Inflasi teras Singapura terus mencatat penurunan pada Disember 2024 dengan kadar yang mengatasi jangkaan penganalisis, berikutan penyederhanaan pada kos perkhidmatan.
Inflasi teras – tidak termasuk kos pengangkutan privet dan penginapan untuk mencerminkan perbelanjaan isi rumah dengan lebih tepat – susut kepada 1.8 peratus tahun ke tahun, berbanding 1.9 peratus pada November 2024.
Namun, kadar itu melebihi ramalan 1.7 peratus oleh pakar ekonomi dalam tinjauan Bloomberg.
Ini adalah inflasi terendah sejak November 2021, apabila inflasi teras susut sehingga 1.6 peratus, lapor The Straits Times (ST).
Inflasi keseluruhan kekal pada 1.6 peratus pada Disember 2024 berbanding Disember 2023, dan tidak berubah berbanding November 2024.
Namun, kadar itu lebih tinggi daripada ramalan tinjauan Bloomberg, yang menganggarkan inflasi keseluruhan sebanyak 1.5 peratus.
Kadar inflasi keseluruhan tidak berubah kerana inflasi teras dan kos penginapan yang lebih rendah telah diimbangi oleh penurunan lebih perlahan dalam kos pengangkutan privet.
Jika dibandingkan kadar inflasi bulan ke bulan – yang menunjukkan momentum harga – inflasi teras meningkat sebanyak 0.5 peratus, manakala inflasi keseluruhan naik sebanyak 0.3 peratus.
Ketua pakar ekonomi di OCBC Bank, Cik Selena Ling, mengingatkan agar tidak terlalu tertumpu pada data inflasi satu bulan sahaja kerana “inflasi teras dijangka kekal terkawal sekitar 2 peratus tahun ke tahun” untuk baki 2025.
Ramalan rasmi semasa untuk inflasi teras 2025 adalah antara 1.5 peratus dengan 2.5 peratus.
Inflasi teras 2024 secara keseluruhan mencatatkan purata 2.7 peratus, satu penurunan daripada 4.2 peratus pada 2023, menurut laporan bersama Penguasa Kewangan Singapura (MAS) dan Kementerian Perdagangan dan Perusahaan (MTI) pada 23 Januari.
Inflasi keseluruhan purata 2024 pula ialah 2.4 peratus, turun separuh daripada 4.8 peratus yang dicatatkan pada 2023.
MAS dan MTI turut berkata ramalan inflasi untuk 2025 akan dikemas kini dalam kenyataan dasar kewangan MAS yang dijadualkan keluar pada 24 Januari.
Seramai 11 daripada 17 pakar ekonomi yang ditinjau Bloomberg meramalkan MAS akan melonggarkan dasar kewangan untuk memberi ruang supaya nilai dolar Singapura turun.
Sebilangan pakar pula berpendapat MAS akan mengekalkan dasar kewangan yang ketat sekiranya inflasi global kembali meningkat apabila Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, mengenakan tarif baru.
Inflasi bagi sektor makanan meningkat sedikit kepada 2.5 peratus pada Disember 2024, daripada 2.4 peratus pada November 2024, manakala inflasi bagi sektor perkhidmatan susut kepada 1.8 peratus, daripada 2.2 peratus.
Inflasi elektrik dan gas kekal tidak berubah pada kadar 2.5 peratus, manakala inflasi bagi runcit dan barangan lain meningkat kepada 0.3 peratus.
Dari segi tahun ke tahun, inflasi penginapan merosot kepada 2.2 peratus, daripada 2.4 peratus pada November, dan inflasi pengangkutan privet menurun pada kadar yang lebih perlahan sebanyak 0.1 peratus, berbanding kadar lebih pantas 0.7 peratus pada November.
“Data inflasi Disember mungkin mencerminkan sedikit pengukuhan bulan ke bulan dalam komponen pengangkutan awam ekoran kenaikan tambang bas dan kereta api sebanyak 6 peratus pada 28 Disember 2024, walaupun kesan penuh kemungkinan hanya akan dapat dilihat dalam bacaan Indeks Harga Pengguna (CPI) Januari 2025 (yang dikeluarkan pada Februari),” kata Encik Jester Koh, pakar ekonomi bersekutu di UOB.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg