Sistem baru iFerret berteraskan kecerdasan buatan (AI), yang membuat imbasan melalui kamera berdefinisi tinggi di sepanjang landasan Lapangan Terbang Changi, adalah lebih tepat kerana ia dilatih untuk mengelak daripada menandakan imej bukan serpihan, seperti pantulan cahaya pada landasan ketika hujan.
Sistem itu, yang boleh menandakan serpihan dan objek asing lain sekecil empat sentimeter serta mampu beroperasi sepanjang 24 jam, merupakan antara projek AI yang dibentangkan dalam sidang teknologi, ‘NCS Impact’, di Pusat Konvensyen dan Ekspo Marina Bay Sands pada 11 Julai.
Sidang itu mengumpulkan sekurang-kurangnya 1,000 karyawan teknologi untuk membincang dan mempamerkan teknologi.
Ia dirasmikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Encik Heng Swee Keat, yang hadir selaku tetamu terhormat.
NCS ditukil sebagai berkata dalam laporan The Straits Times bahawa ia merancang melatih 3,000 pekerja sebagai pengamal AI dalam tempoh tiga tahun akan datang.
Ini bagi membolehkan mereka menjadi lebih cekap dalam menggunakan dan mencipta penyelesaian AI.
Pelatih akan menghadiri program yang ditawarkan oleh sekolah dan syarikat teknologi, serta inisiatif Perancangan Perubahan Pekerjaan (JTM) bagi Teknologi Perhubungan dan Maklumat dan program, Pemacu Kemahiran Teknologi (TeSA) di bawah Penguasa Pembangunan Infokom Media (IMDA).
Rakan kongsi kanan syarikat Next – cabang perkhidmatan digital NCS – Cik Wynthia Goh, berkata dalam kumpulan itu, 300 kakitangan akan dilatih sebagai pakar AI dengan kepakaran AI yang lebih mendalam.
Dorongan untuk memikat lebih ramai bakat terlatih dalam sektor teknologi adalah sejajar dengan agenda Singapura untuk menggandakan kumpulan bakat AI di sini kepada 15,000 dalam tempoh lima tahun akan datang.
Ini khusus bagi memenuhi permintaan yang semakin meningkat bagi penyelesaian AI.
Semasa berucap, Encik Heng berkata AI dan teknologi baru boleh membantu meningkatkan pertumbuhan ekonomi, dengan matlamat memanfaatkan pekerja dan orang ramai dan bukannya untuk mencapai perangkaan semata-mata.
AI mempunyai potensi membantu manusia menyelesaikan masalah kompleks dalam sektor farmaseutikal dan mengambil alih tugas yang menjemukan atau berbahaya.
Namun, teknologi itu turut mempunyai risiko seperti ketidaktepatan dan ancaman siber yang mesti diurus, ujar Encik Heng.
Beliau menambah: “Untuk memanfaatkan potensi teknologi secara berkesan, kita perlu menggabungkan kepakaran dan pengalaman terbaik merentasi pelbagai bidang.
“Sebagai contoh, dalam bidang teknologi yang berbeza dan dalam operasi perniagaan.”
Merujuk kepada program latihan NCS, beliau menambah:
“(Pengumuman) untuk membangunkan tenaga kerja yang celik AI adalah inisiatif berharga untuk membangunkan bakat di Singapura dan di seluruh Asia Pasifik bagi mengharungi gelombang perubahan akan datang.”
“
“(Pengumuman) untuk membangunkan tenaga kerja yang celik AI adalah inisiatif berharga untuk membangunkan bakat di Singapura dan di seluruh Asia Pasifik bagi mengharungi gelombang perubahan akan datang.”

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg