Inflasi teras Singapura meningkat pada Julai akibat kenaikan besar kos utiliti, di samping peningkatan caj perkhidmatan dan harga makanan.

Inflasi teras – yang tidak mengambil kira pengangkutan persendirian dan kos penginapan bagi memberikan gambaran lebih tepat tentang perbelanjaan isi rumah – adalah 2 peratus pada Julai, meningkat daripada 1.6 peratus pada Jun, menurut Jabatan Perangkaan Singapura (Singstat) pada 24 Ogos.

Kadar itu merupakan yang tertinggi sejak Oktober 2024 berdasarkan data Singstat, namun masih di bawah anggaran median sebanyak 2.2 peratus dalam tinjauan Bloomberg.

Inflasi keseluruhan pula mencapai 2.2 peratus pada Julai, meningkat daripada 1.9 peratus pada Jun, berikutan peningkatan inflasi penginapan serta kenaikan inflasi teras.

Harga elektrik dan gas yang turun 2.9 peratus pada Jun meningkat semula sebanyak 8.7 peratus pada Julai.

Dalam satu kenyataan bersama pada 24 Ogos, Penguasa Kewangan Singapura (MAS) dan Kementerian Perdagangan dan Perusahaan (MTI) menyatakan kenaikan tinggi tersebut sebahagian besarnya berpunca daripada peningkatan tarif elektrik terkawal pada Julai.

“Peningkatan harga tenaga dunia telah menyebabkan kenaikan tarif elektrik dan gas di Singapura serta tambang pengangkutan yang lebih tinggi.

“Harga minyak dunia kekal tinggi dan tidak menentu, manakala keadaan cuaca buruk dijangka mengurangkan hasil pertanian dan meningkatkan harga makanan import Singapura,” ujar mereka. 

“Sedang kos input yang lebih tinggi disalurkan melalui rantaian bekalan dunia, harga pelbagai barangan dan perkhidmatan import Singapura dijangka meningkat dalam beberapa suku tahun akan datang.”

Inflasi makanan meningkat sedikit kepada 2.2 peratus pada Julai, daripada 2 peratus pada Jun, berikutan harga perkhidmatan makanan dan makanan mentah meningkat pada kadar lebih pantas.

Inflasi pengangkutan privet pula jatuh kepada 8 peratus pada Julai, daripada 8.4 peratus pada Jun, apabila kadar kenaikan harga petrol dan diesel menjadi lebih sederhana.

Inflasi barangan runcit dan barangan lain jatuh kepada 1.4 peratus pada Julai, daripada 1.7 peratus pada Jun, disebabkan inflasi lebih rendah bagi perabot dan produk penjagaan diri.

Kenaikan kadar sewa rumah dan yuran penyelenggaraan mendorong inflasi penginapan meningkat kepada 0.8 peratus pada Julai, daripada 0.6 peratus pada Jun.

Inflasi perkhidmatan meningkat kepada 1.7 peratus pada Julai, daripada 1.5 peratus pada Jun, berikutan kenaikan harga tambang penerbangan dan perkhidmatan pengangkutan dari satu lokasi ke satu lokasi pada kadar lebih pantas.

MAS dan MTI mengekalkan unjuran yang dibuat pada April lalu bahawa inflasi keseluruhan dan inflasi teras akan mencatat purata antara 1.5 peratus hingga 2.5 peratus pada 2026.