Inflasi teras Singapura terus turun pada November ke paras terendah dalam tempoh tiga tahun, mengatasi jangkaan pakar ekonomi, berikutan kos berkurangan bagi makanan dan perkhidmatan.
Inflasi teras, tidak termasuk kos pengangkutan privet dan penginapan untuk mencerminkan perbelanjaan isi rumah dengan lebih tepat, susut kepada 1.9 peratus pada November 2024 berbanding November 2023, dan daripada 2.1 peratus pada Oktober.
Ini adalah inflasi terendah sejak November 2021, apabila inflasi teras mencapai 1.6 peratus.
Pakar ekonomi menganggar inflasi teras median atau nilai tengah ialah 2.1 peratus bagi November.
Inflasi keseluruhan meningkat kepada 1.6 peratus pada November 2024 berbanding November 2023, dan lebih tinggi berbanding 1.4 peratus pada Oktober, serta lebih baik daripada tinjauan yang meramal inflasi 1.8 peratus, lapor The Straits Times (ST).
Inflasi yang naik sedikit itu didorong oleh kos pengangkutan privet yang merosot pada kadar lebih perlahan.
Jika dibandingkan bulan ke bulan, yang menunjukkan rentak harga, kededua inflasi teras dan inflasi keseluruhan tidak berubah.
Profesor Lawrence Loh dari jabatan strategi dan dasar di Sekolah Perniagaan Universiti Nasional Singapura (NUS) berkata data terkini itu “membawa petanda baik untuk kita”.
“Kita kembali kepada keadaan tiga tahun lalu... dan mencapai inflasi rendah dan mantap yang menggambarkan ekonomi sihat,” ujar beliau.
Pakar ekonomi di syarikat penganalisis global Oxford Economics, Cik Sheana Yue, berkata setelah diselaraskan secara musiman berdasarkan bulanan, harga turun 0.5 peratus daripada Oktober, menandakan penurunan terbesar dalam setahun.
Penurunan tersebut didorong oleh harga bahan api yang merosot 1.9 peratus pada November berbanding Oktober.
“Dengan harga minyak Brent pada masa ini sebahagian besarnya seiring dengan ramalan kami iaitu purata AS$72 ($98) hingga AS$73 setong sepanjang 2025, harga bahan api tidak dijangka menjadi penentu utama inflasi pada tahun depan,” kata Cik Yue.
Inflasi perkhidmatan, yang menunjukkan trend menurun ketika ini, dijangka “terus turun sepanjang baki 2024”, menurut Penguasa Kewangan Singapura (MAS) dan Kementerian Perdagangan dan Perusahaan (MTI) dalam laporannya pada 23 Disember.
MAS dan MTI menjangka inflasi teras kekal di bawah 2 peratus hingga akhir 2024.
“Ekonomi Singapura boleh menghadapi tahap kenaikan harga ini kerana jika ia terlalu rendah, kadangkala ia bermakna pekerjaan yang hilang dan orang ramai kurang berbelanja. Jadi, sedikit inflasi sihat adalah sesuatu yang lumrah,” kata profesor Loh.
Pada November, inflasi makanan dan perkhidmatan turun masing-masing kepada 2.4 dan 2.2 peratus. Ini disebabkan kos perkhidmatan makanan dan perbelanjaan percutian naik pada kadar lebih perlahan, namun yuran perkhidmatan telekomunikasi mengalami penurunan lebih curam.
Inflasi penginapan mengecil kepada 2.4 peratus pada November 2024 berbanding November 2023, disebabkan kenaikan lebih kecil dalam sewa rumah.
Inflasi pengangkutan privet turun 0.7 peratus pada November 2024 berbanding November 2023, dan susut 2.5 peratus berbanding Oktober, disebabkan kemerosotan lebih kecil dalam harga kereta.
Kenaikan harga elektrik dan gas kekal pada 2.5 peratus.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg