WASHINGTON: Dana Kewangan Antarabangsa (IMF) telah mengurangkan unjuran pertumbuhan sejagat pada 14 April menyusuli lonjakan harga tenaga yang didorong peperangan di Timur Tengah. 

IMF menambah dunia kini menuju ke arah keadaan lebih buruk dengan pertumbuhan jauh lebih lemah, disebabkan gangguan perkapalan berterusan di Selat Hormuz.

Selat Hormuz merupakan sebuah laluan perkapalan strategik bagi sekitar 20 peratus bekalan tenaga sejagat.

Di tengah-tengah ketidaktentuan besar menyelubungi konflik tersebut, para pegawai kewangan telah berhimpun di Washington, Amerika Syarikat sempena mesyuarat musim bunga IMF dan Bank Dunia.

Mereka telah dibentangkan dengan tiga senario pertumbuhan – iaitu lemah, buruk, dan parah – bergantung kepada perkembangan peperangan berkenaan.

Di bawah unjuran senario terburuk IMF, ekonomi sejagat akan berada di ambang kemelesetan, dengan harga minyak dianggarkan mencecah purata AS$110 ($140) setong pada 2026 dan AS$125 pada 2027.

Namun, IMF memilih senario paling optimis bagi ramalan rujukan dalam Tinjauan Ekonomi Dunia (WEO). 

Senario itu mengandaikan konflik tersebut hanya bersifat sementara dengan harga minyak kembali seperti biasa pada separuh kedua 2026, pada purata AS$82 setong bagi tahun tersebut.

Ia jauh di bawah harga penanda aras minyak mentah Brent yang berada sekitar AS$95 pada 15 April.

Beberapa minit selepas unjuran tersebut dikeluarkan, Ketua Ahli Ekonomi IMF, Dr Pierre-Olivier Gourinchas, berkata data itu mungkin sudah tidak lagi relevan.

Beliau memberitahu media memandangkan gangguan bekalan tenaga berterusan tanpa jalan penyelesaian yang jelas, besar kemungkinan senario buruk yang diunjurkan IMF akan berlaku.

Senario buruk itu meramalkan konflik lebih panjang, serta bakal menyaksikan harga minyak kekal sekitar AS$100 setong pada 2026 dan AS$75 pada 2027.

Ia sekali gus menyebabkan pertumbuhan sejagat jatuh kepada 2.5 peratus pada 2026 berbanding 3.4 peratus pada 2025.

“Saya boleh katakan kedudukan kita sekarang berada di antara senario rujukan dan senario buruk.

“Sudah tentu, setiap hari yang berlalu dengan gangguan tenaga berterusan, kita akan semakin menghampiri senario buruk tersebut,” kata Dr Gourinchas.

Menurut IMF, sekiranya konflik di Timur Tengah tidak berlaku, unjuran pertumbuhan akan dinaikkan sebanyak 0.1 mata peratusan kepada 3.4 peratus. 

Kenaikan didorong permintaan pelaburan teknologi yang berkembang pesat, kadar faedah lebih rendah, tarif Amerika yang tidak terlalu membebankan, serta sokongan fiskal di beberapa negara.

Pada Januari, IMF telah meramalkan harga minyak akan merosot kepada sekitar AS$62 setong pada 2026.

Bagi kes terburuk iaitu senario parah, IMF mengandaikan konflik berterusan dan semakin meruncing serta harga minyak yang jauh lebih tinggi. 

Keadaan tersebut boleh mencetuskan gangguan besar dalam pasaran kewangan dan menyebabkan syarat kewangan lebih ketat, sekali gus menyaksikan pertumbuhan sejagat menjunam kepada 2 peratus.

“Ini bermakna ekonomi dunia hampir pasti berdepan risiko kemelesetan,” kata IMF.

Badan kewangan itu menambah pertumbuhan sejagat hanya pernah jatuh di bawah paras tersebut sebanyak empat kali sejak 1980 – dengan dua kemelesetan terburuk berlaku pada 2009 ekoran krisis kewangan, dan pada 2020 ketika pandemik Covid-19 memuncak.

Inflasi sejagat bagi 2026 dijangka melebihi 6 peratus dalam senario parah tersebut, berbanding 4.4 peratus dalam senario rujukan paling optimis, yang menjadi asas kepada unjuran pertumbuhan negara dan wilayah oleh IMF. – Reuters.