Lebih sembilan daripada 10 syarikat kecil dan sederhana (SME) di Singapura telah menggunakan teknologi digital dalam bidang seperti keselamatan siber, awan, e-pembayaran, e-dagang, analisis data dan kecerdasan buatan (AI) pada 2023.
Angka itu merupakan kenaikan sebanyak 0.5 peratus berbanding 2022, menurut laporan terkini Ekonomi Digital Singapura (SGDE) 2024 oleh Penguasa Pembangunan Infokom Media (IMDA) yang dikeluarkan pada 29 Oktober.
“Pendigitalan membawa impak positif kepada perusahaan.
“SME yang menggunakan penyelesaian digital di bawah Geran Huraian Daya Penghasilan (PSG) telah mengisytiharkan penjimatan kos sekitar 50 peratus secara purata dalam tempoh 2018 hingga 2023,” jelas IMDA.
Laporan itu juga menunjukkan bahawa 82 peratus SME telah menggunakan sekurang-kurangnya satu penyelesaian digital, seperti perakaunan, pengurusan dokumen dan pemasaran digital, untuk meningkatkan fungsi perniagaan am mereka pada 2023, berbanding 69 peratus pada 2021.
Bagi SME yang mempunyai keperluan khusus seperti perniagaan runcit atau makanan dan minuman (F&B), yang memerlukan sistem tempahan, sebagai contoh, sebanyak 85 peratus syarikat telah menggunakan penyelesaian digital pada 2023, berbanding 61 peratus pada 2021.
Laporan SGDE 2024 itu membentangkan analisis menyeluruh tentang keadaan ekonomi digital Singapura pada 2023, yang antara lain, merangkumi saiz ekonomi digital, keadaan pendigitalan perniagaan dan keadaan tenaga kerja teknologi di Singapura.
Kini, dalam edisi keduanya, IMDA berkata ekonomi digital Singapura telah “meneruskan sumbangan yang kukuh” pada 2023 dan menyumbang sekitar $113 bilion, atau 17.7 peratus bahagian, daripada Hasil Dalam Negeri Kasar (GDP) negara.
Ini menyumbang kira-kira $1 daripada setiap $6 dalam ekonomi dan mengatasi sektor kewangan dan insurans, dan setanding dengan sektor pembuatan, yang disifatkan IMDA sebagai “menunjukkan betapa pentingnya ekonomi digital”.
Antara 2018 dengan 2023, ekonomi digital juga berkembang pada kadar pertumbuhan tahunan berkompaun (CAGR) yang sihat sebanyak 11.2 peratus, hampir dua kali ganda kadar pertumbuhan GDP nominal sebanyak 5.8 peratus untuk keseluruhan ekonomi, kata IMDA.
Untuk terus memacu pertumbuhan itu, IMDA berkata ia komited untuk memajukan transformasi digital SME melalui daya utamanya yang membolehkan mereka memanfaatkan hasil pendigitalan.
“SME boleh mengakses sumber pendigitalan melalui platform CTO-as-a-Service (CTOaaS) IMDA. Sehingga kini, lebih 145,000 pengguna telah mengakses platform untuk keperluan mereka.
“Penyelesaian digital yang disediakan untuk asas luas SME dipandu oleh 22 Pelan Digital Industri (IDP) yang menetapkan penyelesaian digital khusus sektor yang relevan untuk perniagaan pada setiap peringkat pertumbuhan mereka,” kata IMDA.
Ia menambah bahawa SME juga boleh memohon sokongan geran PSG untuk mengimbangi kos penyelesaian digital pralulus yang berkaitan dengan mereka.
Setakat ini, kira-kira 400 penyelesaian digital pralulus tersedia untuk dipilih, di mana 20 peratus daripadanya dipacu AI, kata IMDA.
Perniagaan yang memerlukan penyelesaian digital yang lebih khusus juga boleh menggunakan Platform Inovasi Terbuka (OIP) yang mempunyai lebih daripada 13,000 penyedia penyelesaian teknologi untuk menangani isu perniagaan mereka.
Laporan itu juga menunjukkan bahawa 44 peratus perusahaan besar melaksanakan teknologi AI pada 2023, lebih dua kali ganda berbanding 16.7 peratus pada 2018.
Kadar penggunaan AI dalam kalangan SME juga meningkat daripada 3.5 peratus pada 2018 kepada 4.2 peratus pada 2023.
Bilangan pekerjaan dalam bidang teknologi juga telah meningkat kepada 208,300 pada 2023, naik 23 peratus sejak 2018, dan menyumbang lebih 5 peratus daripada jumlah pekerjaan di Singapura.
“
“Pendigitalan membawa impak positif kepada perusahaan. SME yang menggunakan penyelesaian digital di bawah Geran Huraian Daya Penghasilan (PSG) telah mengisytiharkan penjimatan kos sekitar 50 peratus secara purata dalam tempoh 2018 hingga 2023.”Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg