WASHINGTON: Dana Kewangan Antarabangsa (IMF) telah meningkatkan ramalannya bagi ekonomi dunia tahun ini, menganggarkan risiko telah mulai berkurangan sejak beberapa bulan lalu selepas Amerika Syarikat mengelakkan mengingkari pinjaman dan pihak berkuasa menghalang krisis perbankan di kedua-dua belah Atlantik.
Dalam satu kemas kini pada Rabu, IMF mengatakan dalam satu kenyataan bahawa hasil dalam negara kasar (GDP) global akan berkembang 3 peratus pada 2023, berdasarkan satu tinjauan Prospek Ekonomi Dunia yang dikeluarkan pada Selasa.
Walaupun dianggap lembap berbanding pertumbuhan 3.5 peratus tahun lalu, ia lebih tinggi daripada unjuran 2.8 peratus yang dibuat IMF pada April.
“Penyelesaian baru-baru ini bagi kebuntuan hutang Amerika, dan aksi tegas pihak berkuasa untuk membendung pergolakan di perbankan Amerika dan Swiss pada awal tahun ini, mengurangan risiko pergolakan sektor kewangan dengan segera,” ujar IMF.
“Ini menyederhanakan risiko buruk ke atas prospek (ekonomi),” tambahnya.
IMF tidak mengubah ramalan pertumbuhan sejagat bagi tahun depan, iaitu 3 peratus.
Dana itu antara suara yang kian melihat pertumbuhan berpotensi perlahan di Amerika.
Pakar ekonomi dalam satu tinjauan Bloomberg bulan ini menaikkan anggaran pertumbuhan GDP suku kedua dan ketiga, walaupun mereka kata ada 60 peratus peluang Amerika mengalami kemelesetan ekonomi dalam 12 bulan akan datang.
Biarpun optimistik mengenai pertumbuhan ekonomi sejagat, IMF, bagaimanapun, memberi amaran bahawa prospek pertumbuhan kelihatan lemah berbanding purata 3.8 peratus sepanjang dua dekad sebelum pandemik Covid-19.
“Keseimbangan risiko kepada pertumbuhan sejagat kekal condong ke arah bawah,” kata IMF.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg