Ekonomi
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Inisiatif SBF bantu perniagaan raih manfaat dagangan, pelaburan rentas sempadan

Jul 30, 2024 | 3:03 PM
Persekutuan Perniagaan Singapura (SBF) menubuhkan satu daya usaha perkongsian awam-swasta baru untuk meningkatkan perdagangan dan pelaburan rentas sempadan antara syarikat tempatan dengan rakan serantau mereka.
Persekutuan Perniagaan Singapura (SBF) menubuhkan satu daya usaha perkongsian awam-swasta baru untuk meningkatkan perdagangan dan pelaburan rentas sempadan antara syarikat tempatan dengan rakan serantau mereka. - Foto ST

Persekutuan Perniagaan Singapura (SBF) sedang menubuhkan satu daya usaha perkongsian awam-swasta baru untuk meningkatkan perdagangan dan pelaburan rentas sempadan antara syarikat tempatan dengan rakan serantau mereka, lapor akhbar The Straits Times.

Pusat bagi Perdagangan dan Pelaburan Masa Depan (CFOTI) akan membina keupayaan dalam kalangan perniagaan Singapura dan serantau untuk memaksimumkan faedah perdagangan dan pelaburan, kata naib pengerusi SBF, Encik Andrew Kwan, pada Sidang Puncak Perniagaan Apex Singapura pada 25 Julai.

Pusat itu akan disokong oleh Kementerian Perdagangan dan Perusahaan (MTI) dan Enterprise Singapore (EnterpriseSG) serta beberapa perniagaan, yayasan dan rakan kongsi lain yang sealiran fikiran, katanya.

Dalam kenyataannya CFOTI berkata tujuan membina satu masyarakat serantau itu adalah bagi membolehkan pengamal perdagangan dan pelaburan, pakar atau pemimpin, serta pegawai pemerintah bekerjasama untuk memajukan perdagangan sejagat.

Menteri Tenaga Manusia merangkap Menteri Kedua Perdagangan dan Perusahaan, Dr Tan See Leng, memberitahu sidang puncak bahawa pusat baru itu “mewakili keinginan kuat masyarakat perniagaan untuk mengembangkan kecekapan dan keupayaan perdagangan sedia ada dengan ketara, sebagai tindak balas terhadap persekitaran perdagangan sejagat yang semakin kompleks”.

Beliau menambah, daya usaha seperti itu penting kerana era perdagangan dan penyejagatan seterusnya akan ditandakan dengan ketidaksinambungan dan gangguan yang ketara.

“Kami berharap sebagai perniagaan, anda juga boleh memainkan peranan anda dengan kekal lincah, tangkas dan responsif,” katanya dalam sidang puncak yang diadakan di Pusat Ekspo dan Konvensyen Sands.

Dr Tan juga menekankan tentang trend sejagat yang boleh membentuk semula landskap perdagangan dan pelaburan global, termasuk persaingan Amerika Syarikat-China, orientasi semula perdagangan dunia mengikut garis geopolitik, serta perubahan iklim dan teknologi.

Beliau berkata persaingan geoekonomi telah menyebabkan negara-negara menggubal langkah melindungi ekonomi domestik mereka.

Pertubuhan Dagangan Dunia (WTO) menganggarkan perdagangan antara blok bersekutu telah berkembang 4 peratus hingga 6 peratus lebih perlahan daripada perdagangan dalam blok tersebut.

Walau bagaimanapun, orientasi semula aliran perdagangan juga telah membawa kepada pembentukan koridor perdagangan baru di Asia Tenggara,

Ia telah mendapat manfaat daripada peningkatan import barangan perantaraan dari China dan eksport barangan siap ke Amerika Syarikat.

“Bagi perniagaan kita, terutamanya SME (perusahaan kecil dan sederhana) kita, ini memberi peluang bukan sahaja untuk membina kehadiran anda dalam pasaran baru, mengembangkan pangkalan pelanggan anda, malah juga membolehkan anda mempelbagaikan dan membina rantaian bekalan berdaya tahan,” kata Dr Tan.

Sementara itu, dalam ucapannya, setiausaha agung Dewan Perniagaan Antarabangsa, Encik John Denton, menyatakan bahawa pemerintah perlu mengukuhkan sistem perdagangan pelbagai hala di tengah-tengah kebimbangan mengenai fahaman perlindungan yang kian meningkat dan pergeseran perdagangan yang semakin menggelegak.

“Kehancuran sistem perdagangan pelbagai hala berasaskan peraturan akan mengakibatkan ketidaktentuan yang lebih besar dan kerugian ekonomi bagi semua negara membangun – termasuk penurunan 33 peratus perdagangan barangan sejagat, serta kehilangan kekal GDP (Hasil Dalam Negeri Kasar) melebihi 5 peratus,” kata Encik Denton.

Encik Kwan yang menyifatkan perdagangan penting bagi Singapura sebagai sebuah negara bandar kecil tanpa sumber asli, menambah:

“Walau bagaimanapun, persekitaran perniagaan yang stabil dan terbuka tidak boleh diambil mudah, memandangkan persekitaran perdagangan dan kawal selia yang semakin tidak menentu.”

Sebuah jawatankuasa diketuai oleh Encik Gan Seow Kee, mantan naib pengerusi SBF yang juga mantan pengerusi ExxonMobil Asia Pasifik, telah dibentuk untuk mengemudi pembentukan CFOTI.

(Pusat baru itu) mewakili keinginan kuat masyarakat perniagaan untuk mengembangkan kecekapan dan keupayaan perdagangan sedia ada dengan ketara, sebagai tindak balas terhadap persekitaran perdagangan sejagat yang semakin kompleks. Kami berharap sebagai perniagaan, anda juga boleh memainkan peranan anda dengan kekal lincah, tangkas dan responsif.
Menteri Tenaga Manusia, Dr Tan See Leng.
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg