Topic followed successfully
Go to BHkuInisiatif mudahkan syarikat korporat sumbang kembali kepada masyarakat dilancar
Inisiatif mudahkan syarikat korporat sumbang kembali kepada masyarakat dilancar
SBF sasar libat 600 perniagaan, 6,000 pekerja jelang 2030
Inisiatif mudahkan syarikat korporat sumbang kembali kepada masyarakat dilancar
Satu program sukarelawan korporat baru telah dilancarkan secara rasmi pada 14 Mei untuk mempermudah dan memperluas sumbangan perniagaan kembali kepada masyarakat.
Dikenali sebagai VolunteerInc., daya usaha itu bertujuan memperkukuh ekosistem perniagaan Singapura melalui penyemaian nilai tanggungjawab, daya tahan dan kepekaan terhadap keperluan sosial ke dalam budaya korporat.
Ia dibangunkan oleh Persekutuan Perniagaan Singapura (SBF) dengan kerjasama Kementerian Kebudayaan, Masyarakat dan Belia (MCCY), dan disokong oleh Yayasan SBF.
Pemangku Menteri Kebudayaan, Masyarakat dan Belia, Encik David Neo, melancarkan program tersebut di Persidangan Ekonomi Masa Depan anjuran SBF yang diadakan di Pusat Ekspo dan Konvensyen Sands.
Dalam ucapan pelancarannya, Encik Neo berkata program tersebut dibentuk untuk memudah cara sumbangan masa dan kemahiran yang bermakna daripada semua perniagaan, tanpa mengira skala.
Beliau turut menggariskan jurang yang ketara iaitu dengan 90 peratus perniagaan menghargai kelestarian sosial, namun, hanya 30 peratus yang benar-benar menyumbang kembali kepada masyarakat.
Jurang itu, kata Encik Neo, menggambarkan keinginan syarikat untuk berbuat lebih banyak lagi, meskipun kekangan tenaga kerja dan sumber sering menjadi penghalang.
“Pemerintah telah bekerjasama dengan perniagaan dan badan masyarakat bagi memudahkan usaha untuk syarikat menyumbang kembali kepada masyarakat.
“VolunteerInc. akan mengurangkan kekangan ini dengan menghubungkan perniagaan dengan peluang kesukarelawan yang sesuai, yang disesuaikan mengikut saiz, minat dan keupayaan mereka,” kata Encik Neo.
Encik Neo memberi contoh bagaimana VolunteerInc. telah membantu menyatukan syarikat Cook Medical dengan Project Dian dan M³@Bedok, menghulurkan bantuan makanan sepanjang Ramadan kepada keluarga di flat sewa awam.
Melalui program tersebut, Cook Medical telah menunjukkan komitmen meneruskan kerjasama mereka dengan Project Dian, malah kini meneroka peluang meluaskan jangkauan mereka ke program lain, jelas Encik Neo.
Pengurus Besar Cook Medical Singapura & Malaysia, Encik Samuel Teh, memuji inisiatif itu:
“VolunteerInc menyokong kami dalam menyediakan akses langsung kepada rakan kongsi masyarakat, membantu kami beralih daripada niat kepada tindakan dengan cara yang realistik dan yakin.”
Dalam kenyataan berasingan, SBF berkata ia telah bekerjasama dengan lebih 50 syarikat merentasi pelbagai sektor sejak Julai 2025 menerusi program tersebut.
Seramai 500 pekerja diatur untuk menawarkan khidmat selaku sukarelawan, manakala 120 lagi syarikat telah menyatakan minat untuk menyertai usaha murni itu.
Menjelang 2030, SBF menyasarkan untuk meningkatkan penglibatan kepada 600 perniagaan dan 6,000 pekerja yang berkhidmat kepada masyarakat.
Encik Neo turut menekankan bahawa VolunteerInc berdiri di atas landasan usaha sedia ada pemerintah, perniagaan, dan badan masyarakat dalam memberikan sumbangan.
Ini merangkumi insentif cukai seperti Skim Sukarelawan Korporat dan potongan cukai 250 peratus bagi derma kepada Institusi Bertaraf Awam (IPC).
“Di Singapura, di mana perniagaan, pekerja dan pemerintah telah lama bekerjasama untuk menangani cabaran dan merebut peluang bersama, perniagaan yang mewujudkan pekerjaan yang baik dan impak sosial bukan sahaja berjaya – anda berkembang maju dan membantu Singapura untuk melakukan yang lebih baik, bersama-sama.
“Anda membantu Singapura terus berkembang, mewujudkan pekerjaan yang baik, dan kekal berdaya saing dalam dunia yang berubah – di mana kita akan kekal sebagai tempat di mana orang ramai berasa dijaga, disokong, dan mempunyai harapan tentang masa depan,” kata Encik Neo.
“
“Pemerintah telah bekerjasama dengan perniagaan dan badan masyarakat bagi memudahkan usaha untuk syarikat menyumbang kembali kepada masyarakat. VolunteerInc. akan mengurangkan kekangan ini dengan menghubungkan perniagaan dengan peluang kesukarelawan yang sesuai, yang disesuaikan dengan saiz, minat dan keupayaan mereka.”