Topik diikuti
Pergi ke BHkuInflasi teras S’pura naik kepada paras 1.6% pada Jun
Inflasi teras S’pura naik kepada paras 1.6% pada Jun
Rendah sedikit daripada ramalan; kos tenaga lebih tinggi dijangka tingkatkan harga import
Inflasi teras S’pura naik kepada paras 1.6% pada Jun
Inflasi teras Singapura meningkat sedikit pada Jun, dengan kos tenaga yang lebih tinggi dijangka menaikkan kos pengeluaran dan pengangkutan bagi lebih banyak barangan dan perkhidmatan import negara ini dari semasa ke semasa.
Inflasi teras – yang tidak termasuk pengangkutan persendirian dan penginapan, bagi mencerminkan perbelanjaan isi rumah dengan lebih baik – berada pada paras 1.6 peratus pada Jun, meningkat daripada 1.4 peratus pada Mei.
Pakar ekonomi yang ditinjau oleh Bloomberg meramalkan inflasi teras akan meningkat kepada paras 1.7 peratus.
Inflasi keseluruhan berada pada 1.9 peratus pada Jun, meningkat sedikit daripada 1.8 peratus pada Mei.
Ini disebabkan oleh inflasi penginapan yang lebih tinggi, di samping peningkatan inflasi teras, kata Penguasa Kewangan Singapura (MAS) dan Kementerian Perdagangan dan Perusahaan (MTI) dalam satu kenyataan bersama pada 23 Julai.
“Sekiranya kebangkitan semula bekalan tenaga dunia berlaku lebih perlahan daripada dijangka, atau kekurangan berterusan dalam input perantaraan utama kepada rantaian bekalan serantau, ini boleh menaikkan lagi kos import untuk Singapura,” kata MAS dan MTI.
“Namun, risiko penurunan juga wujud. Sekiranya keadaan kewangan dunia menjadi lebih ketat lebih daripada yang dijangka, ini boleh melembapkan kegiatan ekonomi. Ini seterusnya boleh menyebabkan inflasi menjadi lebih rendah.”
Buat masa ini, inflasi pengangkutan persendirian menurun daripada 8.6 peratus pada Mei kepada 8.4 peratus pada Jun, kerana kenaikan harga petrol yang lebih kecil.
Inflasi makanan meningkat 0.3 mata peratusan kepada 2.1 peratus pada Jun, daripada 1.8 peratus pada Mei, memandangkan harga makanan mentah dan perkhidmatan makanan kedua-duanya meningkat pada kadar yang lebih pantas.
Inflasi runcit dan barangan lain meningkat sedikit kepada 1.7 peratus pada Jun, daripada 1.6 peratus pada Mei, disebabkan kenaikan lebih besar dalam harga perabot dan barangan rekreasi lain.
Antara lain, sewa perumahan yang lebih tinggi mendorong inflasi penginapan meningkat kepada 0.6 peratus pada Jun, daripada 0.5 peratus pada Mei.
Inflasi perkhidmatan meningkat kepada 1.5 peratus pada Jun, berbanding 1.3 peratus pada Mei, disebabkan kenaikan lebih besar dalam tambang penerbangan dan perbelanjaan bercuti.
Harga elektrik dan gas jatuh sebanyak 2.9 peratus pada Jun, berbanding 3 peratus pada Mei, disebabkan penurunan lebih kecil dalam harga elektrik.
Tarif elektrik terkawal bagi setiap suku tahun ditetapkan berdasarkan purata harga gas asli dalam dua setengah bulan pertama suku tahun sebelumnya, antara faktor-faktor lain.
Oleh itu, harga tenaga global yang lebih tinggi antara April hingga pertengahan Jun 2026 hanya akan dilihat dalam tarif elektrik terkawal bermula suku ketiga 2026, iaitu dari Julai.
Dalam pada itu, kadar inflasi keseluruhan mencatatkan peningkatan merentas pelbagai kumpulan pendapatan isi rumah pada separuh pertama 2026, berbanding setahun yang lalu dan juga separuh kedua 2025.
Namun begitu, kumpulan berpendapatan 20 peratus terendah terus mengalami kadar kenaikan yang paling rendah, berbanding kumpulan isi rumah yang lain.
Kumpulan berpendapatan 20 peratus terendah mengalami kenaikan inflasi 1.2 peratus pada separuh pertama 2026, berbanding setahun yang lalu.
Sementara itu, kumpulan berpendapatan 60 peratus di pertengahan pula mengalami kenaikan 1.8 peratus, manakala kumpulan berpendapatan 20 peratus tertinggi pula mencatatkan 1.6 peratus dalam tempoh yang sama.
Barangan perbelanjaan yang memberi sumbangan terbesar kepada kenaikan itu termasuk makanan, kereta, insurans kesihatan, penginapan dan minyak.