Enterprise Singapore (EnterpriseSG) melancarkan dua program pada 13 Oktober untuk membantu syarikat makanan dan minuman (F&B) meningkatkan daya penghasilan dengan mengoptimumkan proses dan penyediaan makanan berpusat.
Dua program baru itu dijangka akan menyokong lebih 1,000 perniagaan F&B dalam tempoh dua tahun mendatang, kata EnterpriseSG.
Daya usaha itu dibangunkan berdasarkan dapatan Laporan Daya Penghasilan Perkhidmatan Makanan yang baru, yang mengenal pasti pengoptimuman proses secara sistematik dan penyediaan makanan berpusat sebagai “faktor kejayaan kritikal” bagi industri tersebut, lapor The Business Times (BT).
Program Pengoptimuman Proses F&B (POP) akan membantu syarikat menilai dan mengoptimumkan proses kedai, dengan vendor yang dilantik, memberi tumpuan kepada kecekapan tenaga kerja, pertumbuhan hasil dan kepuasan pelanggan, kata EnterpriseSG.
Dengan bantuan daripada empat firma perunding yang diluluskan, perniagaan juga akan mendapat bimbingan mengenai pengoptimuman ruang kedai, pelaksanaan teknologi dan reka bentuk menu.
Program FoodX pula menyokong syarikat dalam penyediaan makanan berpusat dengan menghubungkan mereka dengan pengilang kontrak yang sesuai daripada rangkaian lebih 60 rakan kongsi pengeluaran makanan dan pengeluaran peralatan.
Pusat Daya Penghasilan Singapura akan menghubungkan perniagaan F&B yang menyertai program itu dengan pengeluar makanan yang sesuai berdasarkan keperluan khusus mereka, kata EnterpriseSG.
Syarikat yang layak juga boleh menerima sokongan geran sehingga 50 peratus untuk mengurangkan kos permulaan penyumberan luar.
Menurut Enterprise SG, ujian perintis program FoodX pada 2024 telah berjaya menyokong kegiatan penyumberan luar bagi 200 cawangan F&B.
“Kami faham tekanan yang dihadapi oleh syarikat F&B hari ini, daripada menguruskan kos operasi hingga permintaan pasaran yang berkembang,” kata Penolong Pengarah Urusan bagi Perkhidmatan dan Pertumbuhan Perusahaan di EnterpriseSG, Cik Jeannie Lim.
“Oleh kerana kebanyakan syarikat F&B adalah syarikat kecil dan sederhana (SME), EnterpriseSG akan terus memudahkan kerjasama bagi membolehkan syarikat F&B memanfaatkan sumber yang dikongsi dan membuka peluang ekonomi untuk menjana penjimatan kos,” tambahnya.
Menteri Negara Kanan (Perdagangan dan Perusahaan), Cik Low Yen Ling, yang hadir pada pelancaran tersebut, berkata laporan itu bertujuan membangunkan alat bagi mengukur prestasi perniagaan dan mengenal pasti bidang penambahbaikan supaya perniagaan F&B kekal berdaya saing dalam pasaran berkembang.
Dengan mengukur jualan bagi setiap jam, mereka boleh menilai kedudukan mereka berbanding pesaing, kata Cik Low.
Laporan itu turut menunjukkan apakah yang dilakukan oleh pemain utama dengan cara berbeza.
Secara berasingan, EnterpriseSG mengumumkan kerjasama dengan UOB untuk mempercepat penggunaan digital dan kecerdasan buatan (AI) dalam kalangan syarikat F&B, dengan perkhidmatan dan penyelesaian yang akan tersedia pada 2026.
Memorandum Persefahaman (MOU) antara EnterpriseSG dengan UOB memberi tumpuan kepada tiga bidang: perkhidmatan penasihat untuk penyelesaian digital dan AI, penyelesaian digital pada kadar keutamaan, serta seminar dan bengkel bersama.
Kerjasama itu akan membolehkan EnterpriseSG mempercepat penggunaan penyelesaian digital dalam sektor F&B, dengan memanfaatkan rangkaian SME dan rangkaian rakan kongsi UOB.
Maklumat lanjut akan dikongsi kemudian.
“Kita tidak boleh mengabaikan kuasa teknologi… untuk mengubah cara perniagaan beroperasi.
“Alat digital dan AI bukan lagi pilihan, ia adalah penting demi daya penghasilan dan pertumbuhan yang mampan,” ujar Cik Low.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg