Selepas lebih dua tahun mengekalkan dasar kewangannya, Penguasa Kewangan Singapura (MAS) dijangka mula melonggarkan dasar tersebut pada 2025.
Persoalannya, bilakah ia akan berlaku?
Inflasi teras di sini secara rasmi dijangka menurun kepada bawah 2 peratus – paras yang dilihat MAS sebagai seiring dengan kestabilan harga menjelang akhir 2024.
Pada Oktober, ia susut kepada 2.1 peratus, paras terendah sejak 2021, lapor The Business Times (BT).
Namun, kebanyakan pakar ekonomi menjangka dasar kewangan di sini akan dilonggarkan seawal April 2025, kerana MAS kini menunggu untuk melihat tindakan yang diambil oleh bakal Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump.
MAS kali terakhir mengubah dasarnya pada Oktober 2022, dengan menaikkan paras pertengahan jalur dasar Kadar Tukaran Efektif Nominal Dolar Singapura (S$Neer).
Ia adalah yang terakhir daripada langkah mengukuhkan dasar kewangan sebanyak lima kali yang bermula sejak 2021.
Dengan inflasi yang berkurangan daripada paras tinggi disebabkan pandemik, sejak itu, bank pusat tersebut tidak mengubah dasar kewangannya.
Pakar ekonomi menjangka kededua inflasi teras dan keseluruhan akan terus menurun pada 2025, kerana harga hartanah dan kenderaan yang mantap, gaji yang meningkat pada kadar lebih perlahan disebabkan pasaran tenaga kerja yang kian reda dan lebih banyak subsidi penjagaan kesihatan diberikan.
Kesan inflasi daripada kenaikan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) pada awal 2024 juga diramal berkurangan.
Satu semakan terhadap ramalan sembilan pakar ekonomi menunjukkan bahawa inflasi teras bagi keseluruhan 2025 dianggarkan mencapai julat 1.5 hingga 1.9 peratus.
Anggaran inflasi itu berada pada hujung bawah ramalan MAS antara 1.5 dengan 2.5 peratus.
Ada penganalisis ekonomi yang menjangka inflasi teras akan turun di bawah 2 peratus seawal Disember, atau suku pertama 2025.
Namun, dalam tinjauan terbaru MAS melibatkan peramal profesional yang dikeluarkan pada 11 Disember, hanya satu pertiga daripada responden menjangka MAS akan melonggarkan dasar kewangannya pada Januari 2025.
Kededua penganalisis Maybank, Dr Chua Hak Bin, dan pakar ekonomi bersekutu UOB, Encik Jester Koh, meramal penurunan paras pertengahan jalur S$Neer pada Januari, dan tiada perubahan lanjut akan dibuat sepanjang 2025.
Namun, pada Januari 2025, ancaman tarif yang dibuat oleh Encik Trump boleh mendorong perubahan: sama ada ia akan memburukkan prospek pertumbuhan Singapura dan dengan itu memerlukan dasar kewangan di sini dilonggarkan lebih awal, atau menimbulkan tekanan inflasi yang memerlukan dasar kewangan dikekalkan.
Jika Encik Trump mengenakan tarif sejurus selepas menyandang jawatan Presiden pada 20 Januari nanti, MAS mungkin melonggarkan dasar kewangan pada Januari 2025, kata pakar ekonomi serantau Bank Barclays, Encik Brian Tan.
Bagaimanapun, jika ini tidak berlaku, MAS mungkin “bersabar” dan menunggu sehingga inflasi teras turun di bawah 2 peratus, tambahnya.
Ini mungkin berlaku dalam data Januari, yang akan dikeluarkan pada Februari, bermakna langkah melonggarkan dasar kewangan mungkin dilaksanakan seawal April.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg