Penyedia penjagaan kesihatan tempatan, Minmed, berada di persimpangan pada 2021, menghadapi cabaran mengimbangi antara model perniagaan fizikal dengan pertumbuhan mendadak penjagaan kesihatan digital yang tercetus akibat pandemik Covid-19.
Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) syarikat itu, Dr Eric Chiam, mengambil peluang daripada keadaan tersebut untuk memanfaatkan program Scale-Up kendalian Enterprise Singapore (EnterpriseSG) bagi membangunkan keupayaan digital syarikat, dan mengamalkan pendekatan lebih tangkas dalam berinovasi.
Minmed melakar bidang pertumbuhan seperti memperluas pilihan pemeriksaan kesihatan, memperkukuh perkhidmatan kesihatan dan memperkemas proses kerja.
Satu hasil utama ialah mengenal pasti kecerdasan buatan (AI) generatif sebagai alat untuk meningkatkan kecekapan dan memperbaiki penyampaian perkhidmatan, lapor The Straits Times (ST).
“Program Scale-Up telah memperkasakan pasukan pengurusan kami untuk menerima prinsip asas AI – daripada konsep hingga ke pelaksanaan.
“Kami telah membangunkan ejen AI tambahan secara berperingkat, termasuk alat bagi ringkasan maklumat perubatan, dorongan dan peringatan kepada pesakit, analitik perniagaan dan automasi aliran kerja,” kata Dr Chiam kepada media pada 17 September.
Sehingga kini, program Scale-Up yang bermula pada 2019 itu telah menyokong lebih 100 syarikat pelbagai sektor dalam melakar rancangan masing-masing dan mencapai usaha pertumbuhan, menurut EnterpriseSG.
Program tersebut bertujuan membantu syarikat berpotensi tinggi Singapura berkembang lebih jauh dan menyerlah di peringkat sejagat.
Syarikat yang mempunyai ibu pejabat sejagat di Singapura dan menunjukkan rekod pertumbuhan kukuh serta kepimpinan baik dipelawa menyertai program tersebut oleh EnterpriseSG.
Ia juga mesti mempunyai cita-cita untuk memperluas perniagaan ke peringkat sejagat dan menjalankan transformasi.
Bagi Minmed, ia berjaya mengautomasi 40 peratus pertanyaan pelanggan dan 85 peratus pemeriksaan ubat-ubatan. Ini mengurangkan masa tindak balas daripada enam jam kepada 12 saat melalui khidmat sembang atau ‘chatbot’ AI.
Ini membolehkan kakitangannya memberi tumpuan kepada interaksi bernilai lebih tinggi dan membolehkan syarikat tersebut menawarkan cadangan pemeriksaan mengikut keperluan peribadi dengan menganalisis sejarah perubatan pesakit.
Bercakap pada acara Scale Up Ignite 2025 anjuran EnterpriseSG pada 17 September, pengarah urusan EnterpriseSG, Cik Cindy Khoo, berkata syarikat dalam tujuh kohort pertama Scale-Up dari 2019 hingga 2023 telah meningkatkan hasil gabungan mereka sebanyak $2.5 bilion – 37 peratus lebih tinggi berbanding sebelum ia menyertai program tersebut.
Hasil perniagaan syarikat tersebut di luar negara juga meningkat 53 peratus, dengan tujuh daripada 10 syarikat berjaya berkembang ke pasaran baru seperti Indonesia, Filipina dan Thailand.
Pada masa sama, 80 peratus syarikat turut melancarkan produk dan perkhidmatan baru, manakala hampir separuh daripada mereka mengembangkan niaga dengan menawarkan pilihan produk lebih luas selain memasuki pasaran baru melalui penggabungan dan pemerolehan atau usaha sama.
Program tersebut juga mewujudkan kira-kira 800 peluang pekerjaan dalam bidang seperti transformasi digital dan pembangunan perniagaan serantau.
iFast Corporation adalah satu lagi contoh bagaimana syarikat meraih manfaat daripada program Scale-Up.
Wadah perbankan digital dan pengurusan harta itu memanfaatkan inisiatif tersebut untuk memperkemas strategi digibank syarikat itu selepas mengambil alih sebuah bank Britain yang kini dikenali sebagai iFast Global Bank (iGB).


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg