Topik diikuti
Pergi ke BHkuInflasi S’pura turun sedikit pada Sep
Inflasi teras catat kadar 2% pada September, turun daripada 2.2 peratus pada Ogos
Inflasi S’pura turun sedikit pada Sep
Kenaikan harga pengguna mula perlahan pada September, dengan inflasi teras dan keseluruhan menurun sedikit.
Demikian menurut data Penguasa Kewangan Singapura (MAS) dan Kementerian Tenaga, Perdagangan dan Perusahaan (METI) pada 23 Oktober.
Inflasi teras, yang tidak termasuk kos penginapan dan pengangkutan privet, turun daripada 2.2 peratus pada Ogos kepada 2 peratus pada September, lebih rendah daripada anggaran median 2.3 peratus dalam tinjauan Bloomberg terhadap pakar ekonomi sektor swasta.
Penurunan itu didorong oleh inflasi lebih rendah perkhidmatan serta barangan runcit dan barangan lain.
Sementara itu, inflasi keseluruhan turun kepada 2.2 peratus daripada 2.3 peratus.
Ini didorong oleh penurunan inflasi pengangkutan privet dan inflasi teras.
Selepas pelarasan mengikut musim, harga teras meningkat 0.1 peratus, manakala Indeks Harga Pengguna (CPI) meningkat 0.2 peratus pada September.
Pihak berkuasa mengekalkan unjuran inflasi teras 2026 pada 1.5 hingga 2 peratus dan inflasi keseluruhan sekitar 2 peratus.
Kedua-dua unjuran disemak daripada julat 1.5 hingga 2.5 peratus dalam semakan dasar kewangan bank pusat pada Oktober.
MAS dan METI menjangkakan tekanan kos import kekal tinggi dalam tempoh terdekat.
Harga tenaga meningkat semula, manakala harga makanan dunia dan serantau dijangka naik akibat kos pengeluaran dan cuaca buruk.
Namun, inflasi import dijangka reda sepanjang 2027 apabila gangguan bekalan berkurangan.
Tekanan harga tempatan dijangka rendah, disokong peningkatan daya penghasilan dan kos buruh terkawal.
Subsidi pemerintah bagi kesihatan dan pendidikan turut membantu membendung inflasi perkhidmatan.
Bagaimanapun, risiko inflasi cenderung meningkat.
Lonjakan harga tenaga sejagat atau makanan dunia boleh meningkatkan kos import melebihi ramalan.
Perkembangan pesat kegiatan berkaitan kecerdasan buatan (AI) dan kenaikan kos pekerja juga boleh mengekalkan inflasi tempatan pada paras tinggi.
Sebaliknya, kadar faedah dunia yang tinggi atau pengurangan pelaburan AI boleh menjejas pertumbuhan dan inflasi.
Pemulihan pengeluaran tenaga Timur Tengah yang lebih cepat juga boleh menurunkan harga tenaga.
Pada September, trend inflasi merentas kategori CPI menunjukkan perkembangan bercampur-campur.
Inflasi perkhidmatan turun daripada 2 peratus kepada 1.7 peratus, susulan kenaikan kos pengangkutan dari satu-tempat-ke-tempat lain (PTP) yang lebih kecil serta penurunan harga perkhidmatan telekomunikasi yang lebih ketara.
Inflasi barangan runcit dan barangan lain turun daripada 1.8 peratus kepada 1.2 peratus, selepas harga perabot menurun dan harga pakaian meningkat lebih perlahan.
Inflasi pengangkutan privet turun kepada 7.1 peratus daripada 7.5 peratus, disebabkan kenaikan harga kereta yang lebih perlahan.
Inflasi kos elektrik dan gas kekal 8.7 peratus kerana harga elektrik meningkat pada kadar hampir sama pada September dan Ogos.
Sebaliknya, inflasi penginapan naik sedikit daripada 0.8 peratus kepada 0.9 peratus, selepas kadar sewa rumah meningkat lebih cepat.
Inflasi makanan naik sedikit daripada 2.3 peratus pada Ogos kepada 2.4 peratus, akibat peningkatan inflasi makanan mentah dan perkhidmatan makanan.