Topik diikuti
Pergi ke BHkuInflasi teras S’pura turun kepada 1.4% pada April, bawah ramalan penganalisis
Inflasi teras S’pura turun kepada 1.4% pada April, bawah ramalan penganalisis
Sebahagian besar didorong inflasi lebih rendah dalam sektor perkhidmatan serta barang runcit
Inflasi teras S’pura turun kepada 1.4% pada April, bawah ramalan penganalisis
Inflasi teras Singapura menurun kepada 1.4 peratus pada April berbanding 1.7 peratus pada Mac, lebih rendah daripada jangkaan awal pakar ekonomi.
Pakar ekonomi sektor swasta sebelum ini meramalkan kadar inflasi teras – yang tidak mengambil kira kos penginapan dan pengangkutan swasta – akan meningkat kepada 1.8 peratus.
Penguasa Kewangan Singapura (MAS) dan Kementerian Perdagangan dan Perusahaan (MTI) dalam satu kenyataan pada 25 Mei menyatakan penurunan itu sebahagian besarnya didorong oleh inflasi lebih rendah dalam sektor perkhidmatan serta barang runcit dan barangan lain.
Sementara itu, inflasi keseluruhan kekal stabil pada kadar 1.8 peratus pada April, kerana peningkatan inflasi bagi pengangkutan swasta dan penginapan diimbangi oleh penurunan dalam inflasi teras.
Bacaan itu juga dilaporkan berada di bawah ramalan awal pakar ekonomi sebanyak 2.1 peratus.
Bagi asas bulan ke bulan pula, indeks harga pengguna teras (CPI) meningkat sedikit sebanyak 0.2 peratus, manakala CPI bagi semua barangan mencatat penurunan sebanyak 0.3 peratus.
MTI dan MAS turut menyelaraskan unjuran setahun penuh bagi 2026 untuk kedua-dua inflasi teras dan keseluruhan kepada julat 1.5 hingga 2.5 peratus, naik berbanding unjuran 1 hingga 2 peratus sebelum ini.
Namun, kedua-dua pihak memberi amaran tekanan kos import Singapura dijangka meningkat dan meluas dalam tempoh beberapa bulan mendatang.
“Dengan kos tenaga dan kos input lain yang lebih tinggi akibat perkembangan di Timur Tengah mula memberi kesan kepada rantaian bekalan sejagat, keadaan itu akan meningkatkan kos pengeluaran serta pengangkutan bagi barangan dan perkhidmatan import yang lebih luas di Singapura,” kata MAS dan MTI.
Justeru itu, MAS dan MTI menjangkakan risiko inflasi akan terus meningkat kerana kos import bagi Singapura mungkin melonjak disebabkan oleh gangguan berterusan terhadap bekalan tenaga sejagat, serta kekurangan bahan mentah utama dalam rantaian bekalan serantau.
Namun, MTI dan MAS menambah bahawa risiko penurunan juga boleh berlaku.
“Sekatan terhadap pengeluaran industri akibat gangguan rantaian bekalan atau keadaan kewangan sejagat menjadi lebih ketat secara mendadak boleh menyebabkan kegiatan ekonomi menguncup, sekali gus menurunkan kadar inflasi,” jelas mereka.
Pada April, kadar inflasi merentas kategori CPI menunjukkan trend tidak sekata, dengan kos pengangkutan swasta dan penginapan meningkat lebih pantas, manakala harga barangan runcit serta tarif elektrik kekal sederhana.
Sektor pengangkutan swasta mencatat peningkatan inflasi tertinggi, melonjak kepada 8.1 peratus tahun ke tahun pada April berbanding 6.6 peratus pada Mac, didorong kenaikan ketara harga petrol dan kereta.
Inflasi penginapan pula meningkat sedikit kepada 0.4 peratus, berbanding 0.3 peratus pada Mac, disebabkan kenaikan kadar sewa rumah yang lebih tinggi.
Sementara itu, inflasi barangan runcit dan barangan lain naik lebih sederhana sedikit kepada 1.5 peratus pada April, daripada 1.8 peratus pada Mac, berikutan penurunan inflasi bagi harga air.
Bagi harga elektrik dan gas, ia mencatat penurunan pada kadar lebih perlahan iaitu 3 peratus pada April, berbanding kejatuhan 4.3 peratus pada Mac, berikutan penurunan harga elektrik yang lebih kecil.
Kadar inflasi makanan pula kekal stabil pada paras 1.6 peratus berikutan harga makanan belum dimasak dan perkhidmatan makanan meningkat pada kadar yang sama bagi April dan Mac.
