Ekonomi
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Impian jadi usahawan dorong bekas pegawai polis mulakan perniagaan renovasi

Pengasas Direct Contractor Pte Ltd kini miliki empat gudang dan 35 pekerja
Feb 26, 2025 | 7:29 PM
Encik Surean Sareman, mula berminat dalam bidang pertukangan sejak di sekolah menengah, dengan dorongan guru Rekaan dan Teknologi.
Encik Surean Sareman, mula berminat dalam bidang pertukangan sejak di sekolah menengah, dengan dorongan guru Rekaan dan Teknologi. - Foto BH oleh KHALID BABA

Minat untuk berniaga sudah ditanam dari kecil.

Namun, kerana ingin mendapat restu orang tua, Encik Surean Sareman, memilih bekerja sebagai seorang pegawai polis selama sembilan tahun selepas menjalani Perkhidmatan Negara (NS), sebelum beliau berani mengorak langkah dan mengejar cita-cita yang sudah lama terpendam.

Kini, lebih lapan tahun setelah memulakan perniagaan khidmat kontraktor pengubahsuaian, Encik Surean, 38 tahun, pengasas Direct Contractor Pte Ltd di Polaris @ Woodlands, berjaya memiliki empat buah gudang dan mempunyai 35 pekerja di bawahnya.

Ia termasuk pekerja pertukangan, pengurus projek, pereka dalaman, pentadbiran dan pemasaran.

Dua di antara gudang itu dijadikan kilang pertukangan dan pejabat operasi syarikatnya di Polaris @ Woodlands.

“Keputusan yang paling sukar untuk saya ialah apabila saya ingin berhenti kerja.

“Tetapi saya bertekad ingin memulakan perniagaan sendiri, kerana saya berminat dalam bidang pertukangan,” kata Encik Surean, yang mula jatuh cinta dengan bidang pertukangan sewaktu mengambil mata pelajaran Rekaan dan Teknologi di sekolah menengah.

Berita tentang syarikat pengubahsuaian yang membiarkan projek ubah elok terbengkalai memang kerap didengar.

Ia sekali gus menimbulkan kebimbangan bagi pemilik rumah untuk memilih syarikat pengubahsuaian.

Menurut Encik Surean, pemilik rumah perlu membuat kajian tentang sesebuah syarikat agar tidak terperangkap dalam keadaan sebegitu.

“Selain lesen Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) dan Penguasa Bangunan dan Binaan (BCA), setidak-tidaknya, sebuah syarikat perlu mempunyai akaun media sosial atau laman web, dan berkongsi tentang projek mereka secara terbuka,” kata Encik Surean yang menekankan kepentingan pemasaran dan penglibatan media sosial dalam membentuk sebuah perniagaan berjaya.

“Pelanggan harus sentiasa awas dengan syarikat yang meminta bayaran pendahuluan sepenuhnya atau tinggi.

“Selain itu, pastikan bil senaraikan khidmat secara terperinci dan bukan hanya jumlah keseluruhan.”

Sejauh ini, syarikat Direct Contractor Pte Ltd yang bermula dari 2018 telah menghasilkan pengubahsuaian bagi ratusan rumah dan lebih 100 projek pada 2024 sahaja.

Encik Surean yang sedang dalam perancangan mengembangkan perniagaannya ke Johor Bahru, Malaysia, juga berkongsi tidak terkecuali dalam mengharungi cabaran perniagaan.

Berurusan dengan pelanggan yang sukar, dan menangani masalah pekerja adalah antara cabaran yang perlu dihadapi.

“Berurusan dengan pelanggan yang tidak berpuas hati adalah sesuatu yang saya perlu hadapi, oleh kerana pada mulanya saya menguruskan semuanya sendiri.

“Ia menjadi tekanan buat saya, tetapi sekarang, saya mempunyai kakitangan untuk mengendalikan projek dan memastikan kepuasan pelanggan,” tambah Encik Surean yang mengakui sokongan isteri dan kedua ibu bapa sebagai tempat meluahkan perasaan sangat penting untuknya.

Namun begitu, detik paling sukar baginya ialah apabila beliau kehilangan pekerja yang sangat dipercayainya pada 2024.

“Salah satu pekerja saya adalah seorang rakyat Malaysia, dan beliau menginap di Johor Bahru bersama keluarganya.

”Sewaktu dalam perjalanan pulang dari kerja, beliau terlibat dalam kemalangan yang meragut nyawa,” jelas Encik Surean yang jelas terkesan dengan pemergian arwah yang dianggap seorang pekerja yang rajin dan amanah.

Menyentuh tentang rancangan masa depan pula, Encik Surean berhasrat menggunakan kuasa teknologi seperti robot untuk menghasilkan potongan kayu-kayan untuk binaan.

“Teknologi ini masih baru, tetapi sudah digunakan di Jerman, harganya agak mahal, tetapi ia dapat menghasilkan kerja dengan lebih cepat dan tepat,” kata Encik Surean yang telah mengembangkan perniagaan pembinaan rumah ke hartanah komersial.

“Kalau saya boleh kembali ke masa lampau, saya akan beritahu diri saya untuk mempersiapkan diri dengan kemahiran pengurusan dan perniagaan.

“Walaupun begitu, hingga saat ini pun, saya rasa pembelajaran tidak putus, kita boleh meraih (ilmu) daripada kesilapan dan pengalaman.”

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg