Jumlah hutang kad kredit yang tidak dibayar selepas tarikh tamat tempoh mencatat rekod tertinggi pada akhir 2024, namun tahap hutang masih belum membimbangkan.
Baki tertunggak, atau rollover balances – merujuk kepada jumlah hutang tertunggak pada kad kredit – mencecah $8.3 bilion pada suku terakhir 2024, meningkat 4.9 peratus berbanding $7.9 bilion pada suku ketiga.
Ia merupakan jumlah tertinggi yang pernah dicatatkan berdasarkan data yang dikeluarkan sejak 2014, dan juga melebihi $7.3 bilion yang dicatatkan dalam tiga bulan terakhir 2023, lapor The Straits Times (ST).
Namun, kadar delinkuen – iaitu peratusan peminjam yang mempunyai pembayaran tertunggak selama 30 hari atau lebih – kekal stabil, menurut data daripada Penguasa Kewangan Singapura (MAS) dan Biro Kredit Singapura (CBS).
Pensyarah kanan kewangan, Profesor Ruan Tianyue, dari Sekolah Perniagaan Universiti Nasional Singapura (NUS), berkata keadaan itu “masih terkawal” kerana baki purata hutang tertunggak kekal “lebih kurang sama”.
Laporan terkini CBS menunjukkan bahawa purata baki kad kredit tanpa cagaran dalam kalangan golongan umur berbeza meningkat antara 1.3 peratus dengan 5.9 peratus, dari suku ketiga 2024 ke suku keempat.
Purata baki kad kredit tanpa cagaran merujuk kepada jumlah purata hutang yang masih perlu dibayar pada kad kredit tanpa sebarang cagaran atau jaminan.
Golongan berumur antara 30 dengan 34 tahun mencatatkan lonjakan terbesar, dengan purata baki kad tertunggak meningkat 5.9 peratus kepada $4,448.
Manakala purata baki tertunggak golongan berumur antara 35 dengan 39 tahun meningkat 5.5 peratus kepada $5,894.
Golongan berumur 54 tahun dan ke atas pula mencatatkan peningkatan terendah sebanyak 1.3 peratus kepada $3,950.
Kadar delinkuen kad kredit juga kekal dalam julat 1 hingga 3 peratus merentasi semua golongan umur.
Golongan berumur antara 40 dengan 44 tahun mencatatkan kadar delinkuen tertinggi iaitu 3.79 peratus, manakala golongan berumur 21 hingga 29 tahun mencatatkan kadar terendah iaitu 1.98 peratus.
Golongan berumur 30 dan 34 tahun pula mencatatkan kadar delinkuen sebanyak 2.62 peratus – naik 0.09 mata peratusan atau sembilan mata asas daripada 2.53 peratus pada suku sebelumnya.
Dalam laporan terkini CBS, terdapat sekitar 30,200 pertanyaan baru untuk pinjaman peribadi pada suku keempat 2024, peningkatan sebanyak 23.4 peratus berbanding suku ketiga.
Menurut Profesor Ruan, ini menunjukkan bahawa orang ramai mungkin beralih daripada penggunaan kad kredit kepada pinjaman peribadi untuk membantu mereka mengatasi masalah kewangan.
“Ia menarik untuk dilihat sama ada mereka yang mengambil pinjaman peribadi baru ini dapat membuat bayaran tepat pada waktunya, pada masa akan datang,” tambah Profesor Ruan.
Pensyarah Kewangan di Sekolah Perniagaan NUS, Profesor Sumit Agarwal, berkata orang ramai kini mengambil lebih banyak hutang, sama ada menerusi pinjaman peribadi atau kad kredit, disebabkan kos sara hidup yang tinggi.
“Orang ramai masih perlu membeli dan menggunakan barangan keperluan. Itu tidak bermakna akan berlaku kegagalan dalam pembayaran (hutang),” tambahnya.
Harga akan kekal tinggi kerana tarif Amerika Syarikat mencetuskan kebimbangan perang perdagangan, yang seterusnya akan menjejas ekonomi global dan meningkatkan inflasi.
Hal ini menimbulkan cabaran untuk Singapura memandangkan banyak barangannya diimport, jelas Profesor Agarwal.
“Sesuatu perlu dilakukan untuk menurunkan kos sara hidup dan memastikan pengguna tidak rasa terbeban,” tambahnya, sambil berkata ini boleh dicapai dengan “memajukan ekonomi dan mengekalkan kadar pengangguran yang rendah”.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg