS) – akan dilancarkan pada April bagi membantu pemilik flat Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) tidak bekerja mendapatkan pekerjaan dan mengurangkan pinjaman perumahan semasa mencari kerja.
Ia, yang akan dimulakan secara perintis, dijangka memberi manfaat kepada sekitar 1,200 pemilik rumah yang kini tertunggak dalam bayaran pinjaman HDB, kata Menteri Negara (Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Negara), Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim.
Pemilik rumah layak akan bekerjasama rapat dengan jurulatih kerjaya khas daripada Careers Connect, Agensi Tenaga Kerja Singapura (WSG) atau Institut Pekerjaan dan Daya Kerja (e2i) Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC) untuk membangunkan pelan tindakan peribadi bagi mendapatkan pekerjaan sepenuh masa.
Sepanjang usaha mereka mencari pekerjaan, HDB akan menawarkan bantuan kewangan melalui langkah bantuan kewangan (FAM) untuk membantu menyelesaikan tunggakan pinjaman perumahan, termasuk pengurangan atau penangguhan bayaran bulanan, serta penggantungan sementara faedah pinjaman hingga satu tahun.
Dalam satu catatan Facebook pada 15 April, Dr Faishal berkata: “Membeli rumah adalah satu komitmen kewangan besar.
“Kami faham ada keluarga mungkin menghadapi kesukaran, lebih-lebih lagi dalam situasi sukar seperti kehilangan pendapatan atau perbelanjaan perubatan tidak dijangka.”
Sekitar 1,200 isi rumah yang kini tertunggak dalam pinjaman perumahan HDB berpotensi mendapat manfaat daripada HJS, tambah beliau.
Maklum balas daripada peserta akan dikumpul semasa penilaian program perintis itu, sebelum pertimbangan dilakukan untuk melanjutkan atau memperluaskannya.
“Kami tetap komited dalam menyokong rakyat Singapura dalam perjalanan pemilikan rumah mereka. Bersama-sama, kita akan terus memastikan perumahan awam kekal selamat dan stabil untuk penduduk,” ujar Dr Faishal.
Menteri Pembangunan Negara (MND), Encik Desmond Lee, dalam satu catatan Facebooknya pada 15 April menyifatkan program HJS sebagai “langkah seterusnya” dalam membantu pemilik rumah yang tertunggak dalam bayaran pinjaman.
Ini di samping kaunseling kewangan secara individu dan pelbagai bentuk bantuan kewangan sedia ada yang ditawarkan HDB, seperti pengurangan atau penangguhan bayaran ansuran selama enam bulan serta bayaran tunggakan secara ansuran hingga keadaan kewangan mereka bertambah baik.
Pemilik rumah yang menyertai program HJS akan dibenarkan mengurangkan atau menangguhkan bayaran ansuran bulanan mereka selama setahun, berbanding tempoh semasa, iaitu enam bulan, yang boleh dilanjutkan enam bulan lagi jika perlu.
Selain itu, faedah pinjaman akan digantung dalam tempoh itu.
“Langkah-langkah ini tertakluk pada syarat bahawa pemilik rumah bekerjasama secara aktif dengan jurulatih kerjaya mereka dalam melaksanakan pelan tindakan yang disesuaikan bagi mendapatkan pekerjaan tetap sepenuh masa,” kata Encik Lee.
“
“Kami faham ada keluarga mungkin menghadapi kesukaran, lebih-lebih lagi dalam situasi sukar seperti kehilangan pendapatan atau perbelanjaan perubatan tidak dijangka. Kami tetap komited dalam menyokong rakyat Singapura dalam perjalanan pemilikan rumah mereka. Bersama-sama, kita akan terus memastikan perumahan awam kekal selamat dan stabil untuk penduduk.”

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg