Pengeluar kereta Korea Selatan, Hyundai, melancarkan kenderaan elektrik (EV) buatan Singapura keduanya pada 19 Julai, membuka tempahan untuk versi pemasangan tempatan bagi jenis sedan Ioniq 6.
Empat model tersedia – dua dengan bateri 53 kilowatt-jam (kWj), yang memerlukan Sijil Hak Memiliki Kenderaan (COE) Kategori A dan dua dengan bateri 77kWj, yang memerlukan COE Kategori B.
Harganya antara $192,150 dengan $244,850, termasuk COE.
Menurut laporan akhbar, The Business Times, pengeluaran bermula pada penghujung Jun di Hyundai Motor Group Innovation Centre Singapore (HMGICS) di Bulim Avenue.
HMGICS, kemudahan penyelidikan dan pemasangan termaju di Daerah Inovasi Jurong, ialah kilang EV pertama di Singapura.
Ia dibuka secara rasmi pada November 2023.
Pemasangan EV pertama keluaran tempatan, Ioniq 5, bermula awal 2023.
Kedua-dua Ioniq 5 dan 6 mengambil masa kira-kira sembilan setengah jam untuk dihasilkan.
Kilang itu juga mengeluarkan versi autonomi Ioniq 5 untuk syarikat Motional, pengendali robotaxi, atau teksi robot, yang berpangkalan di Amerika Syarikat.
Versi Ioniq 6 buatan Korea Selatan telah tersedia di Singapura sejak Julai 2023, tetapi kini akan digantikan dengan buatan tempatan.
Tidak seperti kereta Hyundai yang dibuat di tempat lain tetapi dijual di sini, Ioniq 6 memperkenalkan ciri baru yang akan tersedia untuk semua model buatan Singapura – perkhidmatan bersambung Internet Bluelink berasaskan aplikasi Hyundai.
Ini membolehkan pengguna mengemas kini perisian kereta melalui Internet dan menggunakan fungsi tertentu melalui kawalan suara.
Hyundai belum mengesahkan perkhidmatan lain yang akan disediakan Bluelink di Singapura.
Bluelink juga akan tersedia pada kereta Ioniq 5 buatan Singapura pada masa depan.
Secara berasingan, Hyundai memperluaskan pilihan pengecasan untuk pemilik EV-nya.
Satu perjanjian telah ditandatangani untuk SP Mobility menjadi penyedia kedua pengecasan destinasi – iaitu mengecas di luar rumah – untuk pemilik Hyundai.
Ini tambahan kepada pembekal semasa Charge+.
Skim kredit cas fleksibel Hyundai dengan OCBC Bank juga telah diperluaskan.
Pemilik dengan kad kredit OCBC akan menerima kredit cas yang boleh digunakan di 17 pengendali pusat cas di Singapura, berbanding tujuh sebelum ini.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg