Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Suami kerja di S’pura meninggal dalam perjalanan pulang ke JB

Jul 28, 2024 | 5:30 AM
Warga Malaysia menunggang motosikal di jalan raya.
Warga Malaysia menunggang motosikal di jalan raya. - Foto BM oleh MOHD SHAFIQ APANDI
View post on TikTok

Kali pertama beliau ditawarkan pekerjaan di Singapura, Encik Mohd Fikri Ahmad Tajudin, 31 tahun, menolaknya kerana tidak mahu berjauhan daripada isterinya.

Tetapi setelah berfikir dua tiga kali, pasangan warga Malaysia itu memutuskan untuk menerima tawaran pekerjaan itu dengan niat ingin membina masa depan lebih cerah bukan sahaja buat mereka berdua malah bagi cahaya mata pertama yang bakal mereka sambut waktu itu.

Belum genap dua tahun beliau bekerja di Singapura, beliau menghembuskan nafasnya yang terakhir setelah motosikal yang ditunggangnya terlibat dalam kemalangan ketika dalam perjalanan pulang ke Malaysia dari tempat kerjanya di Singapura pada 27 Mac lalu, dalam Ramadan.

Isteri Allahyarham Mohd Fikri, Cik Nabihah Ibrahim, 31 tahun, menerima khabar pemergiannya ketika sedang mengandung anak kedua mereka.

“Biasanya ketika bulan puasa, beliau akan sampai semasa waktu berbuka... dan beliau akan beritahu saya kalau beliau balik lambat.

“Pada hari itu, saya tunggu beliau dah 8 malam masih tiada berita... saya rasa tak sedap hati dan asyik telefon beliau, tetapi yang jawab ialah pegawai polis yang beritahu saya beliau kemalangan dan sudah meninggal dunia,” katanya tidak dapat menahan sebak.

Menceritakan kepada Berita Minggu (BM), Cik Nabihah berkata Allahyarham mendapat pekerjaan di Singapura sebagai pengurus projek pada Disember 2022, enam bulan setelah mereka mendirikan rumah tangga.

Antara pengorbanan yang terpaksa dibuat adalah mereka hidup berjauhan kerana Allahyarham menginap di Singapura sementara Cik Nabihah tinggal di Kuala Lumpur.

Hanya pada Ogos 2023 mereka berdua pindah ke sebuah apartmen di Johor Bahru yang membolehkan Allahyarham berulang-alik setiap hari antara Malaysia dengan Singapura.

Watch on YouTube

Pemergian mendadak Allahyarham menjadikan Cik Nabihah pencari nafkah tunggal yang perlu membesarkan anak lelaki berusia satu setengah tahun sedang dirinya hamil enam bulan.

“Hari-hari saya memandu ke kerja saya menangis, tetapi saya tiada pilihan lain... anak-anak saya kecil sangat, jadi saya kena fikir panjang.

“Setelah saya melahirkan, saya akan pindah balik ke kampung keluarga saya di Pulau Pinang untuk memulakan kehidupan baru,” kata pekerja makmal itu.

Beliau akui bahawa ada orang yang melontarkan kata-kata menyinggung perasaan seperti ‘bekerja di Singapura ibarat menempah maut’, namun Cik Nabihah tidak pernah menyesali keputusan yang mereka buat.

“Sebagai seseorang yang berpegang kepada agama, saya percaya ini adalah takdir Allah.

“Jikalau dia tidak bekerja di Singapura pun... hal itu boleh berlaku jika sudah tertulis. Yang saya pasti adalah saya amat hargai apa yang telah beliau korbankan untuk keluarga selama ini,” luahnya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg