SPH Logo mobile
Langgan|
success-icon

Topic followed successfully

Go to BHku

Ketua IMF: Perang Timur Tengah lonjak inflasi, bantut pertumbuhan ekonomi global

Ketua IMF: Perang Timur Tengah lonjak inflasi, bantut pertumbuhan ekonomi global

Apr 7, 2026 | 1:50 PM

Ketua IMF: Perang Timur Tengah lonjak inflasi, bantut pertumbuhan ekonomi global

Menurut pengarah urusan Dana Kewangan Antarabangsa (IMF), Cik Kristalina Georgieva, badan kewangan global itu akan merendahkan unjuran pertumbuhan ekonomi dan menaikkan jangkaan inflasi.
Menurut pengarah urusan Dana Kewangan Antarabangsa (IMF), Cik Kristalina Georgieva, badan kewangan global itu akan merendahkan unjuran pertumbuhan ekonomi dan menaikkan jangkaan inflasi. - Foto REUTERS

WASHINGTON: Perang di Timur Tengah dijangka melonjakkan inflasi dan membantutkan pertumbuhan ekonomi global, ujar Ketua Dana Kewangan Antarabangsa (IMF) kepada Reuters pada 6 April.

Kenyataan ini hadir menjelang pengumuman unjuran ekonomi dunia dan mesyuarat IMF yang dijadual berlangsung dari 13 hingga 18 April di ibu pejabat badan kewangan global di Washington.

Konflik tersebut telah mencetuskan gangguan bekalan tenaga global yang paling teruk dalam sejarah, dengan pengeluaran minyak berjuta-juta tong terhenti akibat sekatan Iran ke atas Selat Hormuz.

Selat Hormuz adalah laluan maritim kritikal yang menjadi nadi pengangkutan satu perlima bekalan minyak dan gas dunia.

Walaupun konflik itu dapat diselesaikan segera, IMF tetap akan menyemak turun unjuran pertumbuhan ekonomi dan menyemak naik jangkaan inflasi, kata Pengarah Urusan IMF, Cik Kristalina Georgieva.

Perang ini diramal menjadi agenda utama perbincangan para pegawai kewangan dunia pada Mesyuarat Musim Bunga IMF dan Bank Dunia yang bakal berlangsung.

IMF dijangka menerbitkan pelbagai senario dalam Prospek Ekonomi Dunia yang akan dikeluarkan pada 14 April.

Badan itu telah memberi isyarat kemungkinan penurunan unjuran dalam catatan blog pada 30 Mac, memandangkan kesan perang yang tidak sekata serta keadaan kewangan global yang semakin mencabar.

Jika perang itu tidak meletus, kata Cik Georgieva, IMF sebelum ini menjangkakan sedikit peningkatan dalam unjuran pertumbuhan global, iaitu 3.3 peratus pada 2026 dan 3.2 peratus pada 2027, seiring dengan pemulihan ekonomi dunia daripada pandemik.

“Sebaliknya, semua jalan kini menuju kepada harga lebih tinggi dan pertumbuhan lebih perlahan,” kata Cik Georgieva, yang akan memberi ucapan awal mesyuarat musim bunga itu pada 9 April.

Presiden Bank Dunia, Encik Ajay Banga, pula akan menyampaikan pandangannya dalam acara Atlantic Council pada 7 April.

“Kita kini berada dalam dunia yang penuh ketidaktentuan,” kata Cik Georgieva, merujuk kepada ketegangan geopolitik, kemajuan teknologi, kejutan iklim dan perubahan demografi.

“Ini bermakna selepas kita pulih daripada kejutan ini, kita perlu sentiasa berwaspada terhadap kejutan seterusnya.”

Perang itu telah mengurangkan bekalan minyak global sebanyak 13 peratus, ujar Cik Georgieva.

Kesannya terasa dalam penghantaran minyak dan gas, serta rantaian bekalan berkaitan seperti helium dan baja.

Andai kata perang berakhir pantas dan pemulihan berlaku segera, unjuran tetap akan disemak. Unjuran pertumbuhan akan diturunkan secara “agak kecil”, manakala unjuran inflasi dijangka dinaikkan, katanya.

Sekiranya konflik itu berlarutan, kesan ke atas inflasi dan pertumbuhan ekonomi akan menjadi lebih parah.

Negara-negara miskin dan mudah terjejas, yang tidak mempunyai simpanan tenaga, akan menerima impak paling besar, tambah Cik Georgieva.

Ini kerana negara yang kekangan kewangan atau langsung tiada keupayaan untuk membantu rakyat menghadapi kenaikan harga akibat perang, berisiko tinggi menghadapi kekacauan sosial.

Menurut Cik Georgieva, beberapa negara telah memohon bantuan pembiayaan, namun beliau tidak menamakan negara-negara tersebut.

Beliau menyatakan IMF boleh menambah baik program pinjaman sedia ada bagi memenuhi keperluan negara-negara tersebut.

Selepas Amerika Syarikat dan Israel melancarkan serangan ke atas Iran pada 28 Februari, Iran telah menutup Selat Hormuz, menyebabkan harga minyak mentah dan gas asli cecair melonjak tinggi. – Reuters.

Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg