INDUSTRI hotel tanah air disertai beberapa hotel baru - seperti The Clan, Duxton Reserve dan Oasia Resort Sentosa - menawarkan konsep gaya hidup unik, tahun lalu.
Di samping itu, sesetengah hotel turut mengambil kesempatan untuk menyuntik nafas baru kepada hartanah mereka seperti Hilton Singapore yang akan dibuka semula sebagai voco Orchard Singapore dan Mandarin Orchard yang akan dibuka semula sebagai Hilton Singapore Orchard tahun ini.
Beberapa hotel lain seperti The Ritz-Carlton, Millenia Singapore dan Grand Hyatt Singapore pula berusaha menarik pasaran setempat dengan menawarkan pelbagai pengalaman unik bagi tamunya.
Oleh itu, bagi memastikan mereka dapat terus beroperasi walaupun dengan ancaman varian Omicron yang lebih mudah berjangkit sekarang, hotel di sini sudah pun melaksana pelbagai langkah selamat yang ketat untuk melindungi tenaga kerjanya dan tamu hotel selain melakar rancangan untuk menangani tenaga pekerja mereka.
Malah, menurut Pengarah Eksekutif Persatuan Hotel Singapura (SHA), Cik Margaret Heng, industri hotel kini tangkas dan responsif kepada situasi dan langkah pengurusan selamat yang berubah-ubah selepas dua tahun menangani pandemik Covid-19 ini.
"Menerusi usaha kerjasama dengan pelbagai agensi, hotel anggota kami bersedia mengikut nasihat kesihatan awam.
"Anggota kami juga masing-masing mempunyai pelan kesinambungan perniagaan (BCP) mereka, mengikut protokol operasi dan piawaian jenama mereka," ujarnya.
Conrad Centennial Singapore, yang merupakan sebahagian jenama Hilton, misalnya, mempunyai program Hilton Cleanstay yang berasaskan piawaian pembersihannya yang rapi selain mengikut garis panduan pemerintah.
Pengarah Komersial Conrad Centennial Singapore, Encik Shengwen Chua, berkata hotel tersebut juga telah melaksanakan ruang check-in yang berasingan bagi tamu yang tiba menerusi Laluan Perjalanan bagi yang Sudah Menjalani Vaksinasi (VTL) dengan tamu staycation.
Dengan jangkitan varian Omicron mungkin menjejas lebih ramai orang, pemerintah baru-baru ini menggesa perniagaan melaksanakan pelan kesinambungan dan mematuhi langkah pengurusan selamat dengan rapi untuk mengurangkan gangguan terhadap operasi.
Ini kerana di negara lain yang telah melalui gelombang Omicron, bilangan kes tinggi dalam kalangan tenaga kerja menyebabkan operasi perniagaan terganggu.
Cik Heng berkata SHA giat menggalak usaha mempertingkat kemahiran pekerja, latihan rentas fungsi dan skop pekerjaan fleksibel sebagai sebahagian proses transformasi industri hotel sejak sebelum pandemik Covid-19.
"Ini akan membantu mengurangkan cabaran tenaga manusia dalam industri ini," ujarnya.
Bagi Conrad Centennial Singapore, Encik Chua berkata hotel itu juga telah mengambil kesempatan tempoh dua tahun lalu semasa pandemik ini untuk memberi latihan tambahan kepada tenaga kerjanya.
"Ada kakitangan kami yang bekerja di jabatan yang berbeza daripada jabatan asal mereka.
"Hasilnya, kami telah membina bakat yang berupaya bekerja dalam peranan yang berbeza di hotel ini.
"Ini telah membina daya tahan hotel ini dari segi operasi dan mengurangkan sebarang gangguan yang mungkin berlaku," katanya.
Dalam pada itu, sektor pelancongan dalam negara yang menggalakkan tahun lalu, juga telah meninggalkan kesan positif pada daya tarikan baru dan yang sudah lama wujud, dan mereka berharap perkembangan positif itu dapat diteruskan.
Oleh itu, selain memastikan mereka terus melaksanakan langkah pengurusan selamat dengan ketat untuk melindungi pengunjung, tenaga kerja dan keluarga mereka, Pengerusi Persatuan Tarikan Singapura (ASA), Dr Kevin Cheong, berkata persatuan itu juga sedang bekerjasama dengan pelbagai pihak berkepentingan untuk mempertingkat kemahiran tenaga kerja di tempat-tempat yang menyediakan daya tarikan.
Walau apa pun varian yang akan muncul, Dr Cheong berkata pengendali tempat daya tarikan harus bersiap sedia sekiranya kakitangan mereka dijangkiti.
"Sekiranya ini berlaku dan jumlah kakitangan terlalu rendah, serta tiada pekerja sambilan atau kasual yang mencukupi, pengurus dan pemilik tempat-tempat daya tarikan harus membuat keputusan untuk mengimbangi antara kebolehkendalian, pengalaman pengunjung dan daya maju komersialnya," ujarnya.
Tambahnya, isu kekurangan tenaga kerja akan terus menjadi keprihatinan utama bagi sektor tempat-tempat daya tarikan, lebih-lebih lagi dengan sektor itu dijangka berkembang dalam tempoh 12 hingga 18 bulan akan datang.
Ini antara lain disebabkan sesetengah pekerja yang telah meninggalkan industri itu sepanjang dua tahun lalu untuk mencari peluang lebih baik dalam sektor lain, kohort pelajar lebih kecil yang mengikuti pengajian pelancongan di institusi pengajian tinggi, serta perspektif negatif sesetengah individu terhadap prospek sektor pelancongan, kata Dr Cheong.
Namun, menurut Cik Heng, SHA berharap pelancongan dapat terus pulih tahun ini, dengan langkah membuka semula sempadan antarabangsa dapat terus dilaksana dengan selamat dan bertanggungjawab.
"Kami tidak sabar memberi sambutan mesra kepada pengunjung antarabangsa dan mempamerkan layanan baik bertaraf dunia Singapura lagi," ujarnya.
"Kami tidak sabar memberi sambutan mesra kepada pengunjung antarabangsa dan mempamerkan layanan baik bertaraf dunia Singapura.'' - Pengarah Eksekutif Persatuan Hotel Singapura (SHA), Cik Margaret Heng.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg