Ekonomi
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Isi rumah diketuai ‘baby boomer’ di S’pura paling hemat belanja

Jun 24, 2024 | 3:05 PM
Isi rumah yang diketuai baby boomer di Singapura membelanjakan AS$58,468 ($79,129) secara purata pada 2023.
Isi rumah yang diketuai baby boomer di Singapura membelanjakan AS$58,468 ($79,129) secara purata pada 2023. - Foto ST

Keluarga yang diketuai golongan baby boomer di sini pada umumnya berbelanja kurang daripada mereka dalam kumpulan usia lain, menurut data daripada syarikat penyedia penyelidikan pasaran, Euromonitor International.

Bagaimanapun, ini tidak bermakna baby boomer, iaitu golongan warga emas berusia 60 hingga 78 tahun pada 2024, lokek berbelanja, sebaliknya mereka lebih berhemat dalam berbelanja, kata sebilangan baby boomer.

Pengurus pengetahuan kanan bagi pengguna di Euromonitor International, Cik Jana Rude, berkata isi rumah baby boomer membelanjakan AS$58,468 ($79,129) secara purata pada 2023.

Ini lebih rendah daripada isi rumah yang diketuai Generasi Z, iaitu mereka yang berusia 12 hingga 27 tahun, yang membelanjakan AS$106,045 secara purata pada 2023.

Isi rumah diketuai generasi milenium – berusia 28 hingga 43 tahun, membelanjakan AS$105,486, manakala isi rumah diketuai Generasi X – berusia 44 hingga 59 tahun, membelanjakan AS$92,528 pada 2023, lapor The Straits Times.

Syarikat penyelidikan pengguna GWI, turut membuat pemerhatian serupa.

Penganalisis trend kanan di GWI, Cik Sun Jo Ling, berkata 60 peratus daripada baby boomer di Singapura lebih suka memilih barangan lebih murah, walaupun ia bukan barangan berjenama dikenali ramai.

Tambahan lagi, sebanyak 80 peratus daripada baby boomer lebih suka menunggu jualan promosi bagi sesuatu barangan daripada membelinya pada harga biasa, tambahnya.

Kebimbangan mengenai kos sara hidup menjadi antara sebab baby boomer berbelanja secara lebih bijak dan berhemat.

Satu tinjauan Euromonitor International yang dijalankan pada Januari mendapati sebanyak 55.5 peratus daripada baby boomer di sini berasa selesa dengan keadaan kewangan mereka pada 2023, lebih rendah daripada 62 peratus secara purata di peringkat sedunia.

Cik Rude menambah bahawa sebanyak 29.5 peratus daripada golongan itu mengalami kebimbangan kewangan melibatkan isu seperti kos sara hidup tinggi, dan perbelanjaan penjagaan kesihatan dan perumahan.

Cik Sun menarik perhatian bahawa baby boomer lebih pesimis mengenai kewangan peribadi berbanding kumpulan usia lain.

Sebanyak 26 peratus daripada mereka percaya keadaan kewangan mereka akan menjadi bertambah buruk pada masa depan.

Baby boomer yang pesimis mengenai kewangan meningkat 50 peratus pada suku keempat 2023 berbanding suku keempat 2019, tambah Cik Sun.

Golongan tersebut kian bimbang kerana menyedari mereka kini hidup dalam dunia berbeza dengan perubahan teknologi pesat, kata ketua program minor dalam pengajian penuaan gunaan di Universiti Sains Kemasyarakatan Singapura (SUSS), Dr Kelvin Tan.  

Dalam pada itu, rakyat Singapura kini hidup lebih lama dengan jangka hayat 83 tahun secara purata.

Oleh itu, golongan baby boomer lebih berjimat cermat kerana perlu memastikan wang simpanan mereka boleh bertahan seumur hidup mereka, tambahnya.

Namun, golongan tersebut akan berbelanja apabila perlu dan turut menikmati makanan enak di luar sekali sekala.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg