Kerap kali saya mendengar rakan-rakan seusia atau lebih tua yang mengongsi kepayahan mereka memahami dan bekerja dengan rakan sekerja lebih muda.
Keadaan boleh menjadi tegang dan perselisihan faham kadangkala berlaku akibat etika dan cara kerja yang berbeza.
Menurut satu kajian dijalankan syarikat pemantauan kerja, Randstad, 85 peratus daripada 400 majikan dan pekerja di Singapura menyatakan mereka sudah pun bekerja dalam pasukan berbilang generasi.
Ramai majikan berasa ia merupakan satu cabaran menguruskan dinamik tenaga kerja berbilang generasi – ‘Baby Boomers’ yang lahir dari 1946 hingga 1965, Generasi X (1965-1976), Generasi Y atau Millenials (1977-1994) dan Generasi Z yang lahir dari 1995 ke atas.
Pengalaman dan jangkaan berbeza menyebabkan setiap generasi sukar memahami satu sama lain.
Keluhan kadangkala didengar oleh majikan atau penyelia yang sukar mengawal kakitangan di bawah mereka.
Akibatnya, suara terpaksa ditinggikan atau mesej yang disampaikan kepada kakitangan itu dianggap tegas.
Rakan sekerja yang seangkatan dengan saya sering mengimbas semula tempoh kami mula bekerja lebih dua dekad lalu.
Kami boleh ditegur dengan cara yang agak keras atau dimarahi oleh penyelia kami tetapi kami dapat terima. Kami juga tidak berani menjawab balik dan hanya menganggukkan kepala.
Pendekatan serupa tidak boleh digunakan oleh pekerja muda 20-an tahun yang lebih berani mengutarakan pandangan mereka.
Mereka akan lahirkan isi hati mereka tanpa rasa bimbang. Mereka tidak keberatan bertukar kerja jika sekitaran kerja dirasakan toksik atau tidak sesuai dengan jangkaan mereka.
Justeru, majikan atau penyelia harus memainkan peranan mendekati mereka dengan cara yang bebeza.
Apa yang penting bagi penyelia yang lebih berumur ialah untuk membuang ego mereka.
Mereka harus hapuskan tanggapan bahawa mereka sahaja yang berpengalaman dan berpengetahuan.
Berikan kepercayaan dan cedok pengetahuan pekerja muda dalam bidang-bidang yang tidak atau kurang kita ketahui.
Dalam usaha Berita Harian/Minggu (BH/BM) menarik golongan muda sebagai audiens yang penting bagi BH, kakitangan muda BH/BM menjadi antara rujukan utama akhbar ini.
Merekalah yang lebih mengetahui apakah kandungan menarik yang boleh menarik minat pembaca muda.
Merekalah yang lebih mengetahui siapakah pempengaruh yang boleh ditonjolkan bagi menarik golongan muda.
Merekalah yang lebih mengetahui kandungan TikTok yang boleh menjadi ilham untuk menarik golongan muda.
Tanya pandangan mereka. Minta pendapat mereka. Beri kepercayaan kepada mereka.
Mereka akan berasa ‘penting’ jika kita juga mendekati mereka untuk mendapat idea dan maklum balas ini.
Kadangkala, idea yang diberikan itu mungkin tidak selari dengan apa yang kita fikirkan.
Tetapi, mengapa tidak memberi mereka peluang untuk membuktikan bahawa idea mereka itu boleh dilaksanakan dengan jayanya?
Saya masih ingat sewaktu saya ditugaskan memimpin sebuah pasukan yang rata-rata berusia 20-an tahun untuk menganjurkan sebuah acara, BHazar BH, di Wisma Geylang Serai (WGS) sewaktu Ramadan 2023.
BHazar BH itu dianjurkan bagi menarik golongan muda, mendedahkan mereka kepada produk digital BH dan menggalak mereka menyertai tinjauan pembaca kami.
Apabila diminta membuat rekaan sebuah beg cendera hati untuk diberikan kepada pembaca muda, salah seorang rakan sekerja saya yang berusia 20 tahun lebih muda daripada saya telah mereka sebuah beg yang mempunyai rekaan burger dan tertera perkataan ‘burger harian’.
Apabila rekaan itu ditunjukkan kepada saya, saya berkata kepada diri sendiri: “Dia ingat Berita Harian jual burger ke apa!’.
Imej burger amat jauh menjadi lambang yang dikaitkan dengan BH.
Rekaan itu juga dikritik oleh beberapa rakan sekerja yang ‘seusia’ saya.
Namun, rakan sekerja yang membuat rekaan itu yakin bahawa beg itu akan menarik golongan muda ke BHazar BH.
Benar, beg itu menjadi ‘daya penarik’ bagi golongan muda ke gerai kami.
Insiden itu memberi saya pengajaran untuk memberi kepercayaan kepada rakan sekerja lebih muda yang lebih mengetahui minat dan cita rasa golongan muda.
Apabila kepercayaan diberikan, mereka juga akan lebih bersedia memberikan maklum balas dan pandangan untuk memperbaiki produk yang ada.
Pekerja muda ini yang mungkin baru menyertai pejabat kurang setahun tidak berasa diri mereka terlalu muda memberikan pendapat.
Kepelbagaian idea tentu sahaja akan membuahkan banyak hasil kreatif untuk dilaksanakan di pejabat.
Idea kreatif itu mungkin tidak pernah difikirkan penyelia senior.
Jika idea mereka baik, laksanakan sahaja. Ia bukan hanya membawa kebaikan untuk syarikat tetapi meningkatkan motivasi pekerja muda.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg