Inflasi keseluruhan Singapura susut pada Oktober berikutan kenaikan harga lebih rendah bagi perkhidmatan, elektrik dan gas, meskipun harga bagi barangan runcit dan barangan lain meningkat sedikit.

Inflasi teras tahun ke tahun meningkat pada kadar lebih perlahan kepada 1.5 peratus berbanding 2 peratus pada September, menurut data yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan (DOS) Singapura pada 23 November.

Berdasarkan perbandingan bulan ke bulan, harga teras pada Oktober kekal tidak berubah. 

Inflasi teras tidak mengambil kira kos pengangkutan swasta dan penginapan untuk mencerminkan perbelanjaan isi rumah dengan lebih tepat.

Sementara itu, inflasi keseluruhan tahun ke tahun turun kepada 1.9 peratus pada Oktober daripada 2.2 peratus pada bulan sebelumnya (September), didorong oleh inflasi lebih rendah bagi perkhidmatan, elektrik dan gas, serta pengangkutan swasta. 

Berdasarkan perbandingan bulan ke bulan, inflasi keseluruhan susut 0.3 peratus.

Inflasi pengangkutan swasta menyusut kepada 6.7 peratus daripada 7.1 peratus pada September disebabkan oleh kenaikan harga kereta yang lebih perlahan.

Inflasi penginapan pula kekal stabil pada 0.9 peratus pada Oktober apabila sewa rumah meningkat pada kadar yang sama seperti pada September.

Lihat berita utama daripada semua kategori di satu tempat.

Inflasi perkhidmatan merosot kepada 1.1 peratus daripada 1.7 peratus pada September, berikutan kenaikan lebih kecil dalam tambang penerbangan, insurans kesihatan dan perkhidmatan penjagaan kesihatan.

Inflasi barangan runcit dan barangan lain bagaimanapun menunjukkan peningkatan kepada 1.6 peratus daripada 1.2 peratus pada bulan sebelumnya, apabila harga perabot meningkat dan harga perkakas rumah susut pada kadar lebih perlahan.

Inflasi makanan menurun sedikit kepada 2.3 peratus daripada 2.4 peratus pada September, berikutan harga makanan tidak dimasak meningkat pada kadar lebih perlahan.

Inflasi elektrik dan gas mencatat penurunan paling ketara apabila merosot kepada 1 peratus daripada 8.7 peratus pada September, seiring dengan kos elektrik yang meningkat pada kadar lebih sederhana pada Oktober.

Penurunan inflasi elektrik tahun ke tahun itu sebahagian besarnya disebabkan oleh tarif elektrik yang lebih rendah pada Oktober berbanding September.

Ikuti topik ini:
Log masuk untuk ikuti